Begitulah ungkapan yang keluar dari mulut penulis apabila mendengar berita tentang kemenangan Malaysia mengatasi Laos dan seterusnya melangkahkan kaki ke perlawana akhir Sukan Sea buat sekian lamanya. Bukan nak merendah-rendahkan mutu bolasepak negara tetapi memang dah rendah pun. Semasa era kehebatan Malaysia dipersada bolasepak, seingat penulis Laos tidak tersenarai sebagai saingan Malaysia ketika itu. Bahkan pasukan seperti Thailand, Indonesia, Singapura malahan Jepun mudah diratah oleh anak-anak buah kapten Soh Chin Aun. Saingan negara masa itu ialah Korea Selatan, Iran, Iraq, Kuwait, Australia dan New Zealand.
Peminat menyaksikan bagaimana Hasan Sani yang berpasangan dengan James Wong dibarisan hadapan setelah ketiadaan allahyarham Mokhtar Dahari yang mengalami kecederaan lutut, membenam harapan Korea Selatan untuk ke Sukan Olimpik Moscow di Stadium Merdeka. Ternyata Malaysia memang hebat! Penulis masih ingat, setiap kali kejohanan Pestabola Merdeka berlangsung, penulis akan mendengar siaran langsungnya menerusi radio kerana siaran TV ketika itu amat terhad. Keesukkan harinya kami akan bersembang mengenai perlawanan malam tadinya seolah-olah menonton siaran langsung melalui TV. Masa itu rakyat Malaysia, apabila ada kejohanan bolasepak berlansung, mereka akan demam seketika. Semua bicara akan tertumpu kepada bola. Satu jam sembang pagi akan bercakap pasal bola sambil meneliti akhbar harian.Era kegemilangan itu telah lama berlalu. Pasukan yang tidak menjadi saingan Malaysia sedikit masa dahulu, kini berada di rangking yang lebih baik daripada pasukan negara. Tidak pernah terlintas difikiran apabila melihat pasukan negara dipaksa berhempas pulas apabila bertemu dengan pasukan Vietnam, satu pasukan yang tidak pernah beraksi dipersada bolasepak antarabangsa di masa anak-anak buah Kapten Soh Chin Aun berlegar dipadang. Apatah lagi Laos. Mutu pasukan bolasepak negara jatuh merudum sehingga menjadi bahan tertawa pasukan belasahan anak-anak buah kapten Soh Chin Aun. Tak tahu mana silapnya. Macam-macam dah dibuat oleh FAM. Tukar pemain, tukar jurulatih, tukar pengurus, tukar pengendali dsb pendekata dah tukar habis pun, tidak mendatangkan sebarang peningkatan. Jurulatih dan pakar bolasepak antarabangsa pun dah datang dan berkhidmat di Malaysia, namun mutunya tetap tak berubah. Penulis memang sentiasa negatif apabila pasukan negara beraksi. Berdetik dalam hati dengan kata-kata "Kalah dah tentu, menang belum tahu". Sukar untuk menaruh harapan. Bukan pasal apa, cuma takut frust sebab selalunya memang begitu.
Tetapi kali ini berbeza. Malam tu penulis sempat menyaksikan pasukan negara beraksi sebelum keluar kerana ada mesyuarat. "Jangan jadi orang bodoh malam ni sudahlah" bisik hati. Jaringan awal Malaysia membuatkan penulis terus terpaku di depan TV. Apabila Laos menyamakan kedudukan, penulis terus bangkit sambil berkata "dah agak dah".
Kembali kerumah malam tu agak lewat. Sudah masuk waktu tengah malam. Setelah kaki melangkah masuk, khabar anak memberitahu Malaysia menang 3-1. Penulis hanya melemparkan senyum dan tertawa sinis kerana sesuatu yang sukar untuk diterima. Sekali lagi khabar anak disampaikan untuk tujuan meyakinkan si ayah bahwa kali ini Malaysia benar-benar menang. Itulah bolasepak Malaysia sekarang. Walaupun ia realiti tapi sukar untuk diterima.
Walau apa pun tahniah diucapkan kepada pasukan muda negara kerana berjaya memulihkan imej bolasepak Malaysia. Lama benar tak mendengar berita kejayaan seumpama ini. Rupa-rupanya Malaysia tidak perlu kepada jurulatih asing untuk membawa kejayaan. Cukup dengan jurulatih tempatan untuk membuahkan hasil. Namun demikian, perjuangan masih belum selesai. Kini baru menjejakkan kaki keperlawanan akhir bagi merebut pingat emas. Malaysia masih ada Vietnam untuk mendapatkan kilauan emas. Semoga Vientian akan menjadi tapak awal era kebangkitan semula skuad bolasepak negara.
Selamat Berjuang!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan