Khamis, Disember 24, 2009

Kejujuran Seorang Peniaga.

Biasanya peniaga ingin mengambil untung berlebihan kalau ia boleh berbuat demikian. Apatah lagi kalau secara kebetulan sipembeli tidak tahu harga 'standard' barangan yang dijual, maka saat itulah peniaga akan menjerut leher pembeli. Orang yang beriman, tanpa diawasi oleh kerajaan atau penguatkuasa akan menjual barangannya dengan harga yang berpatutan kerana ia yakin pada petugas 'waskat' atau pengawasan malaikat.

Al-Imam Al-Ghazali menceritakan kisah seorang peniaga yang sangat jujur dan tidak mahu mengambil kesempatan untuk mengaut untung yang banyak dari pembeli yang mudah ditipu atau orang asing.

Peniaga itu bernama Yunus bin Ubaid. Dia membuka kedai yang menjual berbagai jenis pakaian dengan harga yang bermacam-macam. Ada yang berharga dua ratus, tiga ratus dan ada pula yang berharga empat ratus. Apabila masuk waktu solat, Yunus akan meninggalkan kedainya untuk menunaikan solat dan kedainya dijaga oleh anak saudaranya.

Suatu hari ketika Yunus pergi solat, datanglah seorang Arab kampung ke kedainya untuk membeli pakaian. Orang kampung itu minta diambilkan pakaian yang berharga empat ratus. Maka anak saudara Yunus yang menjaga itu membentangkan pakaian yang berharga dua ratus kepada orang yang datang dari kampung itu. Setelah pembeli melihat keadaan kain yang dibentangkan dia terus bersetuju dan membeli sehelai. Kerana dia tahu bahwa pakaian seperti itu di negerinya berharga lima ratus. Setelah mengadakan akad jual beli, orang kampung itu pun balik dengan membawa pakaian yang dibelinya itu ditangannya. Ditengah jalan, pembeli tersebut bertemu dengan Yunus yang baru balik dari sembahyang. Apabila Yunus melihat pakaian yang diagaknya dibeli dikedainya dia bertanya: "Berapa pak cik beli ni?". Orang kampung menjawab: "Empat ratus". Yunus berkata: "Tidak! Barang ini harganya tidak melebihi dua ratus". Mari pergi ke kedaiku semula supaya aku pulangkan baki wangmu". Orang kampung itu berkata : "Tapi tuan, pakaian macam ini ditempat saya berharga lima ratus dan lagipun saya sudah bersetuju dengan harga yang sekian tadi".

Walaupun pembeli tadi sudah redha dengan harga yang telah dibelinya dan dianggap lebih murah bila dibandingkan di negerinya,namun Yunus tetap tidak mahu mencekik dan memperbodohkan orang asing itu. Dia pun memaksa pembeli itu balik ke kedainya. Mahu tidak mahu pembeli itu pun kembali ke kedai Yunus. Yunus pun memulangkan dua ratus kepada pembeli itu setelah anak saudaranya mengesahkan bahwa dia menjual kain itu dengan harga empat ratus.

Apabila pembeli sudah pergi, Yunus marah dan memberi nasihat kepada anak saudaranya. Kata Yunus : "Apakah kamu tidak malu? Apakah kamu tidak takut kepada Allah, engkau mengambil keuntungan sebanyak itu dan engkau tinggalkan nasihat agama untuk kaum Muslimin?". Untuk membela diri anak itu menjawab : "Demi Allah! pembeli itu tidak mengambil kain itu, kecuali dia telah setuju dengan harga sekian". Yunus berkata : "Mengapakah kamu tidak redha untuk dia, seperti engkau redha untuk dirimu sendiri".

Maksud tuan Yunus ialah peniaga mesti membayangkan diri pembeli itu sama seperti diri sendiri. Mesti menjadi pembeli yang sentiasa inginkan harga yang lebih murah.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan