Rabu, Disember 08, 2010

Islam Dagang Kali Kedua.

Rasulullah s.a.w. bersabda ; "Islam telah bermula dengan dagang dan ia akan kembali dagang, maka berbahagialah mereka bersama Islam pada waktu ia dagang." Hadis riwayat: Muslim.

Islam dan dakwahnya bermula dalam keadaan dagang. Islam sewaktu mula didatangkan di Makkah al-Mukarammah, asing dan tidak dikenali oleh masyarakat. Oleh kerana Islam 'ghurbah' (dagang/ganjl) dan unik, maka Islam dibenci dan dimusuhi. Pembawa dan pendukung-pendukungnya dizalimi dan dihadapkan dengan berbagai menhnah dan tribulasi.

Akibatnya, ada yang kehilangan penglihatan, ada yang gugur syahid, yang terpaksa berhijrah ke Habsyah dan akhirnya pendukung-pendukung Islam berhijrah ke Madinah demi mencari keredhaan Allah SWT dan merealisasikan Islam didalam wajahnya yang murni sebagai ad-Din.

Hari ini telah dinyatakan oleh Allah SWT dalam firmanNya yang bermaksud : "Bagi orang-orang fakir yang berhijrah dari kampung halaman dan daripada harta benda mereka kerana mencari kurnia daripada Allah SWT dan RasulNya, mereka itulah orang-orang yang benar." (al-Hasyr ayat 8).Italic
Faktor Dagang Pertama.

Terdapat pelbagai faktor Islam dagang kali pertama yang dikemukakan oleh pihak tertentu seperti faktor politik, sosial, ekonomi dsb. Namun disana terdapat satu faktor terbesar yang menyebabkan Islam dagang iaitu faktor akidah Islam yang berlawanan dengan jahiliyah atau kufur.

Islam mengajak kepada akidah yang sahih, serta realiti hidup salimah, syamilah dan kamilah yang mana bertentangan dengan kekufuran. Islam dan kekufuran sentiasa dalam keadaan 'harb' (peperangan). Kekufuran tidak dapat menerima Rububiyah dan Uluhiyah Allah SWT. Kekufuran tidak menerima hukum-hukum dan undang-undang Allah SWT berjalan dan berkuasa di bumi.

Firman Allah SWT yang bermaksud : "Tiada kekuasaan memerintah itu melainkan Allah sahaja. Dia memerintah supaya kamu jangan menyembah selain daripadaNya, kerana yang demikian itu adalah Din yang lurus." (Surah Yusuf ayat 40).

Inilah faktor terbesar. Faktor ini wujud disetiap zaman, hatta pada zaman sekarang walaupun tersembunyi disebalik faktor-faktor lain. Dengan ketentuan Allah SWt dan pertolonganNya serta berkat usaha, pengorbanan dan jihad Rasulullah s.a.w. bersama-sama para sahabat r.a. yang sabar dan ikhlas, maka 'ghurbah' (dagang) tersebut telah hilang. Akhirnya petunjuk dan rahmat Allah SWT diterima, dihayati dan didaulatkan sepenuhnya di Madinah al-Munawarah.

Pengorbanan Rasulullah s.a.w. dan sahabat-sahabat baginda telah diterima dan diredhai Allah SWT. Mereka adalah contoh ikutan bagi kerja-kerja dakwah untuk mendaulatkan Din Allah. Allah SWT telah mengabdikan pengorbanan mereka dalam firman Nya yang bermaksud : "Golongan terdahulu dan awal dikalangan Muhajirin dan Ansar serta orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah redha kepada mereka dan mereka pun redha kepada Allah dan di bawahnya mengalir sungai-sungai, mereka kekal didalamnya selama-lama. Itulah kemenangan yang besar." (Surah at-Taubah ayat 100).

Ghurbah at-Thaniyah (dagang kedua).

Generasi pertama iaitu generasi al-Quran yang dididik oleh Rasulullah s.a.w. telah berlalu. Kerja-kerja mereka telah selesai. Kelemahan umat Islam dan kelemahan pimpinan dalam generasi selepas mereka telah berlaku. Daulah Islamiyah telah jatuh satu persatu dan terakhir ialah kejatuhan Daulah Uthmaniyah di Turki.

Serentak dengan itu pengaruh sekularisme yang ditaja oleh penjajah telah bertapak, menular dan berkembang pesat diseluruh negara yang diperintah umat Islam. Pengaruh itu terus berakar umbi sehingga kini di negara-negara Islam tanpa kecuali. Kini realiti menunggu rijal-rijal untuk menghilangkan 'guhrbah at-thaniyah'.

Benarlah sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud : "Islam bermula dengan dagang, ia akan kembali dagang. Beruntunglah orang yang berpegang dengan Islam ketika ia dagang." HR : Muslim.

Dalam sabda baginda yang lain, yang bermaksud :
"Beruntung sesiapa yang beriman denganku walaupun tidak melihatku (bersamaku)".


Tiada ulasan:

Catat Ulasan