Baru-baru ini negara dikejutkan lagi dengan berita penderaan kanak-kanak yang sangat trajis. Kali ini mangsanya ialah seorang kanak-kanak yang berusia 3 tahun bernama Syafia Humairah Sahari yang didera hingga mati oleh teman lelaki kepada ibu anak malang ini. Bedah siasat yang dilakukan oleh pihak hospital menunjukkan kematian anak ini amat sadis sekali.
Pagi Ahad lalu (28 Feb 2010) penulis berkesempatan menghadirkan diri dalam kuliah subuh yang disampaikan oleh Al-Fadhil Us. Mohd Kazim Ellias, seorang penceramah bebas dari Perak di Masjid Ar-Rahman, Taman Putri Kulai. Beliau telah menghuraikan firman Allah swt dari surah Al-Lail dari ayat satu hingga sembilan yang antara kandungannya ialah Allah telah bersumpah demi waktu malam dan siang serta bersumpah tentang diriNya yang telah menjadikan manusia daripada kalangan lelaki dan perempuan. Allah menjelaskan dalam ayat ke 4 yang bermaksud :
"Sesungguhnya amal usaha kamu adalah berbagai-bagai keadaannya".
Al-Fadhil Us Kazim dalam menghuraikan ayat ini menyatakan bahwa manusia yang berperangai buruk akan dirujuk kepada perangai haiwan. Contohnya babi. Babi adalah seekur haiwan yang hanya pandai beranak dalam jumlah yang banyak tetapi tidak pandai menjaga anaknya. Babi tidak kenal anaknya sendiri. Manusia yang tidak pandai menjaga anak mereka mempunyai sifat yang menyerupai babi. Tetapi seteruk-teruk babi yang tidak pandai menjaga anak, ia tidak sampai mendera dan membunuh anak sendiri. Ironinya mahluk yang bernama manusia yang dikurniakan akal oleh Allah swt, berperangai lebih teruk daripada haiwan.
Inilah fenomena yang sedang berlaku di negara kita bahkan berlaku juga dinegara-negara lain yang sewaktu dengannya. Apabila manusia hilang nilai kemanusiaannya, maka jadilah ia seperti haiwan bahkan lebih hina daripada itu. Ibnu Khaldun dalam Mukaddimah menukilkan ' perasaan sukacita dan sukaria merupakan watak yang ditimbulkan oleh pengembangan resapan roh kebinatangan'. Sebab itu kita melihat, apabila manusia yang terlalu seronok berpesta dan bersukaria sehingga gagal mengawal perasaan, akan terjerumus kelembah kebinasaan. Perilaku mereka akan berubah seperti haiwan akibat daripada resapan roh kebinatangan. Kesannya, maka berlakulah seperti apa yang kita lihat sekarang ini dengan pelbagai gejala yang tidak sihat dan menjijikan.
Kita kini sedang berada dalam bulan di mana Junjungan Nabi Besar Muhammad s.a.w. dilahirkan. Setiap masjid dan surau akan mengadakan majlis sambutan Maulidurasul, sehingga ia dianggap sebagai satu acara wajib yang mesti ditunaikan setiap tahun. Pernah kita terfikir, sejauh mana penghayatan sirah Rasulullah s.a.w. dalam memartabatkan Islam di seantero dunia yang telah kita laksanakan? Banyak mana sumbangan kita dalam menyambung tugasan yang telah ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w. serta para sahabat baginda? Cukupkah sekadar menganjurkan sambutan maulid, berarak sambil berselawat dan menjemput penceramah undangan, maka kita tergolong sebagai orang-orang yang telah melaksanakan perintah Nabi s.a.w.?
Sekiranya kita merasakan memadai dengan apa yang telah kita buat, maka kenapa manusia hari ini semakin hari semakin jelek akhlaknya? Dimana letaknya cogankata 'Rasulullah Qudwah Sepanjang Zaman' dipersada kehidupan manusia hari ini?
Apa yang dapat disaksikan diketika dan saat ini ialah, sogokan minda dalam bentuk hiburan gagal disaingi oleh teguran dan nasihat berbentuk agama. Program agama yang dianjurkan tidak memadai jika dibandingkan dengan program yang berbentuk hiburan. Tidak ada salahnya untuk berhibur, tetapi sekiranya ia keterlaluan maka kemusnahan tamadun bangsa itu akan menjadi natijahnya. Inilah yang amat digeruni oleh ahli-ahli agama dan ahli masyarakat yang berfikiran agama. Sebab itu gerakan dakwah muktahir ini dilihat sangat mencabar sehingga menyebabkan para dai'e kini terpaksa memikirkan pendekatan yang selari dengan laluan kehidupan manusia terkini. Pelbagai kaedah dan alternatif dicari untuk sampai kepada kumpulan sasar.
Us. Kazim dalam kuliahnya menyeru agar budaya menegur sesama insan ini harus dihidupkan. Sekiranya budaya ini dapat dihidupkan, maka penyakit umat yang sedang melanda ini sedikit sebanyak akan dapat dibendung. Persoalannya : BERANIKAH KITA MENEGUR?
Tepuk dada tanya Iman!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan