Rabu, November 30, 2011

Penghinaan Isa memalukan seluruh warga Felda

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPP Malaysia) menganggap kes terbaru yang melibatkan penghinaan terhadap Ketua Peneroka Felda oleh Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad sebagai kemuncak kemarahan warga Felda terhadap pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“DPP Malaysia membayangkan kenyataan beramaran oleh Pengerusi Jawatankuasa Perunding Peneroka, Shamsuddin Othman menunjukkan warga Felda kini lebih berani, matang, terbuka serta mempunyai prinsip yang teguh dan perlu dihormati oleh semua pihak, termasuk Perdana Menteri,” kata ketua penerangannya, Riduan Mohd Nor kepada Harakahdaily.

Bagi DPP Malaysia, katanya warga Felda telah lama menyimpan perasaan marah dan kecil hati ekoran pelantikan Isa yang dikatakan tidak kena pada tempatnya kerana dilantik tanpa rundingan dengan ahli jawatankuasa Felda.

“Dalam hal ini, Perdana Menteri menggunakan sepenuhnya kuasa beliau dengan mengenepikan segala pandangan rakyat apabila meletakkan Tan Sri Isa sebagai Pengerusi Felda,” katanya.

Menurutnya, insiden penghinaan Isa terhadap Ketua Peneroka Felda dalam satu majlis taklimat di Kuala Pilah menunjukkan tahap kesombongan beliau yang melampau.

Beliau berkata, tidak sepatutnya Pengerusi Felda itu menghina Pengerusi JKPP dalam majlis tersebut memandangkan beliau sendiri tidak sampai setahun memegang jawatan tertinggi di Felda, sedangkan Pengerusi JKPP itu telah berjasa besar terhadap Felda.

Baginya, penghinaan itu amat memalukan bukan sahaja kepada Pengerusi JKPP, bahkan kepada warga Felda keseluruhannya.

Katanya, Isa perlu mengenang segala jasa dan pengorbanan setiap individu yang terlibat dalam membangunkan Felda.

“Merekalah yang selama ini hidup dan mati bersama Felda dan hasil keringat merekalah Felda kini mendapat kuntungan berjuta ringgit,” ujarnya lagi.

Justeru, tambahnya DPP Malaysia mengingatkan, jika warga Felda sendiri melahirkan kemarahan terhadap Isa Samad dan pentadbiran Datuk Seri Najib, ini menunjukkan tiada jalan selamat untuk BN menang mudah dalam PRU ke-13 nanti.

Tambahnya, tiada lagi istilah fixed deposit jika PM terus berdegil mengekalkan Isa di jawatan tersebut.

Oleh itu, ujarnya DPP Malaysia mendesak agar Tan Sri Isa Samad memohon maaf secara terbuka kepada Shamsuddin Othman, Pengerusi Jawatankuasa Perunding Peneroka (JKPP) di atas penghinaannya terhadap beliau dan meletak jawatan serta merta.

“Bagi DPP Malaysia, ini sebagai mesej jelas kepada PM agar mendengar rintihan hati rakyat dan jangan membuat keputusan sendiri tanpa perbincangan dengan pelbagai pihak.

“Ia juga sebagai peringatan agar pemimpin jangan berlagak sombong dengan menghina orang lain di bawahnya!” ujarnya lagi.


Sumber : Harakahdaily

Tiada ulasan:

Catat Ulasan