Rabu, September 09, 2009

Perbezaan antara Penganut Islam dan Bukan Islam.

Islam telah meletakkan satu prinsip agama yang penting iaitu kewajipan berbeza dengan amalan golongan bukan Islam, baik dari segi kepercayaan, cara ibadat mahupun budaya hidup. Asas bagi prinsip ini terkandung dalam banyak nas-nas al-Quran dan as-Sunnah, antaranya firman Allah swt dalam surah al-Jaathiah ; 45:18.

  1. Larangan Nabi s.a.w. terhadap umatnya daripada menggunakan serunai dan loceng sebagai seruan solat pada zaman awal Islam kerana ia menyerupai cara puak Yahudi dan Nasrani sehinggalah Nabi s.a.w. diwahyukan dengan azan. (Sahih Sunan Abi Daud, no 498).
  2. Larangan Nabi s.a.w. daripada solat pada waktu matahari sedang terbit dan waktu ia sedang terbenam kerana ia adalah waktu sujud golongan penyembah matahari. (Sahih Muslim, no 832).
  3. Larangan Nabi s.a.w. daripada menjadikan perkuburan para anbiya' dan salihin sebagai tempat ibadat kerana yang demikian itu adalah amalan golongan Yahudi dan Nasrani. (Sahih Muslim, no 530-532).
  4. Larangan Nabi s.a.w. daripada bersolat dengan berbungkus sehelai kain tanpa mengilasnya di tempat kilasan kerana yang demikian itu adalah perbuatan golongan Yahudi. (Sahih Sunan Abi Daud, no 652).
  5. Suruhan Nabi s.a.w. supaya umatnya sekali-sekala bersolat sambil memakai selipar dan khuf kerana puak Yahudi tidak mengharuskannya. (Sahih Sunan Abi Daud, no 652).
  6. Larangan Nabi s.a.w. daripada duduk bertongkat dengan tangan kiri dalam solat kerana yang demikian itu adalah cara duduk puak Yahudi. (Mustadrak al-Hakim, lihat: Jilbab al-Mar'ah, hal 175).
  7. Peringatan Nabi s.a.w. terhadap umatnya supaya bersahur bila berpuasa kerana golongan ahli kitab berpuasa tanpa bersahur. (Sahih Muslim, no 1096).
  8. Saranan Nabi s.a.w. supaya umatnya menyegerakan berbuka puasa kerana golongan Yahudi dan Nasrani melewatkannya. (Musnad Ahmad, lihat : Jilbab al-Mar'ah, hal 175).
  9. Saranan Nabi s.a.w. supaya umatnya berpuasa 'Asyura' pada hari kesembilan dan kesepuluh kerana golongan Yahudi dan Nasrani hanya berpuasa pada hari kesepuluh sahaja. (Sahih Muslim, no 1134).
  10. Saranan Nabi s.a.w. supaya jemaah haji bergerak dari Mudzalifah ke Mina sebelum terbit matahari kerana golongan musyirikin biasanya bergerak selepas matahari terbit melepasi puncak Bukit Thubair di Makkah. (Sahih al-Bukhari, no 3626).
Petikan : Majalah I Bil 83 September 2009.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan