Lama benar dah penulis tidak mengetuk butang-butang notebook ini untuk berbicara dialam siber. Dua tiga minggu kebelakangan ini agak sibuk dengan tugasan akhir bagi mempersiapkan jentera untuk menghadapi pilihanraya yang diheboh-hebohkan berlaku pembubaran parlimen pada Jumaat 29 Mac yang lalu. Namun PM semakin tidak bertemu dengan tarikh yang sesuai. Nasib baik bukan berpuasa. Kalau puasa tak jumpa anak bulan, jawabnya tak raya lah kita.
Disamping itu, penulis juga sibuk melayan kerenah UMNO di facebook yang menjadi hangat apabila kisah Pak Utoh di Kg Melayu Sedenak disiarkan di media sosial. Ia menjadi semakin panas apabila ia disiarkan didalam akhbar berbahasa melayu, Sinar Harian pada keluaran hari Khamis 28 Mac 2013. Meroyan UMNO. Bersilat mereka menafikan berita yang tersiar. Apa yang disiarkan dilaman sosial dan media cetak ialah realiti yang berlaku tanpa sebarang rekayasa yang dibuat. Bahkan pendedahan itu dilakukan oleh anak tempatan yang simpati diatas nasib yang menimpa warga emas tersebut.
Ziarah kebajikan diteruskan pada minggu berikutnya di kampung yang sama. Kali ini melibatkan 15 keluarga dan menemukan kami dengan seorang anak muda yang tinggal dengan ibunya yang mengalami gangguan mental. Anak muda ini tinggal dengan serba kedaifan. Dia dinafikan sebarang bantuan dengan alasan rumahnya besar. Sedangkan ruang tempat dia dan ibunya tinggal hanyalah disatu sudut sahaja kerana ruang yang ada walaupun luas tetapi tidak dapat didiami akibat bumbung yang bocor. Bilik tidur yang ada pun tidak dapat digunakan. Sekiranya hujan maka dua beranak ini akan duduk disudut yang disebutkan tadi. Inilah realiti kehidupan. Kali ini, apabila berita mengenainya disebar di media sosial, pembela bangsa yang namanya UMNO bisu seribu bahasa. Tidak seorang pun yang tampil mengatakan kami menipu dan menyebar fitnah.
Tidak cukup dengan itu, kami menemukan dengan satu kes yang lebih kronik lagi. Kali ini di Felda Taib Andak, Kulai. Seorang ibu tunggal yang baru kematian suami, tinggal seorang diri dan tidak dapat bergerak akibat patah kaki kerana kemalangan. Ibu ini tinggal dalam rumah yang amat menyedihkan. Dahulunya kalau lalu dihadapan rumahnya, penulis menyangka sudah tidak berpenghuni kerana keadaannya yang semak samun tidak terjaga. Satu lagi realiti kehidupan. Walau apapun masalah dalaman yang dihadapi oleh keluarga-keluarga yang dibicarakan ini, kita sebagai warga yang prihatin tidak seharusnya membiarkan ia begitu sahaja tanpa sebarang kepedulian. Dimana perginya kontrak sosial dalam sebuah masyarakat. Apabila PAS turun membantu dan mendedahkan kepincangan sebegini, kami dituduh membuat pembohongan dan menyebar fitnah.
Masih ingat dulu, apabila kami membina semula rumah Mak Teh di felda yang sama, macam-macam cerita memperlekeh usaha kami. Tetapi apabila ia berjaya disiapkan dan diserah secara rasmi oleh Dato Seri Tuan Guru Presiden, masing-masing tutup mulut. Tapi kali ini nampaknya alhamdulillah. Bimbang PAS membina sebuah lagi rumah baru di tempat yang sama, JKKK telah memulakan langkah untuk membaikpulih rumah ibu tunggal ini. Mudah-mudahan mereka berjaya. Kami dari Parti Islam Semalaysia sentiasa menyokong segala usaha murni untuk kebaikkan dan kebajikan ummah walaupun kita berbeza ideologi politik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan