Khamis, Ogos 27, 2009

Allah mentarbiah RasulNya melalui semut.


Al-Quran merakamkan empat orang yang diberi kuasa bergelar raja yang menjadi panduan hidup manusia di dunia. Dua daripadanya beriman kepada Allah manakala dua lagi mengingkari serta kufur kepada Allah swt. Yang beriman ialah Nabi Allah Sulaiman a.s. dan Nabi Allah Yusuf a.s. dan yang kufur pula ialah Firaun dan Namrud laknatullah. Firaun berhadapan dengan Nabi Musa a.s. manakala Namrud pula berhadapan dengan Nabi Ibrahim a.s.

Tulisan ini akan menyingkap bagaimana kehebatan Allah mentarbiah Nabi Nya yang diberi kuasa untuk menjadi raja bukan sahaja kepada manusia tetapi diberi mukjizat sehingga mampu mentadbir urus jin dan juga binatang hanya melalui seekur serangga sekecil semut.

Al-Quran mengisahkan, ketika Nabi Sulaiman berserta bala tenteranya sedang dengan tertib beratur dalam satu barisan melewati suatu lembah maka kedengaran seekur semut berkata memberi arahan "Hai semut-semut semua, masuklah sekelian kamu ke dalam sarang-sarangmu, agar kamu tidak dipijak oleh Sulaiman dan bala tenteranya dari kalangan manusia, sedangkan mereka tidak menyedarinya". Ketika itu Nabi Sulaiman a.s. terdengar raja semut berdoa kepada Allah swt dengan lafaz :

"Wahai Tuhanku, berilah aku ilham untuk tetap mensyukuri akan nikmat Mu yang Engkau berikan kepadaku dan kepada kedua ibu-bapaku, dan untuk tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai, dan masukkanlah aku dengan rahmat Mu kedalam golongan hamba-hamba Mu yang soleh" (Surah an-Naml : 19)

Sulaiman a.s. tersenyum mendengar bicara semut lalu menadah tangan berdoa dengan lafaz yang sama untuk mensyukuri kurniaan yang diberi Allah kepadanya. Dalam konteks ayat ini Nabi Sulaiman a.s. mensyukuri dua perkara :
  1. Baginda diberi pengetahuan yang tinggi sehingga mampu berkomunikasi dengan burung dan haiwan-haiwan lainnya.
  2. Dilahirkan dari keluarga yang berpegang teguh dengan ajaran Allah dan beriman kepada Nya disamping dikurniakan kerajaan dan kekuasaan yang besar yang diwarisi daripada ayahandanya Nabi Daud a.s.
Ditengah-tengah ketinggian ilmunya, kebesaran singgahsana dan kekuasaannya, Sulaiman tidak lupa diri, bahkan memohon agar tidak terjerumus kedalam kekufuran nikmat yang sangat dilaknat hingga akhir hayatnya. Inilah doa munajat Nabi Allah Sulaiman a.s. ketika mendengar raja semut memberi arahan kepada anak buahnya.

Selain Nabi Sulaiman a.s. rasanya tidak kedapatan seorang raja pun yang mampu menandingi kehebatan yang diberi Allah kepadanya. Sekiranya Sulaiman yang begitu tinggi ilmu dan kekuasaannya mampu tunduk dan belajar daripada seekur semut, kenapa manusia hari ini yang tidak sampai kemana kekuasaan dan kehebatannya, begitu egois sehingga kelihatan tidak layak menerima teguran dan nasihat daripada masyarakat bawahan.

Manusia jarang sekali bersyukur diatas nikmat yang Allah kurniakan kepada mereka. Maka itu Allah swt merakamkan menerusi al-Quran melalui firman Nya dalam ayat diatas bagi menyedarkan manusia supaya sentiasa mensyukuri nikmat yang telah dianugerahkan disamping mendidik agar tidak lupa diri dengan pangkat dan kedudukan yang bersifat sementara. Bagi mereka yang menjadikan al-Quran sebagai pedoman hidup, maka mereka akan terdidik melalui ayat-ayat Allah dan terus bermunajat agar menjadi insan yang soleh yang mematuhi setiap perintah Nya seperti yang digambarkan dalam ayat ke19 surah an-Naml ini.

Inilah proses pentarbiahan Allah keatas hamba-hamba Nya dengan menjadikan alam ini keseluruhannya sebagai pedoman dan pengajaran. Proses ini akan berterusan sehingga dunia ini sampai ke penhujungnya. Setiap perubahan yang berlaku kepada alam ini merupakan peringatan Allah kepada mereka yang berfikir. Orang-orang yang beriman akan sentiasa memandang perubahan yang berlaku sebagai satu amanat yang disampaikan Allah agar mereka mensyukuri segala nikmat yang diberi disamping memperlengkapkan diri dengan amalan-amalan soleh yang diredhai Nya.

Nabi s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud :
"Apabila Allah swt ingin berbuat kebaikan kepada seseorang, Dia akan memberinya pemahaman terhadap agama (al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad s.a.w.) Aku hanyalah orang yang menyampaikan tetapi Allah 'Azza wa Jalla yang memberikan pahalanya. (Dan ingatlah) bahwa umat ini (Muslim, para pengikut tauhid) akan tetap mengikuti perintah-perintah Allah (mengikuti al-Quran dan sunnah Nabi s.a.w. dan mereka tidak akan pernah dikalahkan orang-orang yang menentang mereka hingga datangnya hari kiamat)".
HR : Imam Bukhari (1:72-S.A.)

Rasulullah s.a.w. sendiri menekankan betapa pentingnya umat Islam perlu memahami al-Quran dan sunnahnya sehingga baginda menjamin mereka-mereka ini tidak mampu ditewaskan sehingga datang hari kiamat. Kalau semut berdoa kepada Allah agar diberi hidayah untuk bersyukur dan tergolong dalam hamba-hamba yang soleh, maka sudah semestinya manusia berlebih-lebih lagi. Oleh itu marilah kita sentiasa memanjatkan doa kehadrat Allah swt semoga segala kerja buat kita mendapat keredhaan Nya. AMIN!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan