Rabu, Oktober 23, 2013

Tasaamuh Dalam Iktilaf

Iktilaf atau perbezaan pendapat adalah lumrah bagi manusia. Ia berlaku di kalangan para Anbiya' dan turut berlaku di kalangan para sahabat. Ia juga berlaku di zaman Rasulullah SAW samada semasa baginda masih hidup, apatah lagi setelah baginda wafat.

Iktilaf berlaku dalam pelbagai keadaan samada berpunca daripada penafsiran sesuatu nas dalil yang mempunyai pelbagai makna, lahjah yang berbeza atau sudut pandangan seseorang. Namun ianya tidak pernah dianggap negatif dalam sejarah para ulama' sehingga terkeluar kata-kata masyhur :
"Perbezaan pendapat di kalangan umatku adalah rahmat".

Kata-kata ini ditahkik oleh Dr. Yusuf al-Qardhawi sebagai 'La aslalah' (tidak diketahui punca riwayat sebenar), kerana beliau melihat jika perbezaan pendapat menjadi rahmat, bermakna muafakat adalah bala dan ini tentunya bertentangan dengan sifat Islam sebagai rahmat, serta dalil-dalil yang lain.

Tulisan ini tidak berhasrat membicarakan persoalan tersebut dari sudut tahqiq atau para perawi, tetapi ianya adalah masyhur. Lantaran itu rahmat yang disebut dalam kata-kata itu tentulah lahir daripada pelbagai natijah hasil ikhtilaf tersebut.

Para ulama' telah membuat huraian panjang lebar berhubung dengan persoalan adab dalam ikhtilaf. Namun adab hanya akan diikuti bilamana adanya tasawur yang jelas terhadap apa yang diikhtilafkan. Sebagai sebuah jamaah Islam, ikhtilaf hendaklah berjalan diatas landasan ukhuwah bukan kebencian dan memandang rendah kepada sahabat. Ikhtilaf boleh berlaku dikalangan pimpinan dan pengikut demi memperkukuhkan jamaah. Ia akan lahir setelah adanya sikap hormat kepada perbezaan pandangan kerana kemampuan berfikir manusia tidak sama.

Dari sudut jamaah kita terikat dengan akhlak dan adab jama'ie yang menuntut kita agar berlapang dada dengan perbezaan pendapat dan tidak memaksa pandangan kita keatas jamaah kecuali dalam perkara yang terikat dengan nas yang bersifat qat'ie. Selagi ianya bersifat ijtihadi, maka ia terikat untuk dibahas, dibincang, diterima atau ditolak.

Sikap tasaamuh (berlapang dada) dalam ikhtilaf sangat-sangat dituntut. Terkadang kita memandang baik kepada sesuatu perkara, sedangkan ianya tidak baik bagi kita. bahkan terkadang kita membenci sesuatu, sebaliknya ia baik bagi kita. Itulah yang diingatkan oleh Allah SWT menerusi firman Nya :
"Dan boleh jadi kamu membenci sesuatu, tetapi ianya baik bagi kamu. Dan boleh jadi kamu mengasihi sesuatu, tetapi ia tidak baik bagi kamu. Allah mengetahui sedangkan kamu sebenarnya tidak mengetahui".

Oleh kerana perkara masa depan adalah dalam ilmu Allah, maka setiap perbezaan pandangan hendaklah mengharapkan kebaikkan dari Allah. Berlapang dadalah dengan perbezaan ini. Apatah lagi kalau kedua-duanya untuk kebaikkan jamaah. Kita mempunyai saluran dalam melahirkan perbezaan pandangan. Maka gunakan saluran parti bagi menyatakan perbezaan pandangan agar ia tidak merosakkan ukhuwah dalam jamaah. Kita mempunyai pengikut yang mempunyai kecenderungan tersendiri, samada untuk mengikuti pandangan seseorang atau membencinya. Kebencian ini akan memberi ruang kepada musuh untuk memasukkan jarum fitnah yang boleh menjurus kepada hilangnya wala' keatas pimpinan. Sedangkan wala' adalah rukun dalam jamaah.

Sebagai pemimpin kita tidak seharusnya meletakkan ahli dan pengikut dalam situasi serba salah, antara bersetuju dengan sesuatu pendapat dan pandangan, atau sebaliknya. Kerana rasa bersalah yang wujud dalam diri ahli untuk menerima atau menolak sesuatu pandangan pimpinan mendorong kepada dua situasi :
  1. Apa orang lain akan kata kepadanya, dan sekiranya ia berlaku akan mendatangkan kesan besar selepas itu. Tidak mustahil ada yang akan tersinggung, menyisih diri, merajuk dan seterusnya hilang daripada jamaah.
  2. Menjadi golongan kecewa dengan apa yang berlaku dan terus mengambil sikap berdiam diri daripada aktif dalam jamaah.

Kedua-dua situasi ini tidak menguntungkan jamaah, dan paling besar merugikannya bila mana dia menghadap Allah SWT di akhirat. Lantaran itu, ikhtilaf hendaklah didalam lingkungan adab berjamaah. Ia dikawal dari sikap melampau yang membuka ruang kepada musuh, apatah lagi menjerumus kepada hilangnya sikap hormat, kecewa dan tidak mempedulikan jamaah.

Awasi perangkap musuh yang membesar-besarkan perbezaan pendapat, meracuni pemikiran ahli agar hilang wala' kepada pimpinan, dan memberi peluru kepada musuh untuk merosakkan jamaah.

Semoga Allah memelihara kita dari fitnah ini.

Oleh : Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man
Dipetik dari Majalah Sejarah Emas Perjuangan Islam di Malaysia.


1 ulasan:


  1. MINDA INTELEK MELAYU
    JAWAPAN KEPADA KELENTONG PEMBANGKANG TENTANG BAJET 2014 !!

    BalasPadam