Selasa, Disember 29, 2009

Majlis Penyampaian Sumbangan Bagi Program Titian Kasih Kulaijaya 2009

Alhamdulillah, pada tanggal 26.12.09 yang lalu, Dewan Pemuda PAS Kawasan Kulai (DPPK Kulai) dengan kerjasama Yayasan Amal Malaysia Zon Kulaijaya telah berjaya menganjurkan satu program yang julung-julung kalinya diadakan di Kulaijaya ini.

Program yang dinamakan Titian Kasih ini merupakan satu program bantuan yang berbentuk pakaian seragam sekolah (diberi dalam nilaian tunai), beg sekolah, alat tulis dll kepada pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan di sekitar daerah Kulaijaya. Ianya adalah satu lagi usaha DPPK bagi memberikan perkhidmatan AMAL kepada masyarakat setempat.


Program ini merupakan satu titian antara DPPK, Masyarakat Korporat, Penderma-Penderma Individu dan Golongan yang kurang berkemampuan, dimana kami menjalankan amanah daripada dermawan-dermawan daripada pelbagai peringkat ini dan menyalurkan sumbangan mereka kepada golongan sasar.


Program ini berjaya menghimpunkan lebih daripada 300 orang yang terdiri daripada 79 orang pelajar penerima sumbangan dan ahli-ahli keluarga mereka. Majlis yang bermula jam 2.30 petang itu diisi dengan maklumat program dan aktiviti-aktiviti Yayasan Amal Malaysia yang disampaikan oleh Jawatankuasa Program dan Wakil Yayasan Amal Malaysia iaitu Saudara Mazlan Bin Aliman. Pendakwah Muda, Al-Fadhil Ustaz Rifqi Bin Maidin turut menyampaikan ceramah yang menarik yang berkisarkan tanggongjawab sesama insan, kasih sayang ibubapa dan tanggongjawab sebagai seorang anak dan pelajar.


Pertama kalinya lagu Amal Kerana Allah dikumandangkan di TJ Mart ini, para hadirin diminta berdiri semasa lagu ini dimainkan. Shaf Unit Amal Malaysia Kulai berdiri dengan penuh disiplin tatkala bersama-sama melagukan Amal Kerana Allah bersama hadirin yang hadir yang mungkin baru pertama kali mendengar lagu tersebut.

Majlis penyampaian ini juga turut disertai beberapa orang pelajar daripada kaum Cina dan juga India serta ahli keluarga mereka. Kami merasakan semangat persaudaraan yang ikhlas yang timbul hasil daripada usaha gigih sukarelawan yang menjayakan program ini dan dermawan-dermawan sekalian.


Petikan ucapan ikhlas daripada Pengarah Program, Tuan Haji Afandi Bin Abdul Samad menyatakan pihak penganjur amat berterima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan program ini dan Insya Allah, program ini akan diteruskan pada masa mendatang.

"Kasih untuk semua, Kami prihatin"
Setiausaha Program

Tiada ulasan:

Catat Ulasan