Khamis, Julai 16, 2009

Beberapa Ibrah dari Peristiwa Isra' dan Mi'raj.

'Maha suci Allah Yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), Yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui'.
(al-Isra' [17] : 1)

Menurut riwayat Ibnu Sa'd di dalam Thabaqatnya, peristiwa ini terjadi lapan belas bulan sebelum hijrah. Kisah perjalanan ini disebut oleh Bukhari dan Muslim secara lengkap dalam sahihnya. Disebutkan juga bahwa dalam perjalanan ini Rasulullah s.a.w. menunggang Buraq iaitu sejenis binatang yang besar sedikit dari keldai dan kecil sedikit dari unta. Binatang ini melangkah sejauh mata memandang. Setibanya Rasulullah s.a.w. di Masjidil Aqsa, baginda telah menunaikan solat dua rakaat dan kemudian Jibrail membawa dua gelas minuman yang berupa khamar dan susu. Lalu baginda Nabi s.a.w. telah memilih susu lalu Jibrail berkomentar : "Engkau telah memilih fitrah".

Tulisan ini tidak bertujuan untuk menceritakan bagaimana perjalanan Nabi s.a.w. dalam peristiwa Isra' dan Mi'raj tetapi cuba mengetengahkan beberapa ibrah (pengajaran) yang dapat diambil dari peristiwa besar ini. Bagi yang sering terlibat dengan mengatur program-program kuliah dan ceramah tentu tidak akan terlepas dari menjadikan sambutan Isra' dan Mi'raj sebagai salah satu acara wajib dalam kalendar surau dan masjid. Begitulah lazimnya masyarakat Islam di Malaysia dalam menyusun atur program-program keagamaan sehingga terdapat jamaah yang sudah tahu apa yang akan disampaikan oleh para penceramah yang diundang.

Bukhari dan Muslim meriwayatkan bahwa Rasulullah s.a.w. bersabda :

لما كذ بتيى قريش قمت فى الحجر فجلى الله لى بيت المقدس فطفقت أخبرهم عن ءايته وأنا أنظر اليه

"Ketika kaum Quraish mendustakan aku, aku berdiri di hijr (Ismail) lalu Allah memperlihatkan Baitul Maqdis kepadaku. Kemudian aku khabarkan kepada mereka tentang tiang-tiangnya dari apa yang aku lihat".

Satu berita yang sangat menggemparkan masyarakat Arab Quraish ketika itu kerana perjalanan yang diceritakan oleh baginda kepada kaumnya itu diluar capaian akal manusia diwaktu itu. Lalu mereka menyoal Nabi s.a.w. mengenai bentuk bangunan Masjid al-Aqsa lalu baginda menjelaskan menerusi hadith tersebut.

Beberapa ibrah.

Pertama : Penjelasan tentang rasul dan mukjizat.

Masyarakat sering didedahkan mengenai gambaran kehidupan Nabi s.a.w. sebagai manusia biasa jauh dari hal-hal luar biasa dan mukjizat. Bahkan tidak memperlihatkan sama sekali kemukjizatan dalam kehidupan Rasulullah s.a.w. Jika ditelusuri sumber teori tentang Rasulullah s.a.w. ini jelas berasal dari pemikiran sebahagian oreintalis dan peneliti asing seperti Gustav, August Comte, Goldzhier dan rakan-rakannya. Timbulnya teori ini disebabkan tiadanya keimanan kepada pencipta mukjizat. Seandainya keimanan kepada Allah telah menghunjam didalam hati maka akan mudah untuk menyakini segala sesuatu yang berhak disebut mukjizat.

Pemikiran-pemikiran asing yang dikemukakan khususnya oleh para orientalis telah dijadikan alat untuk membuka medan-medan baru bagi melakukan gazwatul fikr dan menimbulkan keraguan kaum Muslim terhadap agamanya. Mereka mula memberikan sifat-sifat tertentu kepada Rasulullah s.a.w. seperti heroik, genius, pahlawan dan pemimpin dalam artikata yang serba menakjubkan. Pada waktu yang sama, gambaran yang diberi dalam kehidupan umum Rasulullah s.a.w. jauh dari mukjizat dan perkara luar biasa yang gagal dicapai oleh akal manusia dengan tujuan akan tercipta satu gambaran baru tentang Nabi didalam pemikiran kaum muslim. Menamakan Rasulullah s.a.w. sebagai seorang genius, komandan ataupun pahlawan, tidak akan dapat menandingi anugerah Allah swt kepada baginda sebagai seorang Nabi dan Rasul kerana fenomena wahyu dan kenabian adalah puncak kemukjizatan. Kenabian adalah termasuk nilai-nilai keghaiban yang tidak mengikuti kriteria-kriteria manusia biasa yang bersifat empirik. Mana mungkin manusia yang manyatakan keimanannya kepada Allah dan Rasul menolak mukjizat dan hal-hal luar biasa dari kehidupan Nabi s.a.w. kecuali dengan menghancurkan kenabian itu sendiri dari kehidupan baginda. Sekiranya perkara ini dilakukan, berarti telah berlaku penolakkan terhadap agama itu sendiri.

Peristiwa Isra' dan Mi'raj merupakan salah satu mukjizat Nabi s.a.w. bahkan jumhur kaum muslimin sepakat mengatakan ianya termasuk dalam mukjizat Nabi yang terbesar.

Kedua : Kedudukan Isra' dan Mi'raj diantara peristiwa-peristiwa yang telah dialami Rasulullah s.a.w. pada waktu itu.

Rasulullah s.a.w. telah melalui pelbagai penyiksaan dan tribulasi yang dilancarkan oleh kaum kafir Quraish kepada baginda serta para sahabatnya dan terakhir sekali sebelum peristiwa Isra' dan Mi'raj ialah dakwah baginda ke Thaif. Perasaan tidak berdaya sebagai manusia dan betapa perlunya pembelaan dari Yang Maha Esa terungkap seluruhnya dalam doa Nabi s.a.w. yang diucapkan setelah tiba dikebun kedua anak Rabiah. Suatu ungkapan yang menggambarkan ubudiyah kepada Allah. Dalam munajatnya terungkap makna pengaduan kepada Allah, keinginan untuk mendapatkan penjagaan dan pertolongan-Nya, bahkan baginda khuatir apa yang dialaminya kerana murka Allah kepadanya. Diantara untaian doanya terucap kalimat :ان لم يكن بك على غضب فلا أبالى
(Engkau tidak murka kepadaku, maka semua itu tidak aku hiraukan).

Ketiga : Makna yang terkandung dalam perjalanan Isra' ke Baitul Maqdis.

Peristiwa ini memberikan isyarat jelas bahwa kaum muslim disetiap tempat dan waktu harus menjaga dan melindungi rumah suci Baitul Maqdis dari keserakahan musuh-musuh Islam. Seolah-olah hikmah illahiyyah ini mengingatkan kaum muslimin zaman sekarang agar tidak takut dan menyerah menghadapi kaum Yahudi yang tengah menodai dan merampas rumah suci ini untuk membebaskannya dari tangan-tangan najis dan mengembalikannya kepada pemiliknya iaitu kaum muslim.

Keempat : Pilihan Nabi s.a.w. ketikan diberi minuman oleh Jibrail.

Jibrail menawarkan dua jenis minuman iaitu susu dan khamar dan Nabi s.a.w. telah memilih susu. Ia merupakan satu isyarat simbolik bahwa Islam adalah agama fitrah. Agama yang terkandung didalamnya aqidah dan seluruh hukumnya sesuai dengan tuntutan fitrah manusia. Didalam Islam tidak sesuatu pun yang bertentangan dengan tabiat manusia. Inilah faktor yang membuatkan Islam begitu cepat tersebar dan diterima manusia.

Kelima : Isra' dan Mi'raj dilakukan dengan jasad dan roh.

Jumhur ulama' baik salaf ataupun khalaf telah sepakat mengenai perkara tersebut. Imam Nawawi berkata didalam Syarhu Muslim "pendapat yang benar menurut kebanyakkan kaum muslim, ulama' salaf, semua fuqaha, ahli hadith dan ahli ilmu tauhid menyatakan bahwa Nabi s.a.w. diisra'kan dengan jasad dan rohnya. Semua nas menunjukkan hal ini dan tidak boleh ditakwilkan dari zahirnya kecuali dengan dalil".

Diantara dalil yang secara tegas menunjukkan bahwa Isra' dan Mi'raj ini dilakukan dengan jasad dan roh ialah sikap kaum Quraish yang menentang keras kebenaran peristiwa itu. Seandainya peristiwa itu hanya melalui mimpi, maka ia tidak akan mengundang kehairanan dan penentangan yang luar biasa.

Demikianlah kehebatan Allah swt terhadap hambanya. Semoga dengan artikal ringkas ini dapat memberi sedikit kefahaman dan penghayatan terhadap peristiwa besar yang berlaku keatas diri Rasulullah s.aw. khasnya dan Islam amnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan