|
|
LEBIH kerap dari tidak, kematian dalam Umno tidak membawa makna
kepada sesetengah orang. Ambil sahaja Isa Samad, bekas Menteri
Besar Negeri Sembilan dan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Setelah dikenakan tindakan disiplin
kerana ‘politik wang’, istilah suam kuku Umno bagi amalan merasuah perwakilan
di perhimpunan agung bagi memilih jawatankuasa tertinggi parti, Isa kembali
mencuri perhatian media.
Selanjutnya, apa juga kesalahan
dalam Umno tidak kira sebesar mana sekalipun, tidak akan memadamkan peluang
seseorang untuk kembali hidup dan mencapai kedudukan dalam parti dan seterusnya
dalam kerajaan.
Justeru kenyataan klasik bekas
Presidennya, ‘Melayu mudah lupa’ cukup relevan untuk ahli serta pemimpin
Umno. Hal seperti ini mengingatkan kita kepada kenyataan seorang penulis
politik veteran ketika menyindir orang Umno dalam buku-buku tulisan beliau
betapa orang Melayu (dibaca orang Umno) mempunyai ingatan singkat atau ‘short
memory’.
Tahun 2009 membuktikan hal ini
apabila Isa yang dikenakan tindakan penggantungan keahlian selama tiga tahun
(24 Jun 2005 hingga 23 Jun 2008) dipanggil untuk bertanding kerusi Dewan
Undangan Negeri (Dun) Bagan Pinang, Negeri Sembilan.
Walaupun pencalonan beliau mendapat kritikan dari sesetengah
pemimpin Umno sendiri, Najib mempunyai sebab tersendiri yang hanya
diketahui oleh dirinya dalam memilih Isa sebagai calon walaupun tindakan
penggantungan bagi seseorang yang telah menjadi Menteri Besar selama 22 tahun
(April 1982 hingga Mac 2004) mencerminkan keseriusan kesalahan yang dilakukan
sekaligus tidak lagi layak untuk diletakkan kepercayaan untuk menjawat sesuatu
jawatan awam.
Kemenangan Isa di Bagan Pinang
menyuntikkan nyawa baru dalam hayat politik beliau. Walaupun Najib
berhati-hati tidak meletakkan Isa kembali ke kerusi Menteri Besar Negeri Sembilan,
namun Perdana Menteri memeranjatkan semua apabila melantik Isa selaku
Pengerusi Felda.
Maka setelah dihidupkan semula dari
kematian politik apabila terpilih dan muncul sebagai seorang Adun,
perlantikannya selaku Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan,
satu-satunya skim pra-Merdeka (Felda ditubuhkan pada 1956) bagi menangani penempatan
semula penduduk miskin luar bandar ke kawasan-kawasan baru
dibangunkan bagi meningkatkan taraf ekonomi mereka dengan tumpuan khas diberikan
untuk tanaman kontan.
Begitulah sejarahnya.
Namun, sementara umum tidak begitu pasti apakah ekonomi di peringkat
rakyat yang bernaung di bawah Felda telah meningkat berkali ganda, atau
sebaliknya beranjak secara marginal, namun apa yang pasti, badan yang diamanahkan
untuk menghapuskan kemiskinan mereka kini sudah menjadi pemain besar dalam
dunia korporat.
Benar sebelum ini Felda membuat
pelaburan di sana sini dalam bidang bersabit aktiviti terasnya. Tapi
sejak Isa mengambil alih tampuk kuasa pengurusan tertingginya, Felda seolah-olah
muncul sebagai sebuah lagi penyerang korporat Malaysia dengan mimpi besar.
Tidak lama dulu, dengan
dilatarbelakangi pelbagai bantahan dan dari pelbagai pihak, Isa meneruskan
keputusannya mengapungkan saham Felda menerusi penubuhan Felda Global Ventures
Holdings.
Kini, Isa meneruskan pencapaian
mimpi beliau sebagai ‘corporate raider’ apabila beberapa hari lalu Felda
memeterai pembelian Grand Plaza Serviced Apartments di kawasan Bayswater,
London. Menurut laporan sebuah akhbar bisnes tempatan, bangunan plaza
mengandungi 198 unit apartment itu dibeli oleh Felda pada harga STG98 juta
(RM499.8 juta).
Banyak pemerhati menganggap
pembelian hartanah di ibu negara United Kingdom ini adalah sebahagian daripada
aktiviti membeli belah yang dilakukan oleh Felda di bawah Isa. Bulan lalu
Felda menguasai saham Idris Corp Bhd pada kos RM110 juta. Dan sebelum
itu, Felda juga telah membeli Grand Borneo Hotel di Kota Kinabalu.
Kurang pasti bagaimana pelaburan
ala-korporat ini akan memberikan pulangan setimpal ke atas modal Felda yang
telah dikeluarkan dan bagaimana pula ia akhirnya dapat memenuhi aspirasi asal
badan tersebut bagi menaikkan taraf ekonomi golongan miskin yang disasarkan
menerusi skim ini.
Namun lebih kepada perwatakan
seorang ahli politik berbanding penyerang korporat tulen, sudah tentu Isa
mempunyai jawapan kepada setiap soalan yang bakal dikemukakan.
Sumber : Harakahdaily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan