Rabu, Mei 29, 2013

PRU 13 : Sekadar Coretan

PRU 13 telah pun berlalu. Keputusannya pun telah kita ketahui. Tetapi ceritanya masih terus berlarutan, tak tahu bila sudahnya. Rakyat terus bangkit menolak penipuan yang berlaku dalam sistem pilihanraya yang umum ketahui penuh dengan permainan yang berat sebelah. Kita bermain diatas padang yang tidak sama rata. Bukan sekadar itu, undang-undang dicipta bagi membolehkan sang penguasa terus mengekalkan status quonya.

Berkali-kali dalam ceramah penulis menyatakan bahwa seteru utama PR bukan UMNO/BN tetapi SPR. Pertambahan 7000 pengundi baru dalam SSDP tempat penulis diberi amanah adalah satu kenaikkan mendadak dan diluar jangka. Sebahagian besar daripadanya tidak mempunyai maklumat lengkap pengundi selain no kad pengenalan. Sewaktu mengiringi muslimat mengedarkan slip pengundi, ramai nama yang ada tidak menetap di alamat yang tertera. Bahkan pemilik permis menafikan wujudnya penama tersebut.

Di UPU-UPU dimana pertambahan pengundi yang agak ketara, sebahagian besar senarai nama gagal dikesan dan dikenalpasti. Ini ditambah lagi dengan peratus keluar mengundi mencecah 90.1%. Peratus keluar mengundi yang tertinggi dalam Negeri Johor bagi peringkat Dewan Undangan Negeri. Ramalan awal seseorang pemerhati politik yang memberitahu Sdr Mazlan bahwa ia akan dikalahkan melalui SSDP ternyata benar.

Penulis hanya merujuk kepada DUN Bukit Permai, DUN yang masih gagal ditawan oleh PAS, walaupun kita berjaya mengurangkan jurang kemenangan yang diperolehi oleh UBN. Kali ini kita melihat, peti-peti undi di kawasan bandar dimenangi oleh PAS. Bukan sekadar itu, kita mendahului dari segi kiraan undi pada peringkat awal. Sesuatu yang tidak pernah berlaku dalam PRU-PRU sebelum ini. Penulis ketika itu hanya berdiam diri menanti jumlah undi yang bakal diluahkan oleh para pengundi Felda dan Kampung Tradisi. Penantian yang amat merimaskan. Peratusan keluar mengundi dari kalangan orang Melayu di Felda dan Kampung amat mendebarkan. "Ana rasa ada yang tak kena dengan kehadiran yang begitu tinggi" bisik penulis kepada Mazlan sewaktu melawat pusat mengundi di Kg Murni Jaya dan Felda Bukit Permai.

Jangkaan penulis ternyata benar. Apabila keputusan daripada Felda dan Kampung mula diterima, jumlah undi dikawasan bandar sudah tidak dapat menampung. Walaupun buat pertama kali kita melepasi angka 8000, tetapi undi Melayu Felda dan Kampung masih berpihak kepada UBN. Entah kenapa orang Melayu susah sangat nak buat perubahan. Bukannya berdosa pun. Tumpuan yang diberi di kawasan pengundi Melayu selama 3 tahun kebelakangan ini bukan sahaja gagal melonjakkan undi, bahkan semakin merosot. Itulah hakikatnya. Walaupun pelbagai cerita yang sampai kepada penulis, ia ketentuan Illahi yang tidak dapat nak disangkal. Mungkin kita tidak benar-benar ikhlas dalam melaksanakan dakwah Allah ini, hingga membuatkan Allah menangguhkan kemenangan Nya.

Apapun keputusannya, dakwah perlu diteruskan. Masyarakat perlu diberi ilmu yang cukup untuk berhadapan dengan dunia yang penuh dengan pancaroba ini. Kepada yang menang khusunya di Parlimen Kulai, DUN Senai dan DUN Bukit Batu, sekalung tahniah penulis ucapkan. Tugas mengisi kemenangan adalah lebih mencabar daripada memburunya. Kepada warga PAS Kulai; perjuangan ini perlu diteruskan. Kemenangan yang dirintis sudah semakin hampir. Anda semua telah melaksanakan tugasan yang diberi dengan cemerlang sekali. Pilihanraya kali ini dilihat sebagai pilihanraya yang paling baik dan seronok pernah kita sertai. Mana yang merajuk tu, tempuhnya sudah tamat. Bangkitlah kembali, kita rapatkan semula saf dan teruskan perjuangan suci ini. Insya'allah kemenangan sedang menanti kita. Selamat berjuang !

Salam Perjuangan

YDP
PAS Kawasan Kulai

Tiada ulasan:

Catat Ulasan