Rabu, Mei 11, 2011

Hari Isnin malam yang lepas, penulis dan beberapa orang sahabat telah berkunjung ke Felda Bukit Permai. Lama benar dah tak ke sana. Kadang-kadang terasa bersalah pula kerana hanya menziarahi mereka bila ada pilihanraya saja.

Kunjungan kali ini bertujuan bagi bertanya khabar dan mengetahui sedikit sebanyak suasana politik dikalangan peneroka yang sedang menikmati kenaikkan harga komoditi seperti getah dan kelapa sawit. Pendapatan lumayan biasanya akan membuatkan peneroka merasa selesa dengan sang pemerintah. Kedurjanaan mereka akan segera tertutup dengan pendapatan yang tinggi. Pemerintah akan terus disanjung dan apa jua yang dihidangkan walaupun buruk akan dianggap benar oleh mereka. Kelompok penyokong tegar ini akan terus dimanipulasikan oleh sang pemerintah meskipun dengan fitnah yang jahat. Itulah persepsi yang berlegar di benak penulis sebelum tiba di Felda berkenaan.

Sangkaan itu jelas meleset apabila bersembang dengan beberapa orang sahabat disana. Semangat mereka untuk menukar kerajaan khususnya dari kalangan anak muda amat membara. Amarah ini seandainya bijak dieksploitasikan, bakal membawa perubahan yang drastik. Itu baru peringkat mukaddimahnya, makanan dan minuman yang dipesan belum sampai lagi. Orang kata sembang mula, pembuka bicara.

Sembang diteruskan dengan ayat-ayat provokasi tentang kenaikkan harga getah dan keselesaan hidup hasil daripada pendapatan yang tinggi. Provokasi ini jelas mengena apabila respon mereka amat positif. "Itu emak ayah kami punya, kami tak dapat apa pun" sahutan pertama mula kedengaran. " Kami yang duduk di Felda ni, yang kerja dikilang, kerja sendiri dan sebagainya, masih macam tu juga. Makin susah ada." "Emak ayah kami bolehla..mereka dah takde tangunggan, dapat duit tak tahu nak buat apa" suasana mula bertukar. "barang semakin naik tapi gaji tak naik-naik juga" sungutan yang sering kedengaran dimana-mana.

Cadangan untuk membawa Sdr Mazlan Aliman untuk bersembang dengan mereka disambut baik. Tempat akan mereka uruskan. Khabarnya ramai dikalangan generasi kedua peneroka dalam senyap-senyap kini tidak mahu menyokong sang pemerintah lagi. Tuan kedai tempat kami bersembang tu pun dimaklumkan kini disebelah kami. Cuma mereka tak mahu kelihatan dan mahu kekal berselindung.

Pertemuan singkat pada malam tersebut telah menghasilkan beberapa gerak kerja yang disusun. Penulis memaklumkan kepada mereka agar bersiap siaga untuk menerima program yang diatur. Dalam waktu terdekat ini, tenaga muda Felda Bukit Permai telah bersetuju untuk menerima gerak- kerja yang telahpun kami susun untuk mereka. Bagi bulan Mei ini dua program telah diputuskan iaitu pada 17 Mei dan 29 Mei 2011 akan datang.

Kami akan berkunjung kesana untuk bertemu masyarakat pada dua tarikh tersebut. Kita akan jumpa disana......


Tiada ulasan:

Catat Ulasan