Khamis, Mei 12, 2011

Hukum Wasiat.

MAKNA WASIAT.
Dari segi bahasa :
Wasiat bermaksud sambung.
Dari segi syarak :
Menurut syarak wasiat ialah menyedekahkan hak milik harta yang dilaksanakan selepas kematian. Ini bererti penerima wasiat akan menerima harta yang diwasiatkan oleh pewasiat selepas kematiannya.

Pernyataan tentang wasiat ini telah dirakamkan didalam kitab suci al-Quran menerusi firman Allah yang bermaksud :
"Kamu diwajibkan apabila seseorang dari kamu hampir mati, jika ia ada meninggalkan harta (hendaklah ia) membuat wasiat untuk ibu-bapa dan kaum kerabat dengan cara yang baik (menurut peraturan agama), sebagai suatu kewajipan atas orang-orang yang bertakwa".
(Surah al-Baqarah : 180)

FirmanNya lagi yang bermaksud :
"(Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat oleh simati dan sesudah dibayarkan hutangnya."
(Surah an-Nisa' : 11)

Seterusnya :
"Wahai orang yang beriman! Apabila salah seorang diantara kamu hampir mati, sedang dia akan berwasiat, maka hendaklah wasiatnya itu disaksikan oleh dua orang yang adil antara kamu."
(Surah al-Maidah : 106)

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud :
"Seorang Muslim yang mempunyai sesuatu yang boleh diwasiatkan tidak sepatutnya tidur selama dua malam berturut-turut melainkan dia menulis wasiatnya di sisinya."

Antara hukum-hukum yang berkaitan dengan wasiat adalah seperti berikut :

1. WAJIB.

Hukum wasiat akan menjadi wajib sekiranya terdapat tanggungjawab syar'i yang perlu dilaksanakan kepada Allah swt seperti zakat dan haji dan seseorang itu bimbang sekiranya dia tidak mewasiatkan hartanya itu ia akan kehabisan.

2. HARAM.

Hukun wasiat akan menjadi haram sekiranya dia mewasiatkan benda-benda yang haram seperti arak. Selain itu juga, mewasiatkan perkara-perkara yang bertujuan menyusahkan waris-waris dan menghalang mereka daripada menerima bahagian yang ditetapkan oleh syarak, hukumnya juga adalah haram.

3. HARUS.

Wasiat akan menjadi harus apabila ianya ditujukan kepada rakan-rakan atau orang kaya (mereka ini tidak tergolong daripada golongan orang yang berilmu dan soleh) dengan niat untuk mengeratkan hubungan silaturrahim dengan mereka.

4. MAKRUH.

Wasiat akan menjadi makruh sekiranya pewasiat ialah seorang yang kurang berada dan penerima wasiat merupakan mereka yang miskin dan amat memerlukan harta. Selain itu juga, wasiat akan menjadi makruh sekiranya diwasiatkan kepada orang yang fasiq dan berkemungkinan besar akan melakukan kejahatan dengan menggunakan harta yang diwasiatkan kepadanya.

HIKMAH WASIAT.

  1. Pewasiat akan mendapat ganjaran yang besar daripada Allah swt.
  2. Wasiat dapat menyumbang kepada kepentingan masyarakat antaranya pembinaan hospital, masjid, sekolah, perpustakaan dan sebagainya.
  3. Wasiat merupakan satu sistem sosial dan ekonomi dalam Islam.

Petikan buku : Indahnya Hidup Bersyariaat oleh Dato' Ismail Kamus.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan