Selasa, Ogos 09, 2011

MANUSIA ANTARA KEPATUHAN DAN KEDEGILAN.

Ketika Allah swt mencipta Adam a.s. Dia memerintahkan semua malaikat dan iblis supaya tunduk kepada mahluk yang baru itu :

وَاِذَ قُلْنَا لِلْمَلَئِكَةِ اسْجُدُوْا ِلأَدَمَ فَسَجَدُوآ اِلاَّ اِبْلِيسَ أَبىَ وَاسْتَكْبَرَ وَكَانَ مِنَ اْلكَفِرِيْنَ .

Maksudnya :

“Dan ingatlah ketika Kami berpesan kepada para malaikat, Sujudlah kamu kepada Adam. Maka sujudlah mereka kepada Adam kecuali iblis; ia enggan dan takbur dan adalah termasuk dalam golongan mereka yang kafir”.

(al-Baqarah [2] : 34)

Iblis enggan dan angkuh, kerana dalam urusan mematuhi perintah Allah, ia masih mahu berdialog dengan akalnya mengenai kejadian Adam. Sebelum itu iblis adalah hamba Allah yang sangat kuat beribadat sehingga ia terkenal di kalangan malaikat. Ia memprotes Allah kerana arahan tersebut. Katanya : خَلَقْتَنِى مِنْ نَارٍ وَخَلَقْتَنِيى مِنْ طِيْنٍ Engkau jadikan aku daripada api sedangkan Engkau jadikan dia (Adam) daripada tanah.. Seolah-olah iblis mahu mengatakan bahawa ia daripada api tidak layak sujud kepada Adam yang diciptakan daripada bahan tanah – menurut logiknya.

Peranan akal dalam masaalah ad-Din mestilah sujud, patuh dan tunduk kepada Nya. Percubaan iblis untuk menggunakan akal dalam perkara ini menyebabkan ia terkeluar dari jalan yang lurus. Ia termasuk dalam golongan yang kafir!

Ciri-ciri iblis ini kemudiannya menjelma ke dalam diri manusia yang enggan dan angkuh kepada perintah Allah; menjelma ke dalam diri Namrud, Fir’aun, Abu Jahal dan manusia sejenis dengan mereka dahulu dan sekarang.

Mereka inilah manusia degil yang digambarkan oleh al-Quran sebagai :

صُمٌّ بُكْمٌ عُمْىٌ فَهُمْ لآ يَرْجِعُوْنَ manusia tuli, bisu dan buta (kerana enggan menerima kebenaran) dan mereka tidak akan kembali (kepada jalan yang lurus).

Golongan inilah biasanya menolak hidayat al-Quran, mempertikaikan al-Quran sebagai penyuluh hidup, tidak senang dengan gerakan dakwah yang sihat, menolak Islam sebagai a way of life dan menyenda-guraukan ajaran Islam.

Dalam ayat lain Allah menyifatkan mereka sebagai :

لَهُمْ قُلُوبٌ لاَيَفْقَهُوْنَ بِهَا وَلَهُمْ أَعْيُنٌ لاَيُبْصِرُونَ بِهَا وَلَهُمْ ءَاذَانٌ لاَّيَسْمَعُونَ بِهَا ، أُولَئِكَ كَاْلأَنْعَمِ بَلْ هُمْ اَضَلُّ ، أُولَئِكَ هُمُ اْلغَفِلُوْنَ.

Maksudnya :

“Mereka mempunyai hati tetapi tidak dipergunakan untuk (memahami ayat Allah), mempunyai mata tetapi tidak dipergunakan melihat (tanda-tanda kebesaran Allah), mempunyai telinga tetapi tidak dipergunakan untuk mendengar ayat-ayat Allah, mereka itu sebagai binatang ternakan malah lebih sesat lagi. Mereka itulah orang yang lalai”.

(al-A’raf [7] : 179)

Allah swt berfirman :

أُولَئِكَ الَّذِينَ لَعَنَهُمُ اللهُ فَأَصَمَّهُمْ وَأَعْمَى اَبْصَرَهُمْ . اَفَلاَ يَتَدَبَّرُوْنَ اْلقُرْءَانَ أَمْ عَلىَ قُلُوبٍ أَقْفَا لُهَا .

Maksudnya :

“Mereka itulah orang-orang yang dilaknati Allah, ditulikan Nya telinga mereka dan di butakan Nya penglihatan mereka. Maka apakah mereka tidak memerhatikan al-Quran atau hati mereka terkunci?”.

(Muhammad [47] : 23-24)

Sedang para malaikat yang mematuhi arahan Allah terus sujud tanpa melihat kepada asal kejadian mereka, padahal mereka dijadikan daripada cahaya. Mereka tersungkur sujud kapada Adam kerana kepatuhan dan ketaatan.

لآ يَعْصُونَ اللهَ مَا أَمْرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤ مَرُوْنَ. : Tidak menderhakai Allah tehadap perintah Nya kepada mereka dan mengerjakan apa yang diperintahkan Nya.

Seorang Muslim yang taat akan menerima perintah Allah dan Rasul Nya dengan perkataan : سَمِعْناَ وَأَطَعْنَا : kami dengar dan kami patuh!. Dalam hal ini Allah berfirman :

اِنَّمَا كَانَ قَوْلَ اْلمُؤمِنِيْنَ اِذَا دُعُوْ اِلَى اللهِ وَرَسُولِهِ لِيَحْكُمَ بَيْنَهُمْ أَن يَقُوْلُوْا سَمِعْنَا وَأَطَعْنَا ، وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ.

Maksudnya :

“Sesungguhnya jawapan orang-orang mukmin apabila mereka dipanggil kepada Allah dan Rasul Nya agar Rasul menghukum diantara mereka ialah ucapannya : Kami mendengar dan kami patuh , dan mereka itulah orang-orang beruntung”.

(an-Nur [24] : 51)

Terdapat pula segolongan manusia pada zaman Nabi Allah Musa a.s. apabila diperintahkan oleh Allah supaya berpegang teguh kepada ajaran Allah dan diminta mendengar lantas mereaka menjawab : kami dengar tapi derhaka : itulah golongan jahat, munafik, golongan Yahudi yang memutar belitkan perkataan Allah dari tempat asalnya, meminda, menambah dan mengurangi hukum Allah.

Golongan ini tidak kurang juga terdapat di dalam sejarah umat Islam sejak dahulu hingga sekarang. Mereka itu ibarat musang berbulu ayam, bertopengkan Islam tetapi hati merka penuh dengan hasad dengki terhadap Islam, terhadap al-Quran dan al-Sunnah. Golongan ini kadang-kadang berselindung di sebalik nama Tariqat Sufiyyah, pertubuhan kebajikan, badan-badan Islam dll. Hakikatnya mereka telah mencipta agama baru yang sesuai dengan hawa nafsu mereka.

Aliran iblis menggunakan akal untuk tidak sujud kepada Allah. Aliran ini menular dengan hebatnya didalam tahap perkembangan fikiran menusia yang menolak wahyu dan pimpinan Rasul, didalam pelbagai bidang ilmu pengetahuan pada zaman ini terutamanya.

Aliran kedua ialah Zionisme yang mengaku secara lahir terhadap pimpinan wahyu tetapi didalam hati mereka menentang hukum Allah dan mereka berusaha bekerja ke arah membinasakan kemanusiaan dan menegakkan kekuasaan semata-mata untuk kepentingan mereka.

Aliran yang paling selamat ialah tunduk dan patuh kepada hidayat al-Quran yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. zahir dan bathin, mental dan fizikal, ruhaniyyah dan jasmniyyah, itulah :

الصِرَطَ الْمُسْتَقِيْمَ . صِرَطَ اْلَذِينَ أَنعَمْتَ عَلَيْهِمْ غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ الضَّالِينَ .

Adakah kita mempunyai pilihan selain daripada aliran yang terakhir? Jika tidak ada yang lain, marilah kita bersama-sama menerima hakikat bahawa sebenarnya al-Quran adalah perlembagaan hidup insan!


Petikan buku : Konsep Kepimpinan Dalam Islam Pesanan Seorang Da’i

Oleh : Allahyarham Ustaz Wahab Zakaria

Tiada ulasan:

Catat Ulasan