Khamis, Oktober 06, 2011

Dimanakah kedudukan Bahasa Melayu di Iskandar Malaysia ?


Pembangunan di Iskandar Malaysia sedang rancak berjalan. Antara projek yang sedang dibangunkan ialah Kompleks Membeli Belah bertaraf Antarabangsa yang kini hampir siap. Lokasinya di susur masuk Bandar Indahpura, Kulaijaya dan berhampiran dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Ismail, Senai.

Berdasarkan papan tanda yang siap didirikan, Penulis menganggap Pusat Membeli Belah tersebut telah dinamakan sebagai ‘Johor Premium Outlets’. Pastinya sesuai dengan tujuan pembinaannya iaitu sebagai tarikan pelancung antarabangsa.

Walaubagaimanapun, Penulis merasakan penggunaan nama dalam bahasa Asing ini adalah satu kerugian kepada rakyat dan negara ini. Di satu sudut, kita merasakan nama itu memang sesuai kerana sasaran utamanya adalah pelancung asing. Satu perkara yang mungkin pihak berwajib terlepas pandang ialah dengan adanya kompleks bertaraf antarabangsa ini, ia adalah satu peluang bagi kita memperkenalkan dan memartabatkan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa.


Kalaulah kita merasa kerdil bagi menggunakan Bahasa Melayu di tanahair sendiri, apalagi yang tinggal kepada bahasa Melayu, cukupkah sekadar menjadi bahasa pasar sahaja ?

Memetik ucapan Almarhum Aminuddin Baki di Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu ke 3, pada 16 ~ 21 September 1956 di Johor Bharu, Johor yang berbunyi,

“Ancaman datang daripada golongan Melayu yang kurang percaya tentang kebolehan Bahasa Melayu sehingga timbulnya rasa tidak tahu membuat apa-apa bila Bahasa Inggeris cuba hendak diganti dengan Bahasa Melayu. Ini adalah keadaan yang biasa di kalangan bangsa yang dijajah, hasil penjajahan di alam fikiran dan kehidupan penduduk”.

Bahasa Jiwa Bangsa

Warga Malaysia Prihatin,
Ahmad Thobroni Bin Abu Bakar

Tiada ulasan:

Catat Ulasan