Rabu, November 30, 2011

Felda Kian Bergelora – Najib Nak Terus Bela ‘Biawak Hidup’?

Kepentingan dan hak seramai 220,210 orang peneroka, anggota keluarga peneroka, generasi kedua dan kakitangan FELDA adalah terletak di dalam pegangan ekuiti sebanyak 51% di dalam Felda Holding Berhad (FHB) yang dipegang melalui Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad (KPF). Manakala baki pegangan sebanyak 49% di dalam FHB adalah dipegang oleh FELDA Global Venture Holdings (FGVH), yang dimiliki 100% oleh FELDA.

Perdana Menteri Datuk Seri Haji Najib Razak sewaktu membentang belanjawan negara bergegar-gegar memaklumkan bahawa peneroka bakal mendapat durian runtuh bilamana Felda akan disenaraikan di Bursa Saham Kuala Lumpur pertengahan bulan 2012 nanti.

Di bawah pentadbiran Najib, cadangan untuk menyenaraikan FGVH akan memperlihatan peneroka di bawah KPF terpaksa melepaskan 51% kepentingan mereka di FHB - yang mencatatkan keuntungan RM760 juta tahun lepas untuk duduk di bawah FGVH dan memegang 61 peratus dalam FGVH, yang anak-anak syarikat antarabangsanya telah dilaporkan kerugian RM500 juta sehingga 2010.

Bagaikan kedengaran guruh di langit dengan pengumuman Najib, maka Isa Samad yang menjadi 'key person' yang diharap menjayakan hasrat yang pernah dibantah rakyat era Tun Dr Mahathir ini terus mengisytiharkan beberapa langkah ke arah 'meruntuhkan durian' tersebut.

Antaranya memasukan dirinya menjadi pengerusi KPF, mengambilalih kesemua ladang Felda Plantation untuk dipajak selama 99 tahun, menggerakkan aset Felda di semua lot kosong dalam Felda dan pelbagai caturan lain untuk memastikan hasrat menjadikan saham Felda antara yang tertinggi apabila dilancarkan.

Namun, hasrat tersebut disedari oleh beberapa pimpinan peneroka yang terlihat ada agenda tersembunyi pihak berkepentingan dalam usaha ini. Mereka bangkit membantah bukan kerana menolak durian runtuh, tetapi demi masa depan generasi Felda, tanah milik Felda dan pendapatan peneroka yang menjadi ahli KPF.

Apa tidaknya, FGVH sebuah syarikat yang terus membuat kerugian beratus juta ringgit dan bergantung hidup pada Felda Holding Berhad (FHB) bakal ‘menelan’ telur emas peneroka, FHB di dalam struktur baru dari penstrukturan semula dan penyenaraian FGVH di Bursa Malaysia.

Pada minda mereka terfikir bagaimana syarikat yang rugi dan lemah boleh ‘menelan’ sebuah syarikat yang maju dan terbukti ‘profitability’nya?

Belum reda desakan agar Isa Samad digugurkan daripada jawatan Pengerusi Felda, kini wujud pula tuntutan daripada warga Felda untuk mengetahui berapa gaji dan elaun yang dibayar kepada beliau dan ahli lembaga pengarah Felda yang ditugaskan bersungguh-sungguh ingin merampas tanah Felda Plantation untuk dipajakkan.

Bantahan cara pentadbiran Isa Samad dalam mengurus Felda oleh beberapa pimpinan utama telah menimbulkan polemik cabar-mencabar. Terbaru, ialah tindakan menuntut permohanan maaf dan terhadap Isa akibat penghinaan kepada pengerusi peneroka Felda Saudara Shamsuddin Othman.

Bukan itu sahaja, peneroka kini bangkit melalui Jawatankuasa Perunding Peneroka (JKPP) untuk memberikan amaran bahawa saman akan dikeluarkan jika mereka tidak diberi jaminan bertulis penyenaraian ke BSKL dapat menjamin pendapatan konsisten sepanjang tempoh pajakan tanah mereka seluas 360,000 hektar kepada FGVH dengan pelbagai syarat tidak munasabah dan jumlah nilai pajakan yang sangat kecil iaitu RM500 juta sahaja berbanding RM2 bilion yang diperolehi sekarang.

Mereka mempersoalkan mengapa mereka tidak dijemput untuk berbicara sebelum pengumuman dibuat, dan mengapa ada sesuatu yang cuba dirahsiakan daripada pengetahuan peneroka dalam usaha FGVH mengambilalih aset Felda khususnya KPF.

Senario ini membuktikan apa yang dibimbangi oleh Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) ternyata ada kebenarannya, kerana apalah makna bagi peneroka dan persatuan peneroka bilamana mereka dikesampingkan dalam sebarang agenda besar berkaitan Felda.

Hura-hara yang timbul kini nampaknya akan menyebabkan hasrat Najib untuk 'meruntuhkan durian' tidak akan menjadi kenyataan. Persoalan besar kini ialah apakah haji Najib terus bersedia memikul ' biawak hidup' yang menimbulkan kemarahan warga pengurusan dan Felda, atau adakah beliau berani untuk menyahkan Isa dari Felda. Mungkin persoalan ini bukan hanya perlu ditanya kepada Haji Najib, tetapi elok juga ditanya kepada Hajah Rosmah.


Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man

Ketua Penerangan PAS Pusat

Tiada ulasan:

Catat Ulasan