Nuraini Ruzi |
Setelah buku 'Muslim Women and the Challenge of Islamic Extremism' yang diterbitkan pada 2005 diharamkan oleh (KDN) Kementerian Dalam Negeri, SIS (Sister In Islam) tidak mengalah begitu sahaja. Buktinya, pada 15 Dis tahun lepas, SIS memfailkan permohonan bagi membuat semakan penghakiman dan menamakan Syed Hamid sebagai responden. SIS dalam permohonannya di Mahkamah Tinggi meminta agar pengharaman buku tersebut disemak semula dan seterusnya ditarik balik pengharamannya. Hasil kajian dan tulisan berbentuk esei oleh cendekiawan liberalis itu dikumpul dan disatukan dalam buku tersebut yang kononnya membincangkan isu-isu agama dan kemaslahatan ummat. Lebih menghangatkan keadaan, buku tersebut disusun oleh ahli sosiologi bertaraf Profesor iaitu Profesor Norani Othman dari Institut Pengajian Antarabangsa dan Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia. SIS, dalam permohonan bagi semakan kehakiman yang difailkan pada 15 Dis tahun lepas, mendakwa pengharaman buku itu adalah di luar bidang kuasa Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan menyalahi Artikel 8(2), 10 (1)(a) dan 11(4) Perlembagaan Persekutuan SIS mempertikaikan keputusan Menteri Dalam Negeri ketika itu yang pada pertimbangan mereka telah melakukan kesilapan. Mereka mendakwa pimpinan teratas dalam negeri tidak sanggup untuk menghadapai kritikan dan sindiran yang terkandung dalam buku ‘Muslim Women and the Challenge of Islamic Extremism’ tersebut. Tambah mereka lagi, setiap esei kritikan dalam ‘karya agung’ itu mempamerkan hujah-hujah yang bernas dalam usaha untuk membantu memperbaiki sistem perundangan dan kehakiman Islam di Malaysia. Dalam masa yang sama, mereka mengaplikasikan liberalisme dalam tindakan mereka terhadap segala sesuatu. Jelas di sini kita lihat, alur Islam sebenar ingin diselarikan dengan fahaman liberal yang sememangnya mustahil untuk dilorongkan ke arah pembentukan akidah muslim sebenar. Ruang penentuan menyaksikan peguam Kanan Persekutuan Noor Hishamuddin Ismail mewakili Menteri Dalam Negeri ketika itu Tan Sri Syed Hamid Albar dan peguam Malik Imtiaz Sarwar yang mewakili SIS. Tanpa berselindung dengan tindakan pengharaman tersebut, Noor Hishamuddin menegaskan bahawa intipati buku tersebut hanyalah sekadar kritikan demi kritikan yang hanya bertujuan untuk mencemarkan kebenaran Islam semata-mata. Hal ini kerana setelah ditelusuri, penulis esei-esei kritikan tersebut sangat dan terang lagi bersuluh sekadar mentafsir Islam mengikut fahaman mereka sendiri dan bukannya mengikut panduan yang benar mengikut syariat Islam. Kebimbangan ini sebenarnya menghantui ramai ulama dan cendekiawan Islam kerana serangan melalui dunia perbukuan amat besar impaknya. Tidak dinafikan lagi generasi buku mula subur berkembang dalam masyarakat dan skop pembacaan pula sungguh meluas. Penghayatan pembaca akan terfokus sepenuhnya pada bahan bacaan. Serangan secara halus ini merupakan cara paling efektif untuk mempengaruhi ruang lingkup pemikiran pembaca. Bagi golongan pembaca yang memilih untuk berguru dengan buku dan tiada alternatif lain dalam menerima sesuatu input, mereka akan menerima bulat-bulat segala butiran dan maklumat yang terkandung dalam bahan bacaan tersebut. Begitulah target SIS iaitu mempengaruhi minda masyarakat dengan membawakan sesuatu bahan bacaan yang kononnya memiliki nilai intelektual dan prestij kerana menonjolkan gelaran-gelaran tertinggi dalam bidang ilmu seperti Profesor dan sebagainya. Mereka berselindung di atas nama gerakan yang cakna hal ehwal agama untuk memesongkan akidah manusia. SIS berdiri dengan penuh gah untuk menegakkan benang yang basah. Jangan kita lupakan bagaimana mereka mahu campur tangan dalam setiap keputusan jemaah menteri, ulama dan mufti dalam menentukan keputusan berkisar tentang hukum-hakam Islam. Lihat kembali ideologi mereka tentang hukuman sebat Kartika, pembahagian harta pusaka dan sebagainya. Tindakan mereka mencerminkan tahap liberalism yang sangat tinggi menjalankan hukum agama secara membuta tuli. Jadi secara kasarnya, penarikan pengharaman buku 'Muslim Women and the Challenge of Islamic Extremism' akan memberikan kemenangan besar buat mereka kerana pembaca yang cetek ilmu agama pasti tersalah tafsir tentang pelaksanaan hukum-hakam Islam. Selain itu juga, dengan adanya buku tersebut dalam pasaran, kedudukan dan pengaruh mereka semakin kukuh dalam masyarakat kerana mereka sudah semakin dekat dengan lapangan paling luas untuk menyebarkan dakyah liberalism tersebut. Memetik hujah peguam Kanan Persekutuan Noor Hishamuddin Ismail, beliau yakin buku tersebut bakal mengganggu ketenteraman awam kerana mempertikaikan hal-hal agama sewenang-wenangnya. Sebaliknya, tulisan-tulisan dalam buku tersebut bersifat menghukum dan menghentam hukum-hakam Islam yang sememangnya sudah tersedia lengkap dan tiada cacat celanya. Maka di sini kita melihat kebodohan mereka terserlah kerana tidak merujuk dengan betul sumber sahih iaitu Al-Quran dan hadis. Jika adapun diselitkan dalil-dalil dari sumber tersebut, mereka sudah pun bersedia dengan cara memutarbelitkan hujah agar sepadan dengan ideologi yang dibawa. Jadi, akidah para pembaca yang cetek dalam ilmu agama berada dalam keadaan yang sangat berbahaya. Buku 'Muslim Women and the Challenge of Islamic Extremism' akan menjadi senjata halus yang dapat menarik sebilangan besar golongan berintelektual tinggi tanpa fahaman agama yang sebenar. Hal ini kerana, peguam yang mewakili SIS mengatakan bahawa buku tersebut merupakan kritikan bersifat akademik dan tidak menyentuh langsung soal akidah. Jadi, dengan menyisipkan keyakinan ini, ramai golongan intelektual akan cuba untuk mendekati himpunan ‘karya agung’ ini untuk mencari kefahaman tentang Islam. Padahal buku tersebut merupakan tafsiran semata-mata tentang takrif Islam. Jika kita perhatikan, penggerak dan ahli-ahli SIS adalah dalam kalangan manusia yang mempunyai taraf pendidikan yang tinggi. Mereka inilah yang menggerakan ideologi liberalism dan menyebarkannya pada masyarakat pertengahan. Sememangnya golongan masyarakat pertengahan akan menerima apa sahaja yang dikatakan oleh golongan ‘cendekiawan’ tersebut, melainkan mereka punya pegangan akidah yang kukuh. Secara harfiahnya, kita pasti akan mempercayai golongan ilmuan dalam memahami sesuatu. Tuntasnya, pengharaman buku 'Muslim Women and the Challenge of Islamic Extremism' merupakan jalan terbaik untuk kita menyekat agenda-agenda SIS daripada tegar menyebarkan dakyah-dakyah mereka. Kali ini mereka memilih medium penulisan setelah bertahun-tahun lantang bersuara, selepas ini tidak diketahui medium apakah lagi yang akan digunakan seoptimumnya. Kita perlu bersedia setiap masa dengan melengkapkan diri dengan ilmu dunia dan akhirat agar tidak mudah terjebak dengan manusia-manusia yang memusuhi Islam ini. Nuraini Ruzi, Aktivis SPAQ (Skuad Penyelamat Aqidah) Pulau Pinang. |
Ahad, Januari 31, 2010
Implikasi Penarikan Pengharaman Buku Sisters in Islam
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan