Rabu, Januari 06, 2010

Orang Munafik Gagal Sujud Di Akhirat.

Orang-orang mukmin akan merasai nikmat yang paling agung apabila mereka dapat melihat wajah Allah swt di akhirat kelak. Nikmat yang tiada bandingannya walaupun di dalam syurga terdapat pelbagai nikmat yang tidak pernah dirasai di dunia, umpamanya nikmat mendampingi bidadari, nikmat menghirup udara segar didalam taman-taman syurga, nikmat menghuni mahligai yang diperbuat daripada emas dan bertatahkan aneka permata. Namun semua nikmat itu tidak akan dapat menandingi nikmat menatap wajh Allah swt.

Bagi orang-orang kafir, mereka diarahkan oleh Allah swt supaya mengikuti sembahan mereka didunia dahulu. Apabila kesemua yang disembah menjadi bahan bakar api neraka, orang-orang kafir itu akan bersama dengan sembahan mereka terjun ke dalam neraka. Orang-orang munafik pula, walaupun pada hakikatnya mereka adalah kafir tetapi oleh sebab mereka bergaul bersama orang-orang mukmin, maka mereka enggan berada dalam kumpulan orang kafir. Hal ini kerana mereka turut mendirikan solat dibelakang Nabi s.aw. malah terdapat dikalangan orang munafik yang turut bersama dengan Nabi dan para sahabat di medan perang.

Di Mahsyar, orang munafik mendakwa mereka orang mukmin dan orang yang soleh adalah sahabat mereka. Malah mereka mendakwa bahwa mereka juga beramal soleh sebagaimana orang-orang mukmin beramal serta mengenali Tuhan sebagaimana orang mukmin mengenali Nya. Justeru, mereka ingin bersama-sama dengan orang mukmin untuk menemui Allah swt dan melihat wajah Nya.

Untuk orang munafik itu, Allah swt mendatangkan imtihan (ujian) supaya mereka membuktikan dakwaannya. Dengan ujian itu dapat dibuktikan samada mereka beriman dengan Allah swt atau beriman dengan selain Nya.Ketika itu, Allah swt mendatangkan sesuatu yang menyerupai benda-benda tertentu, kemudian benda itu mendakwa bahwa dia adalah tuhan. Orang-orang mukmin segera menolak dakwaan itu kerana mereka di dunia dahulu beriman dengan Allah swt yang Maha Suci daripada sebarang penyerupaan benda. Adalah mustahil bagi Allah Taala serupa dengan sesuatu benda yang mempunyai ukuran atau jisim yang memerlukan ruang dan tempat.

Orang mukmin menolak ketuhanan yang bercanggah dengan apa-apa yang telah diajarkan kepada mereka oleh para utusan Allah dan juga bercanggah dengan apa-apa yang diperjelaskan oleh para ulamak berdasarkan nas-nas yang nyata. Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Said al-Khudri menyatakan : " Ketika orang-orang mukmin melihat sesuatu yang dikatakan sebagai Tuhan, mereka segera meminta perlindungan daripada Allah Taala daripada tuhan yang palsu. Sesungguhnya orang-orang mukmin yang sebenar tidak akan menyegutukan Allah Taala dengan sesuatu juapun".

Mereka memintaperlindungan Allah swt dua kali atau tiga kali sedangkan orang mukmin yang lemah hampir-hampir hati mereka berbalik untuk mempercayai tuhan jelmaan yang didatangkan oleh Allah sebagai imtihan itu. Sesungguhnya orang yang beriman di dunia ini adalah ibarat pelatih yang sedang membiasakan diri untuk mengenal Allah yang Maha Esa. Mereka mendirikan solat dan melaksanakan pelbagai abadat yang fardhu dan juga sunat untuk mengukuhkan keimanan dan keyakinan mereka terhadap Allah Taala.

Ketika mereka hampir menemui ajal pun adalah sunat diajar mereka menyebut kalimah Lailaha Illallah. Apabila mereka menyebut kalimah tersebut ketika hampir ajalnya, bukanlah disebabkan menurut apa yang diajar, sebaliknya disebabkan hati mereka yang beriman dengan kalimah tersebut telah terbiasa dan sebati dalam mengingati Allah swt. Pada saat hampir menemui ajal, lidahnya tetap menuturkannya dengan mudah.

Sementara golongan munafik pula ketika diuji dengan tuhan palsu yang dijelmakan oleh Allah Taala, mereka tidak menyatakan pendiriannya terhadap ujian tersebut. Dengan demikian dapatlah dibuktikan bahawa golongan munafik itu sebenarnya tidak dapat membezakan antara Allah Taala sebagai Tuhan yang sebenar dengan tuhan-tuhan jadian yang telah dijadikan ujian kepada mereka.

Ujian kedua kepada golongan munafik ialah ketika orang-orang mukmin diperintahkan oleh Allah swt supaya sujud di mahsyar sebagaimana firman Allah yang bermaksud :
"Pada hari betis disingkapkan dan mereka dipanggil untuk sujud, maka mereka tidak berkuasa" (al-Qalam : 42)

Hanya orang mukmin yang ikhlas sahaja berjaya sujud kepada Allah swt. Mereka boleh sujud kerana sejak di dunia lagi mereka adalah golongan yang sentiasa sujud kepada Nya. Justeru sampai ke akhirat mereka tetap boleh melakukan sujud. Adapun orang-orang munafik tidak berupaya melakukannya kerana ketika di dunia dahulu, mereka mendirikan solat bukan sebenarnya kerana Allah swt, sebaliknya hanya untuk menunjuk-nunjuk kepada manusia.

Orang-orang munafik gagal menghadapi ujian kedua, iaitu tidak berupaya sujud di akhirat ketika mereka diperintah berbuat demikian bersama-sama orang mukmin. Dengan kegagalan itu, terbuktilah kedudukan keimanan mereka. Walaupun semasa di dunia mereka bergaul dengan orang-orang mukmin, tetapi sebenarnya adalah kafir di sisi Allah swt.

Petikan Buku : Nota Kepada Diri oleh Tuan Guru Nik Abd Aziz Nik Mat.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan