Rabu, Ogos 25, 2010

Tazkirah Ramadhan - Mengapa Amal Ibadah Kita Di Tolak Oleh Allah swt.

Kisah Muaz bin Jabbal menangis dengan hibanya setelah mendengar nasihat Nabi s.a.w. bilamana beliau menceritakan amalan-amalan yang dibawa oleh malaikat tidak dapat diterimanya kerana sikap dan perbuatan hambanya yang tidak diperkenankan.

Pada suatu hari seorang lelaki bertanya kepada Muaz bin Jabbal : 'Apakah hadis-hadis yang tuan pernah dengar daripada Rasulullah s.a.w.?' Muaz pun terdiam sebentar, kemudian beliau pun dengan tiba-tiba sahaja menangis dengan hibanya seolah-olah tidak akan berhenti lagi. Setelah kemudian Muaz mulai reda dari tangisannya dan berdiam seketika, lalu Muaz pun bercerita.

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda :"Mudah-mudahan akan menjadi kebaikkan kiranya bagimu jika engkau selalu ingat dan sentiasa awas." Demikian sabda baginda. Lalu Muaz pun meneruskan kisahnya lagi. "Allah telah menjadikan tujuh malaikat, sebelum Allah ,menjadikan tujuh petala langit dan tujuh petala bumi. Pada setiap lapisan langit ada pintunya. Ditugaskan pada setiap pintu langit seseorang malaikat yang begitu besar tersergam indah dan hebat.

PENGUMPAT.

Naik malaikat kelangit pertama membawa amalan hamba yang dilakukan pagi dan petang, siang dan malam. Bersinar-sinar cahaya amalannya seperti matahari, lalu malaikat penjaga langit pertama berkata :'Bawa kembali amalan orang itu dan hempaskan kemukanya! Aku- Tuhan tempatkan disini sebagai peneliti dosa orang-orang mengumpat, supaya tidak membiarkan amalan orang mengumpat naik melintasi aku keatas.'

BERMEGAH DENGAN DUNIA.

Datang pula malaikat lainnya membawa amalan salih hamba Allah yang sangat bersinar-sinar amalannya itu. Apabila sampai ke langit kedua, maka malaikat penjaga pintu langit itu pun berkata : 'Berhenti! ambil amalan itu dan pukulkan kemuka orang yang empunya amalan itu kerana bersarang dengan kemegahan dunia, tidak boleh melintasi aku kerana dia bermegah-megah dengan amalannya kepada manusia, mencari keredhaan manusia (kerana pangkat, jawatan, wang, nama, pujian dsb).'

TAKBUR.

Naik pula malaikat yang lain lagi, membawa amalan hamba Allah yang bercahaya dan cemerlang dari amalan sedekah, puasa, sembahyang sehingga menakjubkan malaikat. Apabila tiba di langit ketiga, ditahan oleh malaikat penunggu pinta langit, katanya : 'Berhenti! ambil amalan itu dan pukulkan kemuka tuannya! Aku malaikat pengawas sifat-sifat takbur, tidak membenarkan melintasi aku dengan perintah Allah swt, kerana amalan ibadahnya mengandungi takbur dan selalu takbur didalam majlis ramai.'

UJUB.

Naik lagi malaikat yang lain ke langit keempat membawa amalan hamba Allah yang bersinar-sinar cahayanya. Sungguh hebat, berdengung-degung bunyinya amalan itu yang berisi tasbih, sembahyang, haji dan umrah tetapi tidak dibenarkan melintasinya. Lalu berkata malaikat penjaga pintu langit itu : ' Berhenti disini! tidak boleh lewat dari sini, aku malaikat penjaga pintu langit keempat diperintahkan Allah agar amalannya itu dipukulkan kebelakangnya dan perutnya. Kerana aku malaikat peneliti sifat ujub. Dia sangat ujub dengan amalannya (merasa bangga kerana banyak amalan hingga menghairankan dirinya).'

HASAD DENGKI.

Naik lagi malaikat lainnya membawa amalan hamba Allah. Apabila tiba dipintu langit yang kelima dilihat oleh malaikat penjaga pintu langit kelima amalan yang dibawa seperti berarak pengantin perempuan dengan hebatnya, lalu malaikat penjaga langit itu berkata : 'Berhenti! pukulkan amalan itu kemuka tuannya, ketengkuknya dan kebahunya. Aku malaikat pengawas sifat-sifat dengki manusia, tidak akan membenarkan orang yang hasad dengki amalannya melewati aku dilangit kelima ini.'

RAHIM.

Malaikat yang lain pula membawa naik amalan hamba Allah menghadap Tuhan, lalu ditahan oleh malaikat penjaga langit keenam : 'Berhenti! ambil amalan itu dan palukan kemuka tuannya kerana dia tidak bersifat rahim sesama manusia. Orang dipimpa bala' dia hanya suka sahaja melihatnya. Aku malaikat rahmat sentiasa meneliti sifat rahim manusia. Allah perintah kepada aku supaya jangan membiarkan amalan hamba yang tidak bersifat rahim naik keatas.'

RIYA'.

Naik pula malaikat lainnya hingga ke langit ke tujuh, membawa amalan hamba Allah yang indah cemerlang besinar-sinar seperti matahari diiringi oleh tiga ribu malaikat, hendak melewati langit ketujuh. Maka ditahan oleh malaikat pengawal langit itu : 'Berhenti! palukan amalan itu kemukanya dan segala anggota badannya dan tutupkan pintu hatinya dengan amalannya itu. Aku diperintahkan oleh Allah swt melarang orang yang begini amalannya melewati dari langit ketujuh. Kerana amalannya menghendaki pujian dari ahli-ahli ilmu (ulama' & fuqaha'), supaya dia disebut termasuk kedalam golongan ulama' dan fuqaha', supaya mashyur namanya (amalan riya:- memperlihat-lihatkan, menunjuk-nunjuk kepada manusia, mencari pujian dari amalannya itu) - kerana amalannya itu tidak ikhlas kerana Allah - riya' kepada manusia - Allah tidak melihat amalan orang yang riya'.

TIDAK BENAR-BENAR IKHLAS.

Naik pula malaikat lain lagi dengan membawa amalan hamba Allah yang salih, dari sembahyang, zakat, haji dan umrah, salihnya, waraknya, baik akhlaknya, berdiam diri, sentiasa dalam zikirullah. Diiringi oleh segenap petala langit kerana kebesaran dan kehebatannya amalannya itu sehingga dapat melintasi segenap tujuh lapisan pintu langit dan menembusi segala hijab yang amat jauh diatas dari langit ketujuh terus menuju kehadrat Allah swt. Lalu mereka sekeliannya berhenti dihadapan Allah swt menjadi saksi atas amalan orang yang salih itu kerana ikhlasnya. Allah berfirman : "Kamu semua penjaga amalan hamba-hamba Ku sedangkan Aku pengawas atas dirimu. Sebenarnya amalannya bukan kerana keredhaan Ku, hanya lain yang dicarinya. Maka Aku laknatkan keatasnya dan semua malaikat pun turut melaknatkan pula bersama Allah dan melaknatkan pula oleh tujuh petala langit dan tujuh bumi segala isinya."

Kemudian Nabi s.a.w. terus bersabda lagi memberi pengajaran kepadanya : " Ikutlah akan daku meskipun ada kekurangan dalam amalmu."

Hai Muaz!

"Peliharalah lidahmu daripada kejahatan pada saudara-saudaramu dari kalangan para penanggung al-Quran (saudara-saudaramu muslim yang beramal dengan hukum al-Quran "Islam") dan tanggungkan dosa-dosamu itu atas dirimu!. Jangan tanggungkan dosa-dosamu itu atas mereka dan jangan engkau sucikan dirimu dengan mencelakan mereka. Jangan meninggikan dirimu atas mereka. Jangan masukkan amal dunia dalam amal akhirat (Ertinya; jangan engkau qasadkan amal akhirat itu kerana dunia untuk mendapatkan matabenda dunia dan mencari laba dunia) dan jangan menilik-nilik pada amalmu. Jangan engkau bertakbur (membesarkan dirimu dengan perbuatan atau perkataan atau dengan air mukamu atau dengan gerak-gerimu) didalam majlis supaya manusia takut akan kejahatan perangaimu dan jangan engkau berbisik-bisik dengan seseorang padahal disampingmu ada orang lain. Jangan engkau membesar-besarkan dirimu atas manusia supaya tiada putus dari dirimu kebajikan dunia. Jangan engkau menghinakan dan mencaci yang menjatuhkan keaiban manusia (jangan mengumpat, jangan membuat fitnah, jangan menjatuhkan air muka / aib orang). Kalau tidak nescaya akan dirobik-robik dan dikoyak-koyak akan badan engkau oleh anjing-anjing buas serta ganas didalam neraka pada hari kiamat."

Petikan Kitab : Fadhilat Rejab, Sya'ban, Ramadhan.
Oleh : Budiman Radhi.


1 ulasan: