Selasa, Oktober 11, 2011

Rakyat Perlu Teruskan Agenda Perubahan

Seperti yang dijangka, BN telah membentangkan satu bajet morfin yang bersifat kesenangan sementara. Kesakitan dan keperitan sebenar akan kembali sejurus selepas kesan morphine hilang.

Dari sudut yang lain, rakyat perlu melihat pembentangan bajet oleh PM ini juga adalah sebahagian daripada kejayaan mereka mengenakan tekanan kepada kerajaan BN dalam PRU lalu.

Kini, Umno BN cuba mendapatkan kembali sokongan rakyat melalui bajet yang kelihatan mengutamakan rakyat; setelah mengabaikan rakyat dengan mementingkan projek mega bagi kroni-kroni berpuluh tahun.

Kejayaan mengenakan tekanan politik kepada BN mesti diteruskan, kerana seandainya mereka berjaya mengekalkan kuasa selepas PRU13, segala berita gembira yang ditabur dalam belanjawan akan ditarik balik dalam bentuk cukai GST yang telah diumumkan dan bakal dilaksanakan tatkala majoriti rakyat masih tidak bersedia untuk menghadapinya.

Kali ini keadaan dijangka lebih parah lagi kerana bajet kali ini tidak disertakan dengan langkah-langkah kerajaan untuk menaikkan pendapatannya untuk menampung perbelanjaan sebegitu banyak. Lebih-lebih lagi, dalam bajet kali ini PM juga tidak mengumumkan apa-apa cara untuk mengurangkan ketirisan, gejala rasuah, penyelewengan, salahguna kuasa dan kronisme yang selama ini hanya menambah keperitan rakyat bawahan.

Duit tidak mungkin jatuh dari langit, dan dengan ekonomi dunia yang sedang meleset, adakah kerajaan BN sedang menyembunyikan langkah-langkah drastik untuk mendapatkan dana sehingga selepas PRU13? Berapakah bajet susulan yang sudah ada dalam perancangan BN yang bakal dibentangkan lagi untuk menampung perbelanjaan morfin ini?

Yang pasti sistem percukaian baru GST akan diperkenalkan – kemudian kemungkinan besar beban 6% cukai telefon prabayar akan ditolak ke bahu rakyat selepas PRU13 dan lebih banyak subsidi akan ditarik balik sekiranya BN kekal berkuasa selepas PRU13.

Selain itu, untuk mengelakkan kemarahan rakyat menjelang PRU-13, tiada peruntukan yang diumumkan untuk PERMATA yang diketuai isteri kesayangan PM – akan tetapi, rakyat tidak perlu bergembira, yang pasti sekiranya mereka menang PRU13, peruntukan untuk PERMATA akan diumumkan semula dengan nilai yang lebih besar di dalam bajet susulan.

Segala apa yang diberi sekarang yang kononya atas nama ‘negara berkebajikan ala Umno BN’ hanya bertujuan untuk melalaikan rakyat. Apa yang diberi akan ditelan kembali selepas PRU13 jika mereka terus berkuasa selepas PRU13, kerana suka ataupun duka, rakyat terpaksa duduk di bawah kerajaan BN untuk lima tahun lagi sebelum ada peluang untuk mengundi mereka keluar.

Namun, semua langkah ‘menelan’ ini tidak akan diumum sekarang kerana yang penting rakyat dapat ditipu terlebih dahulu untuk mengekalkan mereka di tampuk pemerintahan, yang lain boleh diumum sedikit demi sedikit, kerana selepas itu, rakyat hanya boleh merungut tapi kuasa mereka tidak akan tergugat untuk 5 tahun akan datang.

Pengalaman lampau mengajar kita bagaimana setelah selesai PRU kerajaan BN akan segera mengisytiharkan kenaikan harga barangan keperluan rakyat. Walau apapun tema belanjawan diberi, rakyat yang telah mengenal tipu muslihat Umno/BN diharap jangan terlalai dalam suntikan morfin ini dan terus menggunakan kuasa dan peluang yang ada pada PRU13 bagi membuat perubahan untuk menyelamatkan Malaysia.

PAS mengingatkan rakyat agar meneruskan agenda perubahan politik negara sebagai kesinambungan PRU12.





Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man

Ketua Penerangan PAS Pusat

Tiada ulasan:

Catat Ulasan