Ibrah Perang Siffin.
Para ulama yang memutuskan bahawa korban perang Siffin tidak kira di
pihak Muawiyah ataupun di pihak Saidina Ali ialah syahid kerana mereka
berperang kerana keyakinan ijtihad masing-masing untuk menegakkan
kalimatullah. Para sahabat ialah individu yang mampu berijtihad kerana
keunggulan mereka dalam ilmu Islam memang tidak dapat dipertikaikan
lagi. Ijtihad yang benar diberi dua pahala dan yang tidak tepat diberi
satu pahala. Orang yang berijtihad tidak akan berdosa walaupun ijtihad
mereka salah, asal sahaja mereka mempunyai ilmu yang cukup dan layak
berbuat demikian.
Sesetengah buku sejarah mengulas peribadi sahabat
sehingga pembacanya memandang rendah pada tokoh-tokoh yang dijamin
syurga oleh Rasulullah. Pemerintahan Saidina Uthman dikatakan
pemerintahan yang korup, mementingkan keluarga dan lemah. Sepatutnya
perkara ini tidak boleh berlaku jika penulis itu faham dan menjiwai
kehebatan peribadi Saidina Uthman yang digelar "Zunnur 'Ain" oleh
Rasulullah sendiri. Kalaupun benar berlaku beberapa kelemahan dalam
pemerintahannya, kita hendaklah meyakini itu adalah kerana sifatnya yang
lemah lembut, tawadhuk, sabar, dan pemaaf. Bukan kerana sifat-sifat
mazmumah yang ada pada dirinya. Begitu juga ada pihak yang mengecam
Saidina Hassan yang rela menyerahkan pemerintahan kepada Muawiyah kerana
mengharapkan ganjaran harta sebagai imbalan (konon katanya). Tetapi
yang sebenarnya tindakan Saidina Hassan itu adalah disebabkan sikapnya
yang cinta akan perdamaian dan ingin melihat kedua-dua belah pihak dari
kaum Muslimin bersatu kembali.
Tidak kurang ada dalam kalangan
umat Islam sendiri yang menghina bahkan sampai ada yang mengkafirkan
sahabat Rasulullah seperti Abdullah bin Umar kerana berkecuali dalam
perang Siffin, Zubair ibnu Awwam dan Talhah kerana menyebelahi pihak
Saidatina Aisyah dalam memerangi Saidina Ali dalam peperangan Jamal
(unta). Menghina Khalid ibnu Walid (pedang Allah), mengatakan Abu Zarr
sebagai bapa sosialisme Islam, Saidina Abu Hurairah dan Amru sebagai
munafik dan sebagainya. Na'uzubillah...
Kita merasa kesal kerana
kecaman-kecaman ini datangnya daripada mulut orang yang mengaku sebagai
orang Islam bahkan, kadangkala datangnya daripada orang yang mendabik
dada sebagai pejuang Islam. Nampaknya, mereka bukan sahaja terperangkap
dengan penyelewengan golongan-golongan yang terlampau seperti Syiah dan
Khawarij tetapi juga diresapi oleh dakyah-dakyah jahat kaum Orientalis
Barat yang memusuhi Islam.
Para sahabat Rasulullah umpama
bintang-bintang di langit yang dapat menjadi petunjuk sepanjang zaman.
Menyebut nama mereka pun sudah mendatangkan rahmat, apalagi menyintai
dan menyanjung perjuangan mereka. Kita tinggalkanlah perselisihan yang
terjadi dalam kalangan mereka sebagai satu ketentuan yang tidak dapat
dielakkan tetapi banyak hikmah untuk dijadikan iktibar. Sesungguhnya
pemanah-pemanah yang meninggalkan kedudukan mereka dalam perang Uhud
mempunyai keperibadian yang berganda-ganda hebat daripada kita, dan
sikap mereka itu bukanlah kerana mereka tamak kepada harta tetapi memang
peristiwa itu terjadi untuk dijadikan teladan bagi mereka dan kita
bahkan untuk Mukmin sepanjang zaman tentang betapa buruknya akibat
mengabaikan arahan pemimpin Islam.
Mereka telah pergi membawa
nama yang gemilang dengan membawa pelbagai gelaran yang diebrikan oleh
Rasulullah SAW seperti As-Siddiq, Karamallahu Wajhah, Saifullah, Aminul
Ummah dan lain-lain lagi. Seumur hidup kita pun kalau digunakan untuk
menandingi kehebatan mereka, tidak akan berjaya. Jangan sampai menjadi
kelawar yang tidak dapat melihat di waktu siang, bukan kerana siang itu
gelap tetapi kerana siang itu terlalu terang untuk matanya. Oleh itu,
demi kebangkitan Islam yang semakin marak sekarang, janganlah sampai
melahirkan segolongan pejuang yang terlalu gelojoh, terburu-buru, tidak
mengenal diri dan semborono dalam berfikir dan bertindak.
Akhirnya, peribadi sahabat ialah modal untuk kita jadikan pendorong dan
panduan dalam berjuang, bukan untuk dikecam, dianalisa sudut-sudut yang
negatif lalu dipaparkan. Tindakan menghina mereka (walaupun seorang)
sebenarnya menarik langkah perjuangan ke balakang kembali. Menghina
sahabat bererti menghina Rasulullah SAW, seterusnya menghina Allah SWT.
Na'uzubillahiminzalik.. Menuduh mereka jahat samalah
memperkecil-kecilkan sistem pendidikan Rasulullah yang mendapat didikan
langsung daripada Allah SWT.
Kecaman golongan itu sebenarnya
tidaklah mengurangkan pahala dan ketinggian darjat para sahabat, tetapi
menunjukkan kebodohan dan menjatuhkan diri mereka sendiri ke lembah
dosa. Mereka tentunya tidak akan menjadi teman para sahabat dalam syurga
kelak.
Sekadar renungan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan