Selasa, Julai 14, 2009

Islam dan Pertentangannya dengan Fahaman Sekular. (Bhg akhir)

2). Sekularisma Berlawanan Dengan Perlembagaan.

Dalam perlembagaan Malaysia ada menyebut agama Islam adalah agama rasmi negara. Dengan ini sepatutnya umat Islam mesti mengikat diri dan bawaan hidup hariannya dengan ajaran Islam dalam semua perkara. Tetapi apa yang dilakukan oleh para pendokong sekularisma adalah sebaliknya. Mereka banyak menghalang umat Islam daripada mengikut apa yang disuruh oleh Allah, bahkan pemimpin dan pembesar negara banyak melakukan pelanggaran terhadap ajaran Islam. Dalam negara sekular amalan riba diharuskan, kemungkaran dan kemaksiatan berlaku tanpa dicegah apatah lagi yang mendapat lesen kebenaran pemerintah. Kelab malam, rumah urut, permis judi dan lain-lain berkembang tanpa usaha yang konsisten untuk menghapuskannya.

3). Sekularisma Ajaran Luar Islam.

Sekularisma adalah ajaran dan isme yang diimport dari barat yang bercanggah dengan Islam. Aqidahnya bukan dari aqidah Islam. Orang Islam tidak perlu kepadanya kerana ajaran Islam sempurna dan lengkap, syumul, tidak perlu pada sebarang penambahan dan tidak perlu dikurang atau dibuang. Apabila ajaran dan peraturan Islam tidak dijalankan, maka orang Islam tetap berdosa.

4). Sekularisma Fahaman Dualisme.

Pandangan hidup Islam berdasarkan kepada 'Tauhid kepada Allah' yang menjurus kepada dasar intergrasi (bersepadu) tanpa mengamal konsep dualisme. Islam sekali-kali tidak memisahkan atau mengasingkan agama dan dunia. Allah swt berfirman yang bermaksud :

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagian hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia".
Al-Qasas : 77

Islam tidak memisahkan antara urusan dunia dan akhirat, malahan berjalan seiring diantara keduanya. Nasib seseorang diakhirat bergantung kepada amalannya didunia. Sebab itu urusan dan kerjabuat manusia didunia tidak terlepas dari hukum wajib, haram, sunat, harus dsb dan tidak akan terlepas dari persoalan dosa dan pahala, balasan baik yang berupa syurga dan balasan jahat di neraka. Sedangkan sekularisma mengasingkan kedua-dua urusan dunia dan akhirat.

5). Sekularisma Menolak Kehendak Majoriti Umat Islam.

Dalam usaha mempertahankan kehendak mereka bagi mengekalkan ajaran sekular barat, para pendokong sekularisma sebenarnya telah membelakangkan pandangan dan kehendak majoriti umat Islam dan sekaligus memaksa rakyat menerima pendapat segelintir pemimpin mereka. Majoriti umat Islam mahu hukum-hukum dan undang-undang Islam dilaksanakan dalam kehidupan kerana ia merupakan kewajipan keatas setiap individu muslim. Tetapi perlaksanaan undang-undang Islam terpaksa ditangguh atau ditinggal kerana segolongan pemimpin sekular tidak mahu melaksanakannya.

Dari huraian dan ulasan panjang lebar yang diberi jelaslah bahwa sekularisma memang berlawanan dengan Islam.

Penutup.

Sebagai kesimpulan, sekularisma adalah satu fahaman yang diambil dari barat. Ia bercanggah dan berlawanan dengan ajaran Islam. Sekularisma adalah ajaran yang menghalang umat Islam dari mempraktikkan keseluruhan ajaran Islam. Kerana itu umat Islam mesti berjuang untuk mengikis fahaman tersebut supaya segala hukum-hakam Islam dapat dilaksanakan dan umat Islam yang jahil tentang sekularisma mesti didakwah dan diberi penjelasan sehingga mereka faham dan meninggalkan fahaman tersebut dan sekaligus menerima Islam secara total.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan