Hujung minggu yang baru ini, penulis dikunjungi oleh seorang non muslim berbangsa Tionghua ke rumah. Beliau ini sudah tidak asing lagi kerana sering datang mendengar ceramah PAS disekitar bandar Kulai, terutama di Bandar Putra. Kadang-kadang sampai ke Felda Taib Andak. Pendek kata memang penyokong PAS / PR dan sangat bersemangat untuk menumbangkan Barisan Nasional. Kehadiran beliau kerumah memang tidak diduga sama sekali.
Setelah bertanya khabar, tetamu ini memulakan bicara dengan mengajukan satu soalan yang amat memeranjatkan. "Apa saya boleh bantu PAS untuk PRU ke 14" katanya dengan penuh semangat. "Saya sedih bila tengok PAS kalah, sedangkan you orang sudah kerja kuat" beliau menyambung. "Apa macam mau buat sama orang Melayu. Kita orang Cina sudah boleh undi sama PAS, mengapa Melayu tak berani?" Soalan yang membuat penulis termenung memikirkannya. Kemudian beliau mengeluarkan sekeping risalah mengenai gesaan Dr Yusuf Qardhawi agar orang Islam bangkit menentang pemerintah yang zalim dan membuat perubahan. "You orang PAS saya tengok banyak baik. Tengah-tengah kerja pun you orang berhenti sembahyang. Ini macam punya baik pun orang Melayu tak boleh nampak kah?" ujarnya. Hebat betul insan ini. Walaupun ia bukan seorang Islam tapi semangatnya untuk membantu kemenangan Islam patut dipuji. Terasa malu pula bila memikirkan sesetengah ahli jamaah yang diam membisu setelah habis pilihanraya. Yang tak nampak batang hidung pun ada. Frust betul gamaknya.
Beginilah sifat Islam yang menjadi agama Allah dan para rasul Nya. Agama fitrah yang sesuai dengan kehidupan manusia dan alam seluruhnya. Kadang-kadang kita rasa pelik. Manakan tidak, orang Islam yang sepatutnya mendokongi Islam, kini berlaku sebaliknya. Keindahan Islam dapat dilihat dan dirasai oleh mereka yang cintakan keadilan walaupuan ia bukan dari kalangan umat Islam itu sendiri.
Jika disorot kembali sejarah permulaan Islam, Nabi s.a.w. didokong oleh dua orang tokoh ternama dari kalangan Arab Quraish ketika itu. Seorang Islam dan seorang lagi bukan Islam iaitu isteri baginda Siti Khadijah r.a. dan bapa saudaranya Abu Thalib. Dua tokoh ini (selain para sahabat) merupakan individu yang sangat rapat dengan Rasulullah s.a.w. dan sering memberi dokongan kepada baginda samada dalam bentuk moral dan material dalam usaha melaksanakan dakwah Islamiyah. Kehilangan dua tokoh ini dalam kehidupan baginda membuatkan baginda merasa sedih yang teramat sangat sehingga tahun itu dikenali sebagai 'Tahun Dukacita' dikalangan para ulama' sirah.
Dalam keghairahan orang Melayu Islam menolak PAS, masyarakat bukan Islam dari kalangan orang Cina dan India tampil memberi sokongan. Tidak cukup sekadar itu, ada yang datang kepada penulis menawarkan diri untuk bersama-sama menyusun strateji bagi menggempur kawasan Felda dan Kampung Tradisi yang menjadi kubu kuat UBN. DAP telah menyatakan sokongan mereka untuk membantu PAS menawan kerusi DUN Bukit Permai dalam pilihanraya yang akan datang.
Penulis telah melalui 3 PRU bersama PAS sejak 1999, tapi PRU kali ini ternyata berbeza. Meskipun PAS masih gagal dalam misinya, rakan-rakan non muslim telah tampil memberi kata-kata semangat untuk bangkit semula meneruskan gerakerja. Langkah pertama yang diambil ialah memperkasakan parti dan ia telah pun dimulakan di Felda Bukit Permai. UPU ini dipilih kerana ia merupakan UPU yang paling menonjol dalam PRU yang lalu disamping dibarisi oleh ramai tenaga muda.
Insya'allah, dengan sokongan dan dokongan yang ada, PAS mampu bangkit dan seterusnya menawan DUN Bukit Permai pada PRU ke 14 dan bersama-sama Pakatan Rakyat menuju Putrajaya dan Nusajaya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan