Kenaikan elaun AP biasanya akan diikuti dengan kenaikan elaun para menteri, timbalan menteri dan lain-lain. Keadaan ini bakal menyebabkan negara terpaksa menanggung kos kekal (fixed cost) yang semakin bertambah. Kos kekal ini hanya boleh diatasi dengan peningkatan pendapatan negara, sekiranya gagal ia akan menambah bebanan kepada golongan bawahan pada masa hadapan.
Cadangan menaikkan elaun AP ketika rakyat susah ini ibarat kata ‘berat rakyat yang junjung, ringan wakil rakyat yang jinjing.’ Rakyat marhaen bolehlah menilai sendiri versi negara berkebajikan Datuk Seri Najib Razak yang diwar-warkan akan mengutamakan rakyat tapi sering kali hanya akan ‘mengutamakan yang senang.’
Namun kali ini, rakyat bernasib baik kerana hasil daripada kehendak AP Pakatan Rakyat, kerajaan BN terpaksa membatalkan cadangan kenaikan elaun AP. Inilah bukti sahih yang membolehkan membuat perbandingan wakil rakyat belah mana yang lebih prihatin dan sensitif kepada keperitan rakyat.
Apa yang perlu difokuskan sekarang bukannya menaikkan elaun AP, tetapi cara untuk menyalurkan semua peruntukan AP kepada rakyat tanpa mengira parti politik yang mereka wakili secara adil. Ini adalah lebih adil dan saksama dan berkesan kepada semua rakyat.
Sekiranya benar kerajaan BN ingin dilihat rakyat sebagai menjalankan negara kebajikan maka peruntukan mesti diberi secara adil kepada semua kawasan kerana setiap AP yang dipilih oleh rakyat dalam sistem yang telah diiktiraf oleh kerajaan.
Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS Pusat
Tiada ulasan:
Catat Ulasan