Semasa menulis artikel ini penulis sedang bermusafir kerana menjalankan tugas rasmi di Perlis. Masa terluang yang ada dimenafaatkan dengan menatap buku karangan Dr Daniel Zainal Abidin yang bertajuk Minda Muslim Super. Antara yang menarik minat penulis untuk menukilkan apa yang terkandung dalam penulisan beliau ialah mengenai pengurusan masa.
Dibawah tajuk 'Ibadah Melahirkan Pengurus Masa yang Baik', Dr. Daniel mengulas bahwa Rukun Islam sebenarnya menekankan berkenaan masa. Latihan-latihan yang terdapat didalamnya mampu mendidik umat untuk menjadi pengurus masa yang baik. Sebagai contoh, solat waktu yang diwajibkan keatas setiap mukallaf lima kali sehari semalam juga dikenali dengan sebutan 'solat waktu' kerana ia terikat dengan waktu-waktu yang tertentu. Mereka yang menjaga solat lima waktu perlu peka dengan waktu yang telah ditentukan kerana solat yang dilakukan diluar waktu dengan sengaja dianggap tidak sah. Allah menyatakan dalam Quran yang bermaksud :
"Maka datanglah selepas mereka pengganti (yang keji) yang mensia-siakan solat mereka serta mengikut hawa nafsu, maka kelak mereka menemui kesesatan" (al-Maryam : 59)
Abdullah bin Abas dalam menghuraikan ayat tersebut berkata :"maksud ayat 'mensia-siakan solat' bukanlah meninggalkan solat sama sekali tetapi melewatkan dari waktunya". Imam Said al-Musayyab juga berpendapat yang sama. Beliau menyebut : "mereka yang mendirikan solat zohor dalam waktu asar, solat asar dalam waktu maghrib, solat maghrib dalam waktu isya', solat isya' ditangguhkan sehingga masuk waktu subuh dan menunaikan waktu subuh selepas terbit matahari. Sesiapa yang mati dalam keadaan ini tanpa sempat bertaubat, dia akan dihumban ke dalam lembah yang bernama 'ghay' di dalam neraka dan dihidangkan dengan makanan yang amat jijik".
Begitu juga dengan ibadah-ibadah lain seperti puasa, zakat dan haji yang ditunaikan mengikut waktu-waktu yang ditetapkan. Puasa wajib hanya boleh dilaksanakan apabila tiba bulan ramadhan dan tidak boleh ditunaikan dibulan-bulan yang lain. Sekiranya dilaksanakan juga, maka ia termasuk dalam ibadah sunat. Bahkan ibadah puasa itu sendiri perlu ditunaikan dalam kerangka waktu yang telah ditetapkan. Sekiranya kita bermula lewat dengan sengaja maka puasa itu tidak akan diterima oleh Allah swt. Begitu juga dengan berbuka, sekiranya kita awal walaupun seminit, maka puasa itu dianggap terbatal dan perlu di ganti. Begitulah seterusnya dengan ibadah-ibadah lain yang terkandung didalam Rukun Islam, semuanya ditunaikan didalam waktu-waktu yang ditentukan oleh syara'.
Tetapi kenapa umat Islam yang sepatutnya terdidik untuk menguruskan waktu melalui ibadah-ibadah rutin terutama solat gagal menepatinya. Ironinya, pengurusan masa oleh orang-orang Melayu Islam mendapat jolokan 'janji Melayu' yang seolah-olah telah diterima pakai sebagai satu budaya. Lewat dalam berjanji atau gagal menepati waktu sudah menjadi kebiasaan dan tidak mengapa. 'Biasalah janji Melayu' katanya. Amat menyedihkan lagi apabila ia dilakukan oleh kumpulan-kumpulan yang mengakhirkan setiap program mereka dengan Surah al-Asr.
Gerak kerja Islam adalah satu ibadah dan menjaga waktu juga adalah satu ibadah yang sangat dituntut sehingga ibadah yang dikerjakan diluar waktu tidak dianggap sebagai satu ibadah bahkan ditolak oleh Allah swt. Ahli gerakan Islam tidak seharusnya memandang enteng dalam pengurusan waktu. Seandainya kita gagl mengurus waktu dengan baik, ini bererti ibadah yang telah kita laksanakan selama ini gagal membentuk kita untuk menjadi seorang insan yang menghargai waktu. Betapa banyak waktu yang dibazirkan apabila kita gagal menepati masa, yang membuatkan rakan-rakan lain terpaska terheret sama dalam pembaziran waktu semata-mata kerana menunggu kita yang lewat.
Sebab itu Islam amat menitikberatkan perihal masa. Allah swt bersumpah dengan masa untuk menunjukkan bahwa masa amat berharga. Ibadah-ibadah disusun mengikut masa-masa yang tertentu adalah bertujuan bagi melahirkan umat produktif yang tidak membuang masa dengan melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah. Allah swt menegaskan menerusi firmannya yang bermaksud :
"(Antara sifat orang mukmin yang berjaya) adalah mereka yang berpaling daripada melakukan perkara yang sia-sia". (al-Mukminun : 3)
Sama-samalah kita menghargai masa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan