Rabu, September 16, 2009

Awas Dakyah Golongan Kafir.

Orang mukmin sewajarnya memastikan setiap sesuatu yang hendak dilakukan bersesuaian dengan apa yang dikehendaki oleh Allah swt. Jika mereka melaksanakan perkara yang bersesuaian dengan arahan Allah Ta'ala, seolah-olah mereka sudah bertanya kepada Allah swt sebelum perkara itu dilakukan. Oleh sebab keredhaan Allah adalah matlamat hidup manusia di dunia ini, tidak ada pilijam bagi orang yang beriman melainkan mereka bertanya kepada Allah swt dahulu sebelum menuruti pendapat manusia lain atau pendapat sendiri yang tidak berlandaskan wahyu.

Walaupun ibu-bapa dan kaum kerabat bersetuju, malah jiran tetangga dan ahli masyarakat memberi sokongan dan dorongan sepenuhnya.Namun andaikata sesuatu itu bercanggah dengan kehendak Allah swt (al-Quran), maka tindakan itu mesti dibatalkan serta-merta kerana akan menyulitkan diri sendiri ketika sessi soal jawab dengan Allah swt di akhirat kelak. Dalam hal sebegini, pendapat orang ramai bukan menjadi ukuran, keputusan majoriti bukan sesuatu yang muktamad, kecuali apabila pendapat itu selaras dengan apa yang dikehendaki oleh Allah swt, maka kehendak Allah adalah penentu segalanya. Justeru pendapat majoriti tidak semestinya benar, malah Allah swt mengingatkan orang yang beriman tentang bahaya menyandarkan diri dengan kemahuan orang ramai. Firman Allah swt yang bermaksud :

"Dan sekiranya kamu menuruti majoriti orang ramai di muka bumi ini, nescaya mereka akan menyesatkan kamu daripada jalan Allah". (al-An'am : 116)

Pendapat majoriti sepatutnya tidak mempengaruhi orang yang beriman lebih-lebih lagi jika pendapat itu bercanggah dengan kehendak Allah swt. Ia tidak dapat membantu manusia menghadapi soalan-soalan daripada Allah swt pada hari akhirat kelak. Apatah lagi jika mereka terpengaruh dengan dorongan orang-orang kafir atau muanafik dalam sesuatu urusan, termakan pujukan atau janji manis. Dalam al-Quran, Allah swt mendedahkan muslihat dan pujuk rayu golongan kuffar dalam kempen mereka mengajak orang yang beriman supaya menjadi pengikut mereka. Firman Nya yang bermaksud :
"Dan berkatalah orang-orang kafir kepada orang-orang yang beriman : ikutilah jalan kami dan nanti kami akan memikul dosa-dosa kamu, dan mereka (sendiri) sedikitpun tidak (sanggup) untuk memikul dosa-dosa mereka. Sesungguhnya mereka adalah benar-benar pendusta. Dan sesungguhnya mereka akan memikul beban (dosa) mereka, dan beban-beban (dosa yang lain) disamping beban-beban mereka sendiri, dan sesungguhnya mereka akan ditanya pada hari kiamat tentang apa yang selalu diada-adakan oleh mereka".
(al-Ankabut : 12-13)


Jika orang beriman mempunyai tanggung jawab menyeru manusia supaya beriman dengan Allah swt, sebaliknya orang kafir juga menjalankan misi dakyahnya supaya orang yang beriman menjadi pengikut mereka. Mereka mempengaruhi orang mukmin agar mengamalkan cara hidup dan budaya mereka, malah berfikir dan berpendirian seperti mereka. Mereka menjanjikan yang lumayan, malah bersedia untuk menanggung dosa orang mukmin. Orang mukmin yang terpengaruh dengan kempen golongan kuffar, maka mereka tidak lagi memikirkan dosa, seolah-olah ia akan ditanggung oleh orang yang mereka ikuti. Cara golongan kuffar mempengaruhi orang beriman supaya menjadi pengikut mereka terlalu canggih. Mereka menggunakan segala teknologi tinggi, bukan sahaja mereka menguasai ekonomi dunia, tetapi komunikasi satelit untuk menyalurkan dan menyajikan pelbagai program kesetiap rumah.

Program hiburan, sukan serta rancangan-rancangan yang bercanggah dengan akhlak dan aqidah Islam yang disalurkan melalui satelit, dipancarkan ke setiap rumah melalui televisyen yang mempengaruhi fikiran manusia. Diayah ini hampir tidak tertangkis, terutamanya generasi muda mukmin. Mereka menjadi penyokong kepada program kuffar sehingga tidak seorang pun memikirkan dosa atau akibat yang bakal ditanggung di akhirat kelak, seolah-olah dosa itu ditanggung oleh golongan kuffar, sebagaimana yang ditegaskan oleh firman Allah swt dalam ayat 12 surah al-Ankabut itu. Sedangkan Allah swt telah memberitahu bahwa orang kafir yang merancang kejahatan di muka bumi ini tidak mungkin akan menanggung dosa orang lain walau sedikit pun. Sesungguhnya mereka itu adalah pendusta. Mereka hanya akan memikul dosa-dosa mereka sendiri dan beban dosa yang lain akibat daripada kejahatan mereka. Mereka pasti akan ditanya olah Allah Ta'ala pada hari kiamat kelak tentang apa yang telah dilakukan didunia ini, iaitu segala kejahatan dan kegiatan yang meruntuhkan keimanan manusia.

Justeru orang yang beriman mesti meningkatkan kewaspadaan mereka terhadap pengaruh dan dakyah golongan kuffar dan munafiq yang menjadi egen iblis di dunia ini agar terhindar daripada digolongkan bersama-sama mereka ketika Allah swt menyoal pada hari Kiamat kelak.

Petikan buku : Nota Kepada Diri oleh Tuan Guru Nik Abd. Aziz Nik Mat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan