Sabtu, Ogos 22, 2009

Fahaman Kebangsaan (Bhg 2).

ANASIR / CIRI-CIRI FAHAMAN KEBANGSAAN.

Pendokong fahaman kebangsaan dan pejuangnya mengatakan bahwa fahaman tersebut mempunyai beberapa ciri penting. Tanpa ada ciri-ciri tersebut sesuatu fahaman kebangsaan itu tidak boleh dilahirkan dan tidak wujud. Ciri-ciri tersebut seperti ciri asal keturunan dan darah yang sama (satu keturunan), bahasa yang sama (satu bahasa), negara yang sama dan kepentingan bersama.

Walaupun begitu, ciri-ciri tersebut dikritik oleh golongan yang tidak bersetuju dengan pandangan diatas. Digariskan disini ulasan ciri-ciri tersebut dan kritikannya.

1) Keturunan dan daerah yang sama.

Penyokong fahaman kebangsaan mengatakan; untuk membentuk suatu bangsa yang sama berjuang mempertahankan kebangsaan yang sama, hendaklah bangsa tersebut terdiri daripada satu asal keturunan dan darah yang sama atau mestilah mereka dari rumpun bangsa yang satu, tidak dari rumpum bangsa yang berbilang-bilang. Umpamanya bangsa Jerman untuk bangsanya sahaja iaitu dari bangsa 'Aria' yang terpilih.

Orang Yahudi yang membela kebangsaan Yahudi, mereka terdiri daripada satu rumpun keturunan bangsa yang satu iaitu bangsa pilihan Allah yang mulia. Orang Melayu yang memperjuangkan kebangsaan Melayu umpamanya, mereka adalah berasal daripada satu rumpun bangsa Melayu yang mendiami Tanah Melayu, bukan bangsa lain dan begitulah seterusnya.

Ciri ini dikritik oleh golongan lain, mereka mengatakan apa yang sebenarnya keturunan sesuatu bangsa itu telah bercampur aduk dari pelbagai keturunan dan darah yang berbeza. Mereka mengatakan tidak ada suatu bangsa pun yang keturunannya tidak bercampur dengan pelbagai keturunan yang lain. Umpamanya bangsa Arab telah bercampur dengan pelbagai keturunan. Ada yang bercampur dengan Turki, Iran dsb. Bangsa Melayu umpamanya, darahnya telah bercampur dengan pelbagai keturunan seperti bangsa Jawa, Bugis, Arab dsb. Maka mengikut golongan ini hampir tidak ada satu bangsa pun yang berasal dari darah yang satu.

2) Bahasa yang sama (satu bahasa).

Suatu bangsa yang memperjuangkan suatu fahaman kebangsaan itu; mereka mestilah mempunyai atau menggunakan satu bahasa yang sama. Tidak banyak bahasa, umpamanya pejuang-pejuang kebangsaan Arab, mereka mempunyai satu bahasa sahaja iaitu Bahasa Arab. Golongan yang membela kebangsaan Melayu mereka menggunakan satu bahasa iaitu Bahasa Melayu. Begitulah seterusnya.

Ciri ini pun turut dikritik oleh golongan yang menentang. Mereka berkata; ini tidak boleh diterima sebab terdapat banyak bangsa didunia ini yang membela kebangsaan yang satu tetapi mempunyai banyak bahasa. Umpamanya negara Switzerland yang mempunyai satu bangsa (bangsa Switzerland) tetapi mempunyai 3 bahasa yang berlainan. Penduduk India yang mempunyai satu bangsa, penduduknya menggunakan hampir 300 bahasa yang berlainan. Begitu juga Pakistan mempunyai satu bangsa tetapi menggunakan 3 bahasa. Begitulah seterusnya.

Orang Melayu yang memperjuangkan semangat kebangsaan Melayu, mempunyai pelbagai bahasa selain daripada bahasa kebangsaan seperti bahasa Jawa, bahasa Bugis, bahasa daerah Kelantan, Kedah dsb.

Selain itu terdapat pula bangsa yang berlainan tetapi menggunakan satu bahasa sahaja. Seperti bangsa Amerika, Inggeris dan Australia. Ketiga-tiganya adalah bangsa yang berlainan tetapi kesemuanya menggunakan satu bahasa iaitu bahasa Inggeris.

3) Ciri bumi dan tanahair adalah satu.

Satu lagi ciri kebangsaan ialah suatu bangsa yang memperjuangkan suatu semangat kebangsaan mestilah mempunyai bumi yang sama atau satu tanahair. Umpamanya mereka yang memperjuangkan kebangsaan Melayu (Tanah Melayu atau Malaysia). Mereka yang memperjuangkan kebangsaan Arab mestilah mendiami bumi Arab. Mereka yang memperjuangkan kebangsaan Turki mestilah mendiami negara Turki. Begitulah seterusnya.

Ciri-ciri ini juga tidak terlepas dari dikritik. Ini kerana apa yang dilihat, dibumi yang sama kadang-kadang didiami oleh pelbagai bangsa dan terkadang bangsa yang satu mendiami negara yang banyak. Umpamanya negara Arab didiami oleh bangsa Assyiria, Fir'aun, Finikia dan negara Arab itu sendiri sebenarnya bukan sebuah tetapi hampir berpuluh buah.

4) Mempunyai kepentingan bersama.

Para pejuang kebangsaan mengatakan sesuatu kebangsaan itu mestilah mempunyai kepentingan bersama yang diperjuangkan dimana semua rakyatnya sepakat memperjuangkan kepentingan bersama. Contohnya; masing-masing berjuang untuk mempertahankan kemerdekaan negaranya atau membangun dan memajukan negaranya.

Ciri ini juga turut dikritik dengan mengatakan pendapat tersebut tidak boleh diterima kerana kepentingan bersama itu kadang-kadang bukanlah menjadi hak sesuatu bangsa tertentu sahaja tetapi dikehendaki oleh banyak negara dan menjadi hak bersama. Umpamanya satu masa dahulu Amerika dan Rusia yang merupakan dua negara yang berlainan tetapi pernah mempunyai kepentingan bersama iaitu keperluan bersatu untuk menentang Nazi. Namun setelah mereka berjaya, mereka mula berkelahi semula.

Mereka juga seperti negara-negara yang membuat perjanjian Nato yang terdiri daripada Turki, Perancis, Inggeris dsb adalah negara-negara yang berlainan tetapi mempunyai kepentingan bersama iaitu semuanya mahu menentang Komunis. Sedangkan mereka bukan dari satu bangsa yang memperjuangkan satu kebangsaan.

Tetapi walau bagaimanapun ciri-ciri tersebut dianggap oleh ramai orang sebagai ciri-ciri penting yang perlu ada pada sesuatu perjuangan kebangsaan sesuatu bangsa.

Rujukan : Nota Pengajian Diploma Tasawwur Islam ILH 203 (Aqidah Islamiyyah).


Tiada ulasan:

Catat Ulasan