Rabu, September 02, 2009

SOLAT dan Kategori Pengamalnya.




tiang yang didirikan gagal membina binaan yang kukuh

APAKAH PUNCANYA?



Apabila kita berbicara soal solat, kita akan mengatakan ia adalah ibadah yang difardukan keatas setiap individu muslim yang telah baligh. Sebaik sahaja seseorang itu melafazkan kalimah syahadah dan mengaku dirinya seorang Islam maka kewajipan pertama yang difardukan keatasnya ialah solat. Solat wajib dikerjakan walaupun ia hanya meniru gaya mereka yang bersolat tanpa sebarang bacaan. Walaupun bacaan dalam solat seperti surah al-Fatihah adalah rukun, bagi mereka yang baru mengaku dirinya sebagai seorang muslim, solat perlu ditunaikan walaupun dengan perbuatan sahaja. Ini menunjukkan betapa penting solat kepada umat Islam dan ia mesti didirikan dalam keadaan apa sekalipun samada terlantar sakit, sibuk, musafir didarat; lautan mahupun udara, ketika perang, suasana darurat dan apa sahaja situasi, solat mesti ditunaikan mengikut kaedah-kaedah yang telah ditentukan oleh syara'. Dalam erti kata lain, solat tidak ada pengecualiannya kecuali kepada 3 golongan iaitu GILA, HAID dan NIFAS.

Kesedaran umat Islam dalam melakukan ibadah solat ketika ini amat tinggi. Masjid dan musolla sentiasa dipenuhi terutama di kawasan-kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk. Fenomena ini jelas dapat diperhatikan, sebagai contoh di musolla-musolla yang disediakan oleh pihak-pihak yang menyediakan perkhidmatan lebuhraya di Malaysia. Muslimin dan muslimat berbaris panjang untuk berwudu' bagi menunaikan solat. Disamping itu di permis-permis besar yang menjadi tumpuan ramai seperti kompleks membeli-belah, stadium dsb, juga menyaksikan fenomena yang sama setiap kali tiba waktu solat. Indahnya melihat kaum muslimin rukuk dan sujud mengabdi diri kepada Tuhan Maha Pencipta. Bertambah indah seandainya kepatuhan dan disiplin dalam solat itu dapat dipraktikkan diluar solat. Itu akan lebih bererti lagi kerana insan terbina dengan keperibadian dan akhlak yang terpuji hasil daripada solat yang dikerjakan. Persoalannya; apakah nilai insan terbina hasil daripada kepatuhan dan ketundukkan kepada Illahi yang dijana melalui solat? Apakah kita sudah melahirkan masyarakat madani hasil daripada masjid dan musolla yang dibina?

Nabi Muhammad s.a.w. bersabda yang bermaksud :
"Islam dibangun diatas lima perkara iaitu bersaksi tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad pesuruh Allah, mendirikan solat, membayar zakat, menunaikan haji ke Baitullah dan berpuasa di bulan ramadhan" HR: Bukhari.

Firman Allah yang bermaksud :
"....Maka dirikanlah solat (sebagaimana biasa). Sesungguhnya solat itu adalah fardhu yang ditentukan waktunya atas orang-orang yang beriman".
(Surah an-Nisa' : 103)

Solat yang dianggap sebagai tunggak atau tiang merupakan asas utama didalam mendirikan agama dan umat seluruhnya. Masyarakat dapat dibina melalui solat dengan menampilkan jati diri, keperibadian, perwatakan, akhlak dan seterusnya melahirkan insan rabbani. Nabi s.a.w. menjelaskan menerusi sabdanya yang bermaksud :
"Pokok segala urusan adalah Islam. Tiangnya adalah solat dan puncaknya adalah jihad di jalan Allah". HR : Muslim.

Solat merupakan perisai kepada umat Islam dalam berdepan dengan pelbagai ujian kemungkaran dan maksiat yang sedang berleluasa. Cabaran mutkhir ini dilihat semakin hebat ditambah dengan peralatan komunikasi yang canggih dan terkini membuatkan umat manusia mudah terpedaya kepada hasutan dan pujukan syaitan yang sentiasa berusaha untuk menyesatkan anak Adam. Firman Allah yang bermaksud :
"....Dan dirikanlah solat. Sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan keji dan mungkar..."
(Surah al-Ankabut : 45)

Dalam kepatuhan dan ketundukkan umat manusia kepada Allah swt, kita melihat keruntuhan akhlak muslim semakin parah dan kritikal. Adakalanya sukar untuk membezakan antara orang Islam dan bukan Islam dari sudut keterampilan, bicara, budaya, sosial, perilaku dan lebih pedih lagi dari aspek fahaman, pemikiran dan anutan. Ironinnya mereka yang datang dari kelompok agama juga terbabit sama dalam mempertahankan kemungkaran dan kemaksiatan. Penganjuran pesta-pesta maksiat berleluasa dan diberi promosi yang meluas tanpa sebarang sekatan walaupun ada kalanya ditegur oleh institusi agama tertinggi didalam negara. Budaya melawan pihak berkuasa dan berotoriti dibiar menular dalam masyarakat tanpa ada yang membendung. Malahan ketua-ketua penganjur maksiat dipertontonkan kepada umum bahwa mereka juga menunaikan solat, mengerjakan haji dan umrah bersama pemimpin. Tulisan ini cuba mengupas kategori pengamal solat sebagai panduan untuk kita bermuhasabah diri, dimana duduknya kita dalam membicarakan persoalan solat.

1. GOLONGAN YANG TIDAK PEDULI SOAL SOLAT.

Golongan ini meletakkan kehidupan dunia adalah segala-galanya. Matlamat hidup mereka ialah mencari kesenangan dunia semata-mata. Persoalan halal dan haram tidak ada dalam perkiraan hidup mereka. Yang penting ialah mengejar kemewahan dan kekayaan walau apa pun aral yang melintang. Falsafah hidup mereka ialah 'money means everything'. Hidup tidak akan bermakna tanpa wang. Solat dan duduk berzikir kepada Allah hanya membuang masa dan melengahkan mereka mengejar kemajuan. Bertahajud ditengah malam bagi mengabdi diri kepada Allah swt akan melembabkan pemikiran dan membuatkan umat Islam ketinggalan. Kelompok ini tidak melihat solat sebagai tuntutan dan kewajipan sebaliknya mengejar kemajuan itu adalah lebih utama dan aula dalam membangun umat dan dunia Islam. Maka bagi mereka, solat dan ibadah-ibadah fardhu lain hanya menyusahkan dan melambatkan proses kemajuan. Kedapatan kelompok ini menyerang secara terang-terangan ahli ibadah dengan membuat tuduhan melulu mengatakan mereka yang duduk berzikir ini tidak maju dan ketinggalan. Abu Bakar Jabir al-Jazairi dalam bukunya Pedoman Hidup Muslim mengatakan 'meninggalkan solat menurut syariat hukumnya dibunuh dan orang yang menganggap enteng soal solat adalah fasiq berdasarkan dalil qat'ie'. Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud :
"Meninggalkan solat adalah batas kufur bagi seseorang". HR: Muslim.

2. GOLONGAN YANG MENGETAHUI KEWAJIPAN SOLAT.

Golongan ini tahu solat itu wajib keatas setiap individu muslim. Mereka mengerjakan solat tetapi menumpukan kehidupan dunia mengatasi yang lain. Golongan ini seperti yang disebutkan oleh Nabi s.a.w. "mereka yang cintakan dunia dan takutkan mati". Kelompok ini mempunyai tujuan hidup yang sama dengan seperti kelompok yang pertama tetapi mempunyai sedikit kebaikan kerana menunaikan solat. Namun solat yang ditunaikan tidak boleh dibanggakan. Akibat mengejar dunia yang keterlaluan maka solat ditunaikan ketika mempunyai kesempatan sahaja. Kedapatan juga golongan seumpama ini melakukan solat tetapi dalam masa yang sama membuat kerja-kerja maksiat. Pegangan hidup mereka ialah 'minyak dan air tidak akan bercampur'. Solat dikerjakan hanya sekadar melepaskan syarat kewajipan Allah kepada umat Islam. Mereka seolah-olah mengira pahala yang telah dilakukan dan kemudian ditolak dosa yang diperbuat. Mereka menjadikan setiap perintah Allah sebagai bahan yang boleh diperniagakan dan seterusnya berurusniaga dengan Tuhan dalam kehidupan mereka. Inilah akibat kedangkalan ilmu dan kelemahan iman hinggga meletakkan pengabdian kepada Tuhan hanya ketika dalam kesusahan. Golongan ini ada ketikanya meletakkan Islam seperti nasi tambah. Dalam menganjurkan sesuatu program, Islam dipraktikkan di kepala dan ekurnya sahaja sedangkan isinya penuh dengan unsur kebaratan yang menjurus kepada kemungkaran. Pengabdian kepada Allah swt hanya ketika berlaku kegawatan, ditimpa musibah dan perkara-perkara yang merugikan. Ketika itu mereka akan kembali kepada Allah, solat berjemaah, solat hajat dan berdoa menadah tangan kehadrat Illahi memohon dengan penuh khusyu' dan kesyahduan agar dilepaskan daripada bebanan yang ditanggung. Sikap hipokrit mereka jelas kelihatan, setelah masalah dapat diselesaikan mereka akan kembali dengan aktiviti mungkar malahan merasa bangga dengan kemungkaran yang dilakukan. Inilah yang dikatakan 'munafiq amali'.

Bagi golongan ini solat tidak dapat membina satu peribadi muslim yang sejati. Kefahaman mengenai solat tidak disertai dengan penghayatan walaupun diperhias dengan pakaian-pakaian indah sewaktu solat. Alunan pembacaan yang merdu tanpa penghayatan isi kandungannya hanya akan melahirkan individu-individu muslim yang faham solat dari aspek makna tetapi tidak dari sudut maknawi. Natijahnya lahirlah kelompok manusia yang melakukan makruf tetapi membiarkan kemungkaran terus berlaku atau lebih parah lagi mengamal makruf tetapi dalam masa yang sama melaku dan menaja kemungkaran.

3. GOLONGAN YANG ISTIQAMAH DALAM SOLAT.

Golongan ini sentiasa menjaga solat dan berusaha melaksanakan solat sesempurna mungkin. Mereka melakukan solat pada setiap waktu samada secara sendiri ataupun berjemaah. Namun kemanisan solat belum dirasai walaupun istiqamah didalam melakukannya. Golongan ini akan terus mendalami ilmu agama dengan mendampingi guru-guru yang mursyid dan menghadiri kelas-kelas pengajian walaupun sibuk dengan urusan duniawi. Kesempatan waktu akan tetap dicari bagi memenuhi tuntutan naluri akibat kecintaan terhadap ilmu. Kemanisan beribadat terutama solat menjadi matlamat utama yang harus diburu bagi melahirkan kecintaan kepada Allah swt dan RasulNya. Inilah proses pembinaan insan yang sepatutnya dilalui oleh setiap individu muslim bagi melahirkan insan Rabbani. Kesungguhan seumpama ini seharusnya dipupuk dihati nurani setiap muslim agar menjadi umat terbaik dikalangan manusia seperti yang dijelaskan Allah menerusi firmanNya yang bermaksud :
"Adalah kamu sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi manusia, (supaya) kamu menyuruh dengan makruf dan melarang dari yang mungkar serta beriman kepada Allah..."
(Surah Ali Imran : 110)

Prof. Dr. Mahmud Yunus dalam menghuraikan maksud ayat ini menyatakan :
'kamu tidak akan menjadi umat yang terbaik hanya sekadar mengaku diri Islam melainkan dengan budi pekertimu yang baik dan tingkah laku yang eluk. Beramah-tamah dan berkasih-kasihan, nasihat-menasihati, menyuruh temanmu mengerjakan kebajikan (yang makruf) dan melarang mengerjakan kejahatan (yang mungkar). Kamu kerjakan semua itu kerana menurut perintah Allah dan beriman kepadaNya. Tetapi jika kamu tiada berbudi pekerti yang halus, tiada berkelakuan yang sopan, tiada nasihat-menasihati sesamamu, niscaya hilanglah namamu yang baik itu'.

4. SOLAT PARA NABI DAN GOLONGAN SIDDIQIN.

Ini merupakan makam solat paling tinggi dan mempunyai darjat yang paling istimewa disisi Allah swt. Solat pada peringkat ini akan merasai kemanisan ibadah dan kelazatannya berbicara dengan al-Khaliq. Para Nabi dan Siddiqin akan memimpin seluruh jasad dan jiwa raga mereka mengabdi diri kepada Allah swt dalam solat. Inilah tahap solat yang akan melahirkan insan-insan rabbani seperti yang dibicarakan sebelum ini. Rasulullah s.a.w. memimpin solat sehingga dapat melahirkan satu generasi yang disebut oleh as-Syahid Syed Qutb sebagai generasi al-Quran. Satu generasi umat Islam yang meletakkan kepentingan agama mengatasi kepentingan-kepentingan lain. Kecintaan mereka terhadap Allah dan Rasul membuatkan mereka sanggup berkorban demi apa sahaja bagi mentaati perintah yang disampaikan. Peristiwa hijrah membuktikan bagaimana tahap keimanan yang dipamirkan sehingga sanggup meninggalkan apa sahaja yang tidak sekata dengan Islam. Ada yang meninggalkan harta, keluarga, kekayaan, perniagaan dsb. Pendekata apa saja yang boleh menghalang mereka daripada membuktikan keimanan kepada Allah dan Rasul Nya akan ditinggalkan. Inilah corak insan yang akan membela Islam dalam apa keadaan sekali pun. Golongan seperti ini tetap akan lahir dikalangan mereka yang mendirikan solat dengan sempurna menerusi amal dan penghayatan. Solat dapat mendidik mereka menjadi insan yang berdisiplin, didikasi, komited, mempunyai jati diri Islam dan bersedia menyahut panggilan jihad pada bila-bila masa.

Menerusi solat golongan ini akan dapat menjadi contoh ikutan kepada manusia lain dari aspek kehidupan seperti pergaulan yang harmonis, keterampilan yang sederhana, bahasa yang indah, komitmen yang tinggi serta mempunyai intergriti dan kompitensi dalam memimpin ummah. Inilah yang dapat dihasilkan apabila disiplin dalam solat dapat diterjemahkan dalam kehidupan seharian. Bagi mereka yang menghayati solat dalam ertikata sebenar, garis panduan yang digariskan semasa solat bukan sahaja dipelihara semasa solat bahkan selepas solat sehingga tiba waktu solat yang lain dan begitulah seterusnya. Pemeliharaan yang berterusan inilah yang melahirkan insan seperti yang dibicarakan ini. Sejarah telah membuktikan bagaimana generasi sahabat dibawah pimpinan khulafa ar-rasyiddin dan para tabi'in seperti Umar bin Abdul Aziz memimpin ummah bersandarkan al-Quran dan as-Sunnah, meletakkan Islam ditempat yang tertinggi didalam pentadbiran. Kehebatan mereka ini telah membuatkan Islam tersebar keseluruh pelusuk benua dan digeruni musuh sehingga dikagumi oleh setiap pengkaji sejarah dunia. Gaya kehidupan mereka diperhalusi untuk mendapatkan rahsia bagaimana tokoh-tokoh ini menjadi tersohor bukan sahaja dikalangan masyarakat Islam bahkan juga didunia barat. Hasil daripada penyelidikkan yang dibuat maka ditemui antara faktor penyumbang kepada kehebatan mereka ialah membina disiplin diri melalui solat kerana iman dan taqwa akan sentiasa dibaja melalui wudu' dan solat. Ibadah yang istiqamah ini akan membuatkan ibadah-ibadah lain datang menyusul tanpa diberati sehingga terbentuk jiwa-jiwa insan muttaqin.

DIMANA SILAPNYA.

Marilah sama-sama kita menyingkap persoalan yang dihadapi ketika ini dimana maksiat terus meningkat dalam keadaan ramai kaum muslimin dan muslimat mendirikan solat. Mengapakah solat yang disebut oleh Allah swt sebagai 'perisai kepada kemungkaran' dilihat gagal membendung maksiat yang semakin bermaharajalela? Apakah kita telah benar-benar mengerjakan solat mengikut kehendak dan peraturan yang telah ditetapkan oleh syara'? Marilah kita mengkoreksi diri dengan membuat penilaian sendiri terhadap kualiti solat yang dipraktikkan. Pada kategori manakah solat kita agaknya tergolong....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan