Sabtu, November 28, 2009

Apabila Kita Bicara Soal Intergriti.

Ketika Saidina Khalid Ibnu Walid sedang memimpin bala tentera Islam memerangi tentera Rom di Yarmuk, tiba-tiba datang Mahmiya bin Zamin sebagai utusan dari Madinah lalu menyerahkan sepucuk surat kepada Khalid sambil berbisik menyatakan bahwa Khalifah Abu Bakar As Siddiq telah kembali menghadap Rabbnya dan digantikan dengan Saidina Umar Al Khattab. Khalid menerima surat tersebut lalu menyimpan dalam tabung anak panahnya kerana khuatir berita tentang penggantian Umar sebagai Khalifah dan pemecatannya sebagai panglima angkatan bersenjata akan tersebar dikalangan tentera Islam yang baru sahaja hendak memulai peperangan. Setelah selesai melaksanakan tugasnya dan berjaya mengalahkan tentera Rom, Khalid pun berundur dari jawatannya dan menyerahkan tugasnya sebagai panglima angkatan bersenjata kepada Abu Ubaidah Al Jarrah sebagai penggantinya.

Nilai keimanan dan semangat juang berdasarkan Islam yang amat tinggi yang dimiliki Khalid mengatasi segala-galanya. Pangkat dan kedudukan bagi insan seperti Khalid tidak dapat mengaburi mata demi kerana Iman dan Islam. Inilah nilai intergriti sebenar yang ada pada para sahabat Nabi s.a.w. yang amat sukar untuk dicari ganti dewasa ini. Khalid tidak memberontak sambil mengumpul para penyokongnya agar memulaukan peperangan, seperti yang banyak dilakukan oleh manusia sekarang apabila dinafikan kedudukannya. Sebab bagi Khalid, ia berperang kerana Allah dan Rasul Nya demi agama Islam yang dianuti, tidak sedikit pun jauh disudut hatinya terselit perasaan cintakan pangkat dan kedudukan. Pemecatannya diterima dengan hati yang amat terbuka tanpa sebarang sangkaan buruk terhadap Khalifah Umar Al Khattab.

Tiba-tiba kita mendengar berita yang menjadi kegemaran para musuh kerajaan Kelantan, apabila terdapat kemelut didalam pentadbiran Perbadanan Menteri Besar Kelantan yang diterajui oleh Ir. Abdul Ariffahmi Ab Rahman yang juga merupakan menantu kepada YAB Tuan Guru Dato' Nik Abd Aziz Nik Mat. Dalam senario politik di Malaysia khususnya gerombolan United Malay Nation Organisation (meminjam kata-kata Hishamudin Rais) adalah perkara biasa. Tiada apa yang pelik, malahan hampir setiap negeri yang ditadbir mereka sering kedapatan ahli keluarga didalam pentadbiran. Bahkan bermacam-macam penyelewengan yang didedahkan tetapi mereka menerimanya sambil lewa sahaja. Seoalah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku. Lihat sahaja lagak budak-budak ditingkat 4 Jabatan Perdana Menteri seperti yang didedahkan oleh Tun Mahathir ketika era pemerintahan Tun Pak Lah. Ia berlalu macam tu saja walaupun yang memukul gendang adalah mantan Perdana Menteri. Tetapi apabila ia melibatkan pemerintahan Islam yang diterajui oleh PAS di Kelantan, lain iramanya.

Ariffahmi telah mengambil langkah yang sama diambil oleh Khalid Ibnu Walid, cuma beliau tidak dipecat tetapi mengundurkan diri secara sukarela. Bukan senang hendak melepaskan jawatan tinggi seperti itu. Tetapi atas kepentingan agama yang diletak tinggi mengatasi kepentingan duniawi, kedudukan dan pangkat dilihat sebagai suatu yang amat kecil kerana sifatnya adalah sementara. Dinsman ketika disapa melalui telefon bimbit sewaktu menikmati makan tengahari di Jalan Kg Sireh, tidak menyedari telah berlaku satu kejutan besar dalam pentadbiran PMBK kerana nada suara CEOnya tidak menampakkan sebarang perubahan besar telah berlaku. Tenang dan bersahaja.

Inilah hasil tarbiah yang datang dari kepimpinan Tok Guru yang secara kebetulan merupakan bapa mertua kepada Ariffahmi. Tok Guru juga selaku Menteri Besar akur kepada nasihat yang di beri daripada pimpinan tertinggi parti, sekali gus menunjukkan betapa tingginya nilai intergriti yang ada dalam diri seorang yang menjawat jawatan tertinggi dalam kepimpinan negeri. Inilah contoh terbaik yang telah dipamirkan oleh seorang yang bergelar Menteri Besar untuk tontonan dan ikutan kepada mereka yang menjawat jawatan tertinggi didalam kepimpinan negeri mahupun negara. Jangan hanya pandai bercakap sambil mencipta pelbagai slogan tetapi tidak berjaya menjadi contoh ikutan kepada masyarakat. Tok Guru dan Ariffahmi tanpa sebarang rasa kecewa dan kesal menurut kehendak ramai kerana pegangan agama yang utuh. Insan-insan hebat seumpama ini meletakkan kepentingan akhirat lebih aula daripada kepentingan dunia. Mereka langsung tidak terpesona dengan mainan dunia yang penuh dengan tipu daya dan sia-sia seperti yang diberitahu oleh Allah menerusi kalam Nya.

Bagi mereka yang mencemburui kepimpinan Tok Guru, apa juga isu walaupun ianya dilihat baik tetap akan menjadi buruk pada pandangan mereka. Susuk tubuh insan ini akan terus dijadikan bahan kritikan tanpa ada rasa belas ihsan. Namun sebagai insan yang hebat, setiap kritikan akan dibalas dengan senyuman yang diiringi dengan doa agar mereka yang iri dan dengki diberi petunjuk dan hidayah oleh Allah swt.

Kalau mahu berbicara soal intergriti....lihatlah susuk tubuh ini...semoga ia menjadi panduan untuk kita menuju kejalan Illahi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan