Selasa, Ogos 02, 2011

Kenali Syiah.

Para ulama Usul Al-Fiqh menyatakan kaedah berikut, “Seseorang itu tidak boleh membuat keputusan atas sesuatu melainkan dia mempunyai pengetahuan yang jelas tentangnya”. Berdasarkan kepada kaedah ini, adalah tidak bermakna untuk kita menghukum Syiah melainkan jika kita mempunyai pengetahuan yang jelas tentang mereka. Ianya juga tidak bermakna untuk kita membuat penyesuaian antara pendapat Sunni dan Syiah tanpa mengenali sifat dasar kedua-dua aliran tersebut. Begitu juga, memang tidak masuk akal untuk menerima atau menolak perbincangan tentang Syiah tanpa mengetahui hakikat sebenar sesuatu isu, sejauh mana tahap bahayanya, di mana kedudukannya dalam senarai keutamaan kita dan hubungannya dengan pelbagai faktor perubahan yang melanda Ummah.

Pendeknya, sebelum kita mengkritik penentang atau penyokong Syiah, terlebih dahulu kita perlu memahami siapakah pengikut Syiah, apakah asal-usul mereka, apakah latarbelakang tauhid dan fekah mereka, bagaimanakah sejarah mereka, apa hakikat sebenar mereka dan apakah tujuan dan cita-cita mereka. Hanya selepas membuat kajian ini, barulah kita boleh mengeluarkan pendapat kita tentang apa yang akan berlaku, terutamanya bila kita mengetahui berapa ramai yang telah menukar kepercayaan yang telah dipegang selama ini apabila disajikan dengan maklumat yang mantap dan pandangan yang jelas.

Siapakah Syiah?

Isu ini bukannya semata-mata tentang mereka yang tinggal dalam sebuah negara dan bertelagah dengan negara-negara jirannya. Tetapi ia sebenarnya melibatkan isu latarbelakang tauhid, sejarah dan fekah yang perlu dirujuk.

Ramai ahli sejarah berbeza pendapat tentang bagaimana sebenarnya Syiah bermula.
Apa yang sering diceritakan oleh massa bahawa Syiah adalah mereka yang menyokong `Ali bin Abu Talib semasa zaman khalifah Mu`awiyah bin Abu Sufyan. Sehubungan dengan itu, sesiapa sahaja yang menyokong `Ali bin Abu Talib adalah Syiah sementara yang menyokong Mu`awiyah adalah Sunni. Pandangan seperti ini memang tidak pernah diterima oleh sesiapa pun. Lagipun, Sunni percaya bahawa persengketaan yang wujud antara dua Sahabat yang mulia itu melibatkan penggunaan Ijtihad yang lebih tepat oleh `Ali berbanding Mu`awiyah. Jadi, Sunni memang mempunyai pandangan yang menyebelahi `Ali. Lagipun dogma, doktrin dan ideologi yang dipegang pengikut Syiah berbeza dengan apa yang dipegang oleh `Ali bin Abu Talib. Oleh itu, adalah tidak tepat untuk mengatakan Syiah muncul sewaktu era tersebut.

Beberapa orang ahli sejarah mengatakan Syiah muncul selepas Al-Hussein mati syahid. Pendapat ini lebih logik. Sebenarnya, Al-Hussein melancarkan pemberontakan menentang pemerintahan Yazid bin Mu`aweiyah di mana beliau telah berangkat ke Iraq selepas pengikut-pengikutnya di sana berjanji untuk menyokongnya. Malangnya, mereka tidak menepati janji ketika saat-saat kritikal sehingga membawa kepada kesyahidan Al-Hussein di Karbala. Kelompok pengikut yang menjemputnya dan kemudian gagal mempertahankan beliau berasa menyesal dengan kejadian itu dan memutuskan untuk menebus dosa mereka dengan melancarkan pemberontakan menentang kerajaan Bani Umayyah. Ramai di kalangan mereka yang mengambil tindakan itu terbunuh dan berikutan itu, digelar Syiah. Ini mungkin menjelaskan kepada kita kenapa Syiah lebih hampir kepada Al-Hussein bin `Ali berbanding `Ali bin Abu Talib sendiri. Mereka juga memperingati ulangtahun kesyahidan Al-Hussein tetapi tidak pula untuk `Ali bin Abu Talib.

Bagaimanapun, kumpulan ini bangkit sebagai satu gerakan politik yang menentang pemerintahan dinasti Bani Umayyah dan menyokong semua gerakan pemberontakan terhadap kerajaan. Pada ketika itu, mereka tidak mempunyai pegangan yang berbeza dengan Sunni dalam prinsip-prinsip tauhid atau fekah. Malah kita juga akan mendapati bahawa pemimpin-pemimpin terdahulu yang dianggap oleh pengikut Syiah sebagai Imam Syiah terawal mereka adalah sebenarnya dari kalangan Sunni yang berpegang kepada doktrin dan prinsip Sunni.

Syiah Zaidiyyah

Situasi kekal stabil selama beberapa bulan selepas kesyahidan Al-Hussein. Pada masa ini jugalah hidupnya `Ali Zainul-`Abdin bin Al- Hussein iaitu salah seorang yang berakhlak mulia dan bertaraf ulama yang hebat. Tidak ada satu riwayat pun yang mengatakan beliau mempunyai kepercayaan atau ideologi yang berbeza dengan Sahabat-Sahabat dan generasi terdahulu.

`Ali Zainul-`Abdin mempunyai dua anak lelaki yang mempunyai tahap ketaatan tinggi dan berkeperibadian mulia, iaitu, Mohammed Al-Baqir and Zaid, kedua-duanya mempunyai kepercayaan yang sama dengan ulama Sunni termasuklah para Sahabat dan Tabi’in. Bagaimanapun, Zaid bin `Ali mempunyai pandangan yang berbeza apabila berpendapat `Ali bin Abu Talib lebih layak diangkat sebagai khalifah berbanding Abu Bakr.

Walaupun pendapatnya bertentangan dengan kemuafakatan Ummah dan berlawanan dengan banyak Hadith yang secara jelas meletakkan Abu Bakr Al-Siddik, `Umar dan `Uthman dalam tingkatan yang lebih tinggi dari `Ali, perbezaan pendapat ini, bagaimanapun, tidak berkait dengan isu-isu doktrin. Sekalipun beliau melihat `Ali sebagai yang terbaik, namun beliau tetap mengakui ketinggian pangkat tiga khalifah pertama itu. Beliau juga percaya bahawa seseorang yang lebih rendah pangkatnya diperbolehkan menjadi khalifah sekalipun ada yang lebih tinggi pangkatnya. Justeru itu, beliau tidak menafikan kepimpinan Abu Bakr, `Umar dan `Uthman. Selain dari pendapat ini, beliau sependapat dengan Sunni dalam bidang tauhid, prinsip-prinsip dan fekah.

Zaid bin `Ali mengulangi tindakan datuknya Al-Hussein bin `Ali, memberontak menentang Khalifah Bani Umayyah iaitu Hisham bin Abdul-Malik, yang berakhir dengan pembunuhan beliau pada 122 Hijrah. Para pengikutnya kemudian mengasaskan satu aliran mazhab yang berdasarkan kepada idea-idea beliau, yang dikenali dalam sejarah sebagai Zaydiyyah, bersempena nama Zaid bin `Ali. Walaupun dianggap sebagai sebuah mazhab beraliran Syiah, Zaydiyyah sependapat dengan Sunni dalam semua perkara kecuali dalam meletakkan `Ali lebih tinggi berbanding tiga khalifah pertama. Pengikut aliran ini terdapat terutamanya di Yaman dan mereka adalah aliran Syiah yang paling hampir dengan Sunni – sehinggakan payah untuk seseorang membezakan mereka dari Sunni dalam segenap perkara.

Rafidah

Penting juga dinyatakan di sini bahawa satu kumpulan pengikut Zaid bin `Ali meminta pendapat beliau tentang Abu Bakr dan `Umar. Dalam jawapannya, beliau berdoa memohon supaya Allah mengasihi kedua-duanya, tetapi mereka yang bertanya menolak untuk melakukan perkara yang sama dan bertindak keluar seceded dari aliran pemikiran beliau. Oleh sebab itu, mereka dikenali dalam sejarah sebagai Rafidah (yang engkar) kerana mereka menolak kekhalifahan Abu Bakr dan `Umar di satu pihak, dan menolak pendapat Zaid di pihak yang lain. Generasi yang bertitik-tolak daripada kumpulan seperti itu mengasaskan satu fahaman yang kemudiannya dikenali sebagai Ithna `Ashriyyah (Imamiyyah) yang membentuk aliran Syiah yang paling besar.

Mohammed Al-Baqir, iaitu abang kepada Zaid bin `Ali, meninggal lapan tahun sebelum adiknya (pada 114 H.) meninggalkan seorang anak lelaki yang menjadi ulama yang sangat dihormati iaitu Ja`far Al-Sadiq. Beliau adalah seorang ulama tersohor dan faqih yang ulung, yang berpegang kepada kefahaman tauhid yang sama seperti yang dianuti oleh para Sahabat, Tabi’in dan ulama-ulama Muslim secara amnya.

Di penghujung era khalifah Bani Umayyah, pergerakan Bani Abbasiyyah menggerakkan orang ramai menentang khalifah Bani Umayyah. Pergerakan tersebut bekerjasama dengan kumpulan yang mengingkari Zeid bin `Ali dan keduanya berjaya menjatuhkan khalifah Bani Umayyah pada 132 H. Khalifah Bani Abbasiyyah memegang tampuk kuasa dengan diketuai oleh pengasasnya Abul-`Abbas Al-Saffah dan penggantinya Abu Ja`far Al-Mansur. Mereka yang bekerjasama dengan kumpulan ini berasa kecewa kerana mereka mempunyai perancangan untuk mewujudkan pemerintahan khalifah yang dipimpin oleh salah seorang cucu `Ali bin Abu Talib. Justeru itu, mereka telah membentuk satu kumpulan yang dipanggil Al-Talibiyyun (penyokong `Ali bin Abu Talib berbanding dengan Abbasiyyah yang mengambil nama sempena Al-`Abbas bin Abdul-Muttalib) dengan matlamat untuk menentang khalifah Bani Abbasiyyah pula.

Sehingga ke era ini, memang tiada perlanggaran tauhid atau fekah kecuali dalam hal berkaitan kritikan terhadap Abu Bakr dan `Umar; sebenarnya, sesetengah mereka yang keluar dari kumpulan Zaid bin `Ali bukan sekadar menolak keduanya malah memaki-hamun mereka secara terbuka.

Ja`far Al-Sadik meninggal dunia pada 148 H. dan meninggalkan seorang anak lelaki bernama Musa Al-Kazim, yang juga seorang ulama tetapi kurang ketokohan berbanding bapanya. Beliau kembali ke rahmatullah pada 183 H dan meninggalkan beberapa orang anak lelaki termasuklah `Ali bin Musa Al-Rida.

Bagi mengawal pemberontak Al-Talibiyyun yang inginkan supaya keturunan `Ali bin Abu Talib menjadi khalifah, maka khalifah Bani Abbasiyyah pada ketika itu iaitu al Ma’mun telah mencalonkan `Ali bin Musa Al-Rida sebagai putera mahkota, di mana tindakan ini telah menyemarakkan kontroversi panas di kalangan Bani Abbasiyyah. Bagaimanapun. `Ali bin Musa Al-Rida mati secara mengejut pada 203 H., dan Al-Talibiyyun pula menuduh Al-Ma’mun telah membunuhnya dan sekali lagi revolusi menentang Bani Abbasiyyah diteruskan sama seperti yang mereka lakukan terhadap Bani Umayyah.

Bagaimanapun, setelah beberapa tahun berlalu, suasana kembali tenang. Sehingga saat itu, Syiah belum lagi mengambil dan berpegang kepada mazhab mereka sendiri yang dipanggil Syiah. Hanya yang wujud pada ketika itu adalah pergerakan politik yang bermatlamat untuk mendapatkan kuasa dan menentang pemerintah atas pelbagai alasan dan tidak melibatkan alasan-alasan tauhid seperti yang dipegang Syiah sekarang.

Syiah dan Iran

Seruan penentangan terhadap pemerintah mendapat sokongan besar dari wilayah Parsi (sekarang Iran). Sebenarnya, penduduk di wilayah berkenaan masih bersimpati dengan kejatuhan empayar Parsi yang besar itu yang kemudiannya dijadikan negara Islam. Bangsa Parsi menganggap bangsa mereka mempunyai darjat yang tinggi, dari etnik yang lebih baik dan mempunyai sejarah yang lebih hebat berbanding Muslim. Sikap ini membawa kepada kemunculan Persophilia – satu ideologi yang memberi keutamaan kepada bangsa dan etnik mereka berbanding yang lain termasuk Islam. Malah sesetengahnya amat taksub dengan akar-umbi Parsi, kunci, bekalan dan tong, dan api yang pernah mereka sembah.

Kerana tidak cukup kuat untuk memberontak menentang negara Islam, di samping telah menjadi Muslim berabad lamanya, mereka akhirnya mendapati revolusi yang dicetus oleh Al-Talibiyyun itu mungkin menjadi satu cara untuk menjatuhkan kerajaan Islam, iaitu kerajaan yang telah menjatuhkan negara Parsi mereka sebelum ini. Pada masa yang sama, mereka tidak mahu meninggalkan Islam yang telah dianuti sekian lama. Justeru itu, mereka bercadang mencampuradukkan Islam dengan budaya Parsi bagi mewujudkan ketidakstabilan Ummah. Mereka memilih untuk tidak menonjolkan diri, sementara Al-Talibiyyu mengekalkan profail tinggi mereka. Perlu diingatkan Al-Talibiyyun dihubungkan dengan `Ali bin Abu Talib, iaitu sebahagian dari ahli keluarga Nabi dan dipandang mulia oleh orang ramai, dan orang-orang seperti mereka ini mempunyai misi yang konsisten.

Oleh yang demikian, percubaan kalangan Persophilia bergabung dengan Al-Talibiyyun yang mempunyai hubungan keluarga dengan Nabi berniat untuk membentuk bukan sahaja satu entiti baru politik tetapi juga entiti agama yang bebas.

Berbalik kepada Al-Talibiyyun, selepas kematian `Ali Al-Rida yang dicalonkan sebagai putera mahkota oleh Al-Makmum, beliau digantikan oleh anaknya Mohammed Al-Jawad yang meninggal pada 220 H. Pewaris kemudiannya adalah anaknya `Ali bin Mohammed Al-Hadi yang meninggal pada 254 H. Akhirnya, pewaris seterusnya adalah Al-Hassan bin `Ali yang dipanggil Al-`Askary juga meninggal secara mengejut pada 260 H meninggalkan seorang anak berusia 5 tahun bernama Mohammed.

Sepanjang tahun-tahun tersebut, pergerakan pemisah, yang terdiri daripadan beberapa orang ahli keluarga Nabi dan Persophilia, akan berikrar taat setia kepada anak sulung pemimpin Al-Talibiyyun, bermula dengan `Ali Al-Rida dan berakhir dengan Al-Hassan Al-`Askary. Berhubung dengan keluarga `Ali Al-Rida sebelah atas, seperti bapanya Musa Al-Kazim atau datuknya Ja`far Al-Sadik atau moyangnya Mohammed Al-Baqir, mereka semua tidak mengetuai revolusi menentang pemerintahan Bani Umayyah atau Abbasiyyah.

Bagaimanapun, selepas Al-Hassan Al-`Askary meninggal pada 260 H, kalangan revolutionis menjadi keliru tentang siapa yang akan menerajui kepimpinan selepas Al-Hassan Al-`Askary hanya meninggalkan anak yang masih kecil. Kekeliruan semakin memuncak apabila anak kecil tersebut juga meninggal secara mengejut. Ini telah menyebabkan berlakunya perpecahan dalam kumpulan revolusi itu yang akhirnya membawa kepada pembentukan kelompok-kelompok yang berbeza antara satu sama lain bukan sahaja dalam perkara-perkara prinsip dan idea bahkan juga dalam undang-undang dan kepercayaan.

Syiah Imamiyyah

Yang paling terkenal antara kelompok-kelompok itu adalah aliran Ithna `Ashriyyah (Imamiyyah), yang terdapat di Iran, Iraq dan Lubnan. Pada hari ini, ia merupakan aliran Syiah yang paling besar.

Para pemimpin aliran ini mula menokok-tambah idea-idea dalam agama bagi menyesuaikan dengan situasi yang dihadapi pada masa ini agar kelompok mereka dapat terus bertahan sekalipun tanpa pemimpin.

Mereka banyak membuat perkara-perkara bid’ah yang serius dalam agama, dan kemudian mengisytiharkannya sebagai sebahagian daripada Islam. Sehubungan dengan itu, setelah masa berlalu, perkara-perkara bid’ah itu telah menjadi komponen kunci kepada ideologi dan pemikiran mereka. Antaranya adalah yang berkait dengan Imam (khalifah). Bagi menyokong ketiadaan imam yang layak pada masa itu, mereka menetapkan yang Imam hanya berjumlah dua belas orang sahaja, dan menyusunnya mengikut turutan berikut: 1- `Ali bin Abu Talib, 2- Al-Hassan bin `Ali, 3- Al-Hussein bin `Ali, 4- `Ali Zainul-`Abidin bin Al-Hussein, 5- Mohammed Al-Baqir bin Zainul-`Abidin, 6- Ja`far Al-Sadik bin Mohammed Al-Baqir, 7- Musa Al-Kazim, 8- `Ali Al-Rida, 9- Mohammed Al-Jawad, 10- `Ali Al-Hadi, 11- Mohammed Al-Mahdi and 12- Al-Hassan Al-`Askary.

Itulah sebabnya aliran ini dipanggil Ithna `Ashriyyah. Bagi menyokong kenapa pewarisan Imam itu terhenti, mereka menjelaskan bahawa si anak kecil yang bernama Muhammad bin Al-Hassan Al-`Askary itu belum meninggal, dan mengikut pendapat mereka, beliau telah hilang di dalam sebuah gua dan masih hidup (melebihi seribu tahun sekarang). Mereka percaya yang beliau akan kembali satu hari nanti untuk memerintah dunia. Pada mereka, beliaulah yang digelar Mahdi Yang Ditunggu (Imam yang Benar).

Mereka juga percaya bahawa Rasulullah telah mewariskan jawatan Khalifah kepada dua belas orang tersebut tetapi maklumat mengenainya telah dirahsiakan oleh Sahabat. Inilah sebabnya mereka menghukum para sahabat secara umumnya sebagai kafir (bagaimanpun, terdapat sebilangan pula yang hanya menganggap Sahabat sebagai tidak berakhlak) kerana merahsiakan maklumat tentang pewarisan tersebut.

Dipengaruhi oleh sistem pemerintahan Parsi, mereka memperkenalkan sistem monarki dengan mempercayai bahawa Imam mestilah terdiri dari anak sulung `Ali bin Abu Talib dan begitulah bagi Imam-imam seterusnya. Seperti yang diketahui ramai, kaedah seperti ini memang tidak Islamik langsung. Malah negara-negara Islam Sunni yang berasaskan sistem monarki seperti Umayyah, Abbasiyyah, Seljuk, Ayyubiah dan Osmaniyyah pun tidak menganggap sistem monarki atau yang berasaskan dinasti itu sebagai sebahagian dari agama.

Juga dipengaruhi oleh sistem Parsi, mereka memperkenalkan dinasti pemerintahan yang dianggap suci. Sehubungan dengan itu, mereka percaya yang Imam-Imam (Khalifah) tersebut bebas dari melakukan kesilapan atau kesalahan dan menganggap perkataan –perkataan mereka itu suci sama seperti Al-Quran dan Hadis Nabi. Dan lagi, kebanyakan peraturan feqah mereka diambil dari perkataan-perkataan Imam, tanpa mengirakan samada perkataan tersebut sahih atau palsu bagi mereka. Tambahan lagi, dalam bukunya “Kerajaan Islam”, Khomeini, pemimpin revolusi Iran, menyatakan, “Salah satu perkara asas dalam ideologi kami ialah bahawa Imam-Imam kami lebih tinggi darjatnya/ tingkatannya dari para malaikat dan nabi.”

Ini menjelaskan kepada kita betapa mereka amat memusuhi semua Sahabat (kecuali beberapa Sahabat yang tidak melebihi 13 orang). Malah mereka juga berseteru dengan ahli-keluarga Rasulullah, seperti Al-`Abbas, iaitu bapa saudara Rasulullah, dan anaknya Abdullah bin `Abbas, ulama terkemuka Ummah. Tidak syak lagi, kebencian terhadap kedua yang dianggap kafir ini ada kaitannya dengan konflik yang berlaku antara Ithna `Ashriyyah dan Khalifah Abbasiyyah.

Bid’ah

Antara bid`ah mereka yang lain ialah mereka menganggap kebanyakan negara Muslim adalah Darul-Kufr (Rumah Kafir). Mereka juga menghukum penduduk Madinah, Mekah, Mesir dan Mediteranean Timur/Asia Barat sebagai kafir kerana tidak menyampaikan maklumat yang benar dari Rasulullah.

Idea-idea seperti ini boleh dirujuk dalam sumber-sumber asal, seperti kitab Al-Kafy, Bihar Al-Anwar dan Tafsir Al-Qummi, Tafsir Al-`Ayyashi, Al-Burhan dan lain-lain lagi.
Oleh yang demikian, mereka tidak memperakui mana-mana ulama Sunni dan kitab-kitab Hadis Sahih, seperti Al-Bukhari, Muslim, Al-Tirmidhi dan Al-Nasa’i. Mereka juga menafikan keilmuan Abu Hanifah, Malik, Al-Shafi`i dan Ibn Hanbal. Mereka juga tidak mengiktiraf kehebatan Khalid bin Al-Walid atau Sa`d bin Abu Waqqas, `Umar bin Abdul-`Aziz, Musa bin Nusair, Nourul-Din Mahmoud, Salahud-Din, Qutuz dan Muhammad Al-Fatih.
Kerana tidak memperakui para Sahabat, Tabi’in dan kitab Hadis dan Tafsir, maka mereka bergantung hampir sepenuhnya kepada kata-kata Imam mereka sekalipun yang mempunyai sanad-sanad yang lemah. Akibatnya, wujudlah begitu banyak perkara-perkara bid’ah yang berkaitan dengan doktrin, kaifiat dalam ibadat, muamalat dan sebagainya.

Dalam artikel ini, saya tidak bercadang untuk menyenaraikan semua bid’ah berkenaan; sebenarnya untuk berbuat begitu memerlukan penghasilan banyak buah buku. Di sini, saya hanya merujuk kepada punca masalah supaya kita boleh memahami akibatnya. Bagaimanpun, ianya memerlukan perbincangan yang panjang lebar apabila membicarakan bid’ah seperti Taqiyyah (kewajipan yang tidak dilaksanakan bagi menyembunyikan Iman Syiah mereka apabila berada dalam situasi ancaman, hukuman atau paksaan) dan Raj’a (kedatangan kedua atau kembalinya Imam-Imam mereka ke dunia selepas kematian), Al-Quran ditokok-tambah, kepercayaan salah kepada Allah, Bid’ah dilakukan di makam, binaan makam dalam masjid, bid’ah ketika menyambut ulangtahun kesyahidan Al-Hussein dan beribu-ribu lagi Bid’ah lain yang menjadi tiang-tiang utama agama menurut Ithna `Ashriyyah.

Apa yang saya nyatakan setakat ini hanyalah sebahagian sahaja dari ideologi Ithna `Ashriyyah. Bagaimanapun, terdapat beberapa lagi aliran lain yang muncul dalam tempoh yang sama, terutamanya dalam tempoh yang dikenali dalam sejarah sebagai “Kecelaruan Syiah”, yang bermula seawal pertengahan kurun ketiga Hijrah selepas kematian Al-Hassan Al-`Askary (Imam kedua belas dan yang terakhir).

Mulai dari tempoh itu, kesusasteraan dan buku-buku yang menanam ideologi dan doktrin mereka mula dihasilkan. Metodologi mereka tersebar di segenap pelusuk wilayah Parsi terutamanya dan dunia Islam, amnya. Bagaimanapun, sehingga saat itu tidak ada negara yang diwujudkan dengan berlandaskan kepada ideologi tersebut secara rasmi. Tetapi, di penghujung kurun ketiga dan awal kurun keempat Hijrah, perkembangan serius melanda sehingga membawa kejayaan Syiah memegang kuasa di sesetengah kawasan, sekaligus memberi kesan yang serius kepada seluruh ummah Muslimin. Ini akan saya sentuh dalam artikel akan datang, InsyaAllah.

Bagaimanapun, saya perlu mengulangi kaedah bahawa “seseorang itu tidak boleh menghakimi sesuatu tanpa mempunyai pengetahuan yang jelas tentangnya”. Oleh itu, jika kita ingin membuat keputusan tentang sesuatu perkara, kita perlulah terlebih dahulu berilmu tentang perkara tersebut. Dalam kata lain, kita boleh menentukan samada sesuatu itu betul atau tidak atau mengatakan sesuatu itu akan jadi lebih baik kala dibuat begini-dan-begitu jika kita mempunayi maklumat yang sahih. Tidak syak lagi, pertimbangan berdasarkan nafsu dan tanpa kajian hanya akan membawa kepada akibat yang buruk.

Semoga Allah memenangkan Islam yang sebenar.

Oleh: Dr. Ragheb El Sergani

1 ulasan:

  1. Sesungguhnya Kamu tidak tahu menahu tentang apa yang kamu tulis dan berbau hasutan.

    BalasPadam