Khamis, Oktober 25, 2012

Kewajaran pemberian durian runtuh kepada peneroka.

Semalam penulis menemani Sdr. Mazlan Aliman selaku Presiden ANAK ditemubual oleh wartawan Sinar Harian di Felda Taib Andak berbicara mengenai pemberian durian runtuh kepada peneroka Felda. Wartawan berkenaan sedang meninjau kes-kes tertentu yang timbul hasil daripada pemberian tersebut seperti perebutan diantara keluarga, penipuan dsb. Bagi masyarakat di Felda Taib Andak setakat ini tidak kedengaran kes-kes yang dimaksudkan walaupun kedengaran cerita-cerita perkelahian antara adik beradik dalam agihan khususnya bagi keluarga yang ketiadaan ibu-bapa mereka lagi. Namun ia tidak dapat disahkan kerana tiada kesahihan berita.

Sebagai respon kepada persoalan tersebut, Sdr Mazlan telah memberikan beberapa kes yang berlaku di tanah rancangan selain  di Felda Taib Andak yang telah dirujuk kepada beliau. Sebagai contoh terdapat peneroka dan isterinya yang masih hidup tetapi dilaporkan oleh anaknya telah meninggal dunia semata-mata kerana ingin membolot habuan tersebut. Perkara ini berlaku di dalam Gugusan Felda Taib Andak. Satu kes lagi didalam gugusan yang sama, si anak menemani ibunya untuk mengeluarkan duit di Maybank Bandar Tenggara. Setelah cek ditunaikan, si anak hanya memberikan ibunya RM200 sahaja dengan alasan si ibu tidak memerlukan jumlah wang yang banyak kerana kini tinggal sendirian. Ini antara beberapa kes yang di dedahkan dan terdapat banyak lagi kes yang hampir serupa bahkan lebih trajis lagi yang berlaku di Felda seluruh negara.

Mazlan yakin kes-kes yang berlaku ini sengaja di sembunyikan oleh pihak pengurusan Felda bagi mengelakkan tanggapan buruk masyarakat tentang pemberian durian runtuh tersebut. Persoalannya ialah dari sudut kewajaran pemberian tersebut. Tidak salah memberi tetapi apa maksud sebenar tersirat disebalik pemberian itu. Kenapa ianya timbul setelah 55 tahun negara merdeka dan telah sekian lama peneroka Felda ujud diseluruh negara? Kenapa istilah Durian Runtuh ini baru sekarang ketika Barisan Nasional melihat kedudukan mereka mula tergugat? Kenapa tidak diruntuhkan durian ketika BN sedang selesa dipuncak pemerintahan?

Dari sudut pandangan penulis, pemberian ini semata-mata bermotifkan politik. Cara mudah bagi BN membeli undi khususnya dari kalangan masyarakat Melayu di Tanah Rancangan Felda. Sedangkan sebelum ini yang menggadai tanah peneroka dibeberapa buah rancangan adalah puak yang sama. Kini apabila dirasakan kedudukan mereka mula meruncing, wang dijadikan senjata. Orang Melayu yang sengaja diletakkan jauh dipendalaman akan mudah dipengaruhi dengan wang. Beri saja sedikit habuan, mereka akan kembali menyokong. Inilah tanggapan yang sentiasa ada dalam benak pemimpin BN yang bermazhab UMNO.

Tak tahulah samada apa yang diluahkan ini akan dimuatkan didalam akhbar ataupun tidak. Walau apa pun, ini merupakan pandangan kami.

Sesudah itu, kami berkunjung kerumah Mak Teh bagi meninjau perkembangan terkini keluarga tersebut. Sinar Harian merupakan akhbar arus perdana yang memberi liputan tentang keluarga ini diawal usaha membantu. Kini ruang dapur rumah ini telah diganti bumbungnya oleh JKK Felda tersebut. Alhamdulillah. Semoga semua yang turut serta membantu meringankan bebanan keluarga ini diberi ganjaran yang setimpal oleh Allah swt. Insya'allah.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan