Selasa, Ogos 25, 2009

Fahaman Kebangsaan (Bhg 3).

FAHAMAN KEBANGSAAN YANG DITEGAH DAN YANG DIHARUSKAN OLEH ISLAM.

Sebenarnya bukan semua semangat kebangsaan dan Qaumiyyah ditegah atau dilarang oleh Islam. Bahkan ada yang diharuskan atau dibolehkan dan ada yang ditegah dan diharamkan. Artikel ini akan menghuraikan tiap-tiap satu yang dimaksudkan.

Al-Syeikh Muhammad Mahmud al-Showwaff, Hassan al-Bana dan ulama'-ulama' yang lain membahagikan al-Qaumiyyah itu kepada dua jenis. Pertama yang diharuskan atau dibolehkan. Kedua yang ditegah dan diharamkan.

1) Kebangsaan yang diharuskan.

(i) Qaumiyyah atau semangat kebangsaan yang boleh melahirkan rasa kasih dan sayang seseorang kepada bangsanya atau kepada keturunannya serta kepada negaranya sehingga apabila bangsanya disanjung orang ia turut merasa gembira dan jika dihina atau dizalimi dia turut berasa sedih dan resah. Perasaan kasihkan bangsa dan negaranya sendiri seperti ini merupakan suatu fitrah (sifat semulajadi) seseorang manusia. Allah menjadikan manusia berpuak-puak dan berbangsa-bangsa dan tiap-tiap bangsa dan puak itu akan kasih kepada bangsa dan puaknya. Allah menjelaskan hal ini di dalam al-Quran menerusi fimanNya yang bermaksud :

"Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulai-mulia kamu disisi Allah ialah yang lebih taqwanya diantara kamu (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu). al-Hujurat :13

Baginda sendiri bersabda :
أحب العرب لثلاثة لأ ننى عربي ولغة القرآن عربية ولغة أهلى الجنة عربية
"Aku sayangkan Arab kerana 3 sebab : pertama kerana aku berbangsa Arab, kedua kerana bahasa al-Quran adalah bahasa Arab dan ketiga kerana bahasa ahli syurga adalah bahasa Arab".

(ii) Rasa cinta dan kasihkan tanahair dan negara sendiri diatas dasar rasa tangungjawab untuk membebaskan negara daripada cengkaman penjajah dan mengembalikan kemerdekaan serta kemuliaan rakyat supaya rakyat dan negara menjadi maju dan kekal bersama Islam.

(iii) Segala usaha dan perjuangan untuk meluaskan pengaruh Islam ke seluruh negara di dunia atau untuk keagungan Islam dalam keadaan Islam dijadikan sistem hidup dan peraturan hidup bermasyarakat.

(iv) Segala usaha untuk menguatkan ikatan persaudaraan dan kelompok masyarakat didalam sesebuah negara demi untuk menjaga kepentingan bersama berasaskan ajaran Islam (tidak bertentangan dengan ajaran Islam) dan bukan berasaskan kepada semangat kebangsaan.

2) Kebangsaan yang ditegah dan diharamkan.

Diantara fahaman kebangsaan yang ditegah dan diharamkan serta dianggap bercanggah dengan ajaran Islam dan mesti ditentang ialah :

(i) Apabila menjadikan semangat kebangsaan atau Qaumiyyah sebagai satu pegangan dan aqidah sehingga ditukarkan pegangan atau aqidah Islam dengan pegangan kebangsaan dan mereka ta'assub atau sayang kepadanya lalu menentang apa-apa ajaran yang berlawanan dengan kebangsaannya.

(ii) Apabila dijadikan Qaumiyyah sebagai satu fikrah atau ideologi politik dan sebagai satu sistem kemasyarakatan untuk mentadbir urusan hidup ummah. Dijadikan semangat kebangsaan itu sebagai asas perjuangan mereka. Dilaungkan semangat kebangsaan dan dipujanya lambang-lambang kebangsaan.

(iii) Usaha kearah perpecahan ummah supaya menjadi berpuak-puak dan berkelompok-kelompok tertentu dengan tujuan untuk melahirkan perbalahan dan permusuhan sesama Islam.

(iv) Menghidupkan adat resam ala jahiliyyah serta menghidupkan sifat-sifat perkauman ala jahiliyyah atau menghidupkan kebudayaan kebangsaan dan adat resam yang berlawanan dengan ajaran Islam.

Melihat kepada kedua-kedua jenis Qaumiyyah di atas, dirasakan Qaumiyyah di Malaysia lebih hampir kepada Qaumiyyah yang kedua yang ditegah oleh Islam. Ini kerana ia dijadikan fahaman kebangsaan Melayu sebagai ideologi politik dan semangat perjuangan.

Rujukan : Nota Pengajian Diploma Tasawwur Islam ILH 203 (Aqidah Islamiyyah).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan