Isnin, Januari 17, 2011

Jamuan PKR Kulai.



Pada 14 Januari 2011 yang lalu, penulis telah diundang ke satu majlis makan malam anjuran PKR Cabang Kulai di sebuah restoran di Bandar Kulai. Tetamu jemputan yang hadir pada malam itu ialah :
  1. YB Sdr Azmin Ali (Timbalan Presiden)
  2. YB Nurul Izzah Anwar (Naib Presiden)
  3. YB Tian Chua (Naib Presiden)
  4. Dato' Chua Jui Meng (Naib Presiden merangkap Pengerusi PKR Johor)
  5. YB Jenice Lee ( ADUN Teratai /DAP)
  6. YB K. Kesevan (ADUN Hutan Melintang /PKR)
  7. YB Ong Kow Meng (ADUN Senai /DAP)
  8. En Ng Peck Siong (Ketua DAP Kulai) dan
  9. Penulis mewakili PAS Kawasan Kulai.
Menurut catatan Sinar Harian seramai 800 orang telah hadir di majlis tersebut tetapi menurut kiraan penulis kehadiran menjangkau 1000 orang. Sesuatu yang diluar jangkaan. 80% kehadiran adalah daripada masyarakat Cina sehinggakan malam itu boleh dikatakan sebagai jamuan makan malam masyarakat Tionghua.

Ini menunjukkan kepada kita bahwa masyarakat Cina sangat konsisten kearah menukar kerajaan yang ada kepada kerajaan yang lebih telus dan adil. Sokongan mereka jelas kelihatan dengan sorakan dan tepukan setiap kali penceramah mendedahkan kepincangan kerajaan hampir disegenap penjuru. Penulis berasa benar-benar teruja dengan sokongan yang ditunjukkan dan mengimpikan sokongan yang sama daripada masyarakat Melayu. Seandainya orang Melayu dapat berubah seperti yang ditunjukkan oleh kaum Cina, Johor akan melalui proses perubahan besar dalam pilihanraya yang akan datang.

Penulis yakin kemenangan ini tidak mustahil untuk dicapai berdasarkan petunjuk yang ada. Ketika berjalan meninggalkan dewan makan setelah program tamat, penulis telah dihampiri oleh seorang anak muda berbangsa Cina yang menyatakan bahwaa kini masyarakat Cina sudah tidak takut lagi untuk mengundi PAS. Bahkan mereka kini benar-benar bersedia untuk mengundi Pakatan Rakyat. Anak muda ini meminta pihak pimpinan PAS supaya kerap turun untuk bertemu mereka bagi menjalin hubungan.

Senario ini sememangnya sudah disedari oleh pimpinan PAS disegenap peringkat bahkan PAS beranggapan perkembangan sokongan masyarakat bukan Islam terhadap PAS amat memberangsangkan. Apa yang merungsingkan kami ialah sokongan daripada orang Melayu. Tumpuan gerak kerja PAS sekarang ialah memberi penerangan yang menyeluruh kepada mereka bahwa PAS bersedia bahkan mampu menggantikan UMNO dalam memperjuangkan nasib mereka. Inilah yang menjadi tumpuan PAS dan perkara ini sedang direalisasikan di PRK DUN Tenang yang akan berlangsung sedikit masa lagi.

Seandainya perkara ini menjadi kenyataan, maka Pakatan Rakyat sudah boleh membuat persiapan awal untuk mentadbir Negeri Johor. Dengan gerak kerja yang tersusun dan pendekatan mesra bagi menyantuni hati budi Melayu, masyarakat yang dahulunya amat jauh dengan PAS kini sudah boleh didampingi. Penulis yang turun sendiri ke Felda Cempelak Barat dapat menyaksikan perubahan ini sedang berlaku. Cemuhan dan herdikan kepada petugas PAS terutamanya Muslimat, sudah tidak berlaku lagi. Bahkan mereka di layan dengan baik walaupun hasrat untuk tidak berubah dizahirkan dengan jelas. Bagi generasi muda, hampir 70% daripada mereka sudah menyatakan sokongan kepada Pakatan Rakyat. Inilah senarionya sekarang. UMNO sudah tidak boleh mendabik dada dengan menyatakan Felda ialah kubu kuat mereka. Kehadiran ANAK benar-benar mampu merubah lanskap politik masyarakat Felda yang selama ini diketahui amat condong kearah UMNO/BN.

Semoga kerja buat yang dilakukan ini dibalas oleh Allah swt dengan kemenangan di DUN Tenang. Insya'allah.

ALLAHUAKBAR!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan