Selasa, Februari 28, 2012

Teater : Menunggu Kata dari Tuhan arahan Dinsman.

Sejak forum Seni dan Islam yang dianjurkan pada Oktober 2011 yang lalu, penulis telah bercita-cita untuk mementaskan teater tersebut di Kulai. Bertitik tolak dari situ, idea untuk mementaskannya tidak pernah luput dari benak pemikiran penulis. Lantas beberapa usaha telah dilakukan untuk mencari venue dan penaja. Khabarnya untuk mempersembahkan satu teater ia boleh saja menelan ribuan ringgit.

Idea ini mula dilontarkan dimana-mana saja penulis memberi ceramah dan kuliah. Tumpuan lebih terarah ke surau yang agak biasa dan mesra. Cadangnya hendak dipentaskan semasa sambutan maulid kerana mahu membawa sedikit perubahan dalam menghayati sirah perjuangan Nabi s.a.w. dan para sahabat. Lagipun teater ini dipetik dari hadith baginda yang berkisar kisah bagaimana seorang sahabat yang bernama Kaab bin Malik yang tertinggal untuk berjihad bersama Rasulullah s.a.w. di medan Tabuk. Penulis merasakan ada signifikannya. Lagipun dah lama masyarakat Melayu di hidangkan dengan ceramah semasa sambutan maulid, apa salahnya dibuat sedikit kelainan.

Alhamdulillah; ada surau yang menyahut idea penulis dan bersedia untuk merealisasikannya. Maka bermulalah episod awal penganjurannya dengan berhubung dengan Sdr. Dinsman dari sudut tarikh dan persiapannya. Watak utama yang dicadangkan ialah Sdr. Bob Lokman sebagai meneruskan kesinambungan jemputan Dinsman kepada Bob sewaktu forum dahulu.

Komunikasi menerusi telefon semakin rancak. Maklumlah program yang bakal dianjur merupakan sesuatu yang baru di kalangan masyarakat Melayu Islam di Kulai. Disamping itu pencarian dana juga giat dijalankan oleh AJK surau yang terbabit. Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar sehinggalah pertemuan rasmi diadakan di rumah Bob Lokman pada 12 Feb 2012 di Sg. Buloh sebagai tanda jadi.

Sambutan Maulid ini tidak habis dengan teater sahaja. Jalan ceritanya di forumkan bagi mengupas dengan lebih mendalam bagaimana sahabat ini merasa kesal yang teramat sangat kerana tertinggal berjihad bersama Nabi s.a.w. akibat terpesona dengan dunia. Beberapa ahli panel telah diundang bagi membincangkan topik ini. Antaranya ialah Al-Fadhil Ust Ahmad Fazdli Shaari (Pensyarah Kolej Ismail Petra, Kota Bharu), Al-Fadhil Ust Abd. Razak Ariffin (YDP ABIM Johor) disamping penteater itu sendiri iaitu Sdr Dinsman, Bob Lokman dan Sani Sudin.

Sehari dua sebelum sambutan berlangsung, pihak AJK surau mula digemparkan dengan sms dan panggilan telefon dari pihak-pihak yang kononnya berkuasa dibidang agama. Macam-macam cercita yang ditimbulkan bagi menghalang program diadakan. Penulis mengucapkan tahniah kepada AJK surau berkenaan kerana tidak tunduk kepada sebarang ugutan yang diterima. Hebatnya mereka ini hingga tergamak meneruskan usaha menghalang sehinggalah ke malam sambutan itu jalankan.

Halangan dan kekangan ini membuatkan penulis menyorot kembali bagaimana sirah perjuangan Rasulullah s.a.w. dalam menyampaikan dakwah baginda yang sentiasa cuba di halang oleh puak-puak Abu Jahal dan Abu Lahab. Rupa-rupanya spesis ini tidak luput, bahkan penulis berkeyakinan spesis seumpama ini akan terus kekal sehingga hari kiamat bagi menghalang usaha dakwah dilakukan. Mudah-mudahan Allah swt memberi mereka petunjuk dan hidayahNya sepertimana Abu Suffian.

Akhirnya sepertimana yang dirancangkan, Allah mengizinkan teater ini dipersembahan dengan jayanya disebalik segala macam usaha merencatkannya. Hadirin terpukau dengan seni lakon dan gesekkan viola disamping sinaran cahaya yang memberi impak kepada apa yang dipersembahkan. Walaupun agak asing dengan seni teater tetapi mereka yang memahami jalan ceritanya menyatakan kepuasan dalam menghayati sirah perjuangan baginda Rasulullah s.a.w. dan para sahabat. Apatah lagi cerita itu telah dikupas dengan begitu baik oleh para panelis.

Penulis akui, memang sukar untuk membawa suatu yang diluar kebiasaan. Tetapi penulis optimis, kelainan ini mampu mencorak perubahan dimasa akan datang. Kalau Rasulullah s.a.w. terpaksa berhadapan dengan segala macam tribulasi akibat mengajak bangsanya menyembah Allah swt daripada menyembah berhala, mana mungkin kita sebagai insan biasa dibiarkan Allah tanpa diuji.

Mudah-mudahan usaha kecil ini mendapat keredhaan dari pada Tuhan Semesta Alam. Insya'allah.



Bicara awal oleh Bob Lokman dan gesekkan viola oleh Sani Sudin.


Dialog dan gesekkan viola yang memukau hadirin.


Dunia terasa sempit apabila dipulaukan oleh Nabi dan para sahabat.


Menunggu kata dari tuhan.


Ucapan syukur yang tidak terhingga apabila taubatnya diterima Allah swt.


Panelis berkomentar sekitar teater yang dipersembahkan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan