Jumaat, Januari 01, 2010

Beban Yang Menanti di 2010

Kerajaan Barisan Nasional memulakan tahun barunya dengan beban terbaru di 2010. 1 Malaysia rakyat dibebankan dan taukeh gula didahulukan. Ucapan selamat kepada semua pengguna dengan kenaikkan harga baru gula sebanyak 20 sen sekilogram. Itulah sebenarnya yang didahulukan dan pencapaian yang diutamakan oleh sang pemerintah dengan slogan-slogan mereka membela rakyat.

Itu baru gula. Rakyat jangan lupa GST sedang menanti untuk meratah duit dari kantong kita. Khabarnya harga gula dinaikkan kerana hendak kawal penggunaan gula oleh rakyat bagi mengurangkan penyakit kencing manis. Bolehkah pengguna sekelian menerima alasan dangkal dan lelucon ini? Lepas ini tak tahu apalagi yang akan naik. Yang sudah pasti makanan yang berasaskan gula akan meningkat. Dengan keadaan ekonomi yang semakin parah, ditambah lagi dengan pelbagai peristiwa pelik dan ajaib yang berlaku seperti kehilangan enjin jet dsb, Malaysia tidak memerlukan gempa bumi dan tsunami untuk tersungkur.

Ketika sembang pagi diwarung kopi, penulis disapa oleh seorang rakan bermazhab UMNO yang berkomentar mengenai rencana 'Tahukah Anda' dalam blog ini yang menyentuh perihal GST. Penulis memang sering berbicara persoalan GST tidak kira dimana sebagai sumbang saran agar massa memahami ertikata sebenar apa itu GST. "Singapura mengenakan 7% cukai GST, Malaysia baru 4%, apa nak bising" sergahan si UMNO memulakan bicara yang menyerlahkan kenakalan dan kedunguan mereka dalam menyokong apa saja dasar yang diperkenalkan. Kata orang-orang tua dulu inilah yag dinamakan 'sokong yang membawa rebah'.

Penulis bersyukur apabila disergah oleh si UMNO. Pertama, kerana ia membaca blog tulisan seteru politik mereka. Kekerapan membaca akan membuat minda mereka terbuka dan seterusnya memahami apa yang disampaikan. Kedua, memang benar Singapura mengenakan cukai GST sebanyak 7% tetapi perlu diingat Singapura ialah sebuah negara bebas cukai. Cukai yang dikenakan hanya sekali sahaja. Ini bererti barangan yang dijual tidak dikenakan sebarang cukai. Cukai hanya dikutip dari rakyat apabila mereka membeli barangan tersebut. Berbeza dengan Malaysia, setiap barangan yang didagangkan telahpun dicukai oleh kerajaan. Samada pengguna membelinya ataupun tidak, barang yang dipasarkan telahpun dikenakan cukai. Dengan implementasi GST, pengguna akan dicukai kali keduanya apabila barangan yang diniagakan dibeli.
  • Patutkah GST dikenakan?
  • Apakah tidak patriotik sekiranya kita menentang dasar yang mencengkam dan membebankan rakyat?
  • Patriotik sangatkah bagi mereka yang menyokong apa saja dasar walaupun ia menjerut rakyat?
Kepada rakan-rakan UMNO/BN sedarlah, apa jua dasar yang diperkenalkan kepada rakyat, ia tidak memilih samada anda penyokong atau penentang kerajaan. Semua akan menerima padahnya. Apabila harga runcit petrol dinaikkan, semua terpalit sama tanpa mengira anda penyokong atau penentang. Sama-sama akan pergi ke stesyen minyak beratur dan membayar harga yang sama. Perkara yang sama juga berlaku kepada gula. Apa keistimewaan anda yang menyokong BN berbanding dengan kami yang menolaknya (BN).

Fikir-fikirkanlah!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan