Selasa, Disember 15, 2009

Dengki Akan Membunuh Diri Sendiri.

Pada zaman dahulu ada seorang soleh dan alim yang sangat disukai oleh raja. Dia sentiasa berada dimajlis raja untuk memberikan pelajaran dan nasihat. Orang soleh itu menasihatkan "Berbuatlah kebaikan kepada orang yang berbuat baik, kerana orang yang berbuat jahat itu akan binasa oleh kejahatannya sendiri". Bagaimanapun apabila seseorang berbaik-baik kepada raja dengan tujuan baik dan ikhlas tentu ada orang yang tidak menyukainya kerana dengki. Demikian juga halnya dengan orang soleh yang satu ini. Disebalik hubungan baiknya dengan raja ada seseorang yang juga dekat dengan istana, tidak senang melihatnya selalu berdamping dengan raja dan ingin melenyapkannya.

Maka orang yang dengki itu mulai mencari cara untuk menghasut raja. Setelah menemukan suatu idea, pergilah ia menghadap raja sambil berkata "Ampun Tuanku! Orang soleh yang sentiasa datang kesini itu pernah berkata bahwa mulut raja berbau busuk".
"Apa!" kata raja dengan hairan.
Kemudian baginda bertanya lagi "Betulkah kata-katamu?"
"Betul tuanku" kata orang yang dengki itu.
Dia berkata pula "Kalau tuanku ingin membuktikannya, sila perhatikan apabila dia bercakap dengan tuanku, dia akan menutup hidungnya kerana tidak tahan dengan bau mulut tuanku".
Raja nampak agak marah dan berkata "Baliklah engkau! Aku akan menyiasat kebenaran ini".

Laporan orang yang dengki itu berhasil mempengaruhi fikiran raja. Si penghasut merasa gembira. Dia segera balik kerumahnya dan memasak makanan yang banyak mengandungi bawang putih agar siapa sahaja yang memakannya, mulutnya akan berbau. Setelah siap dia menjemput orang soleh yang didengkinya itu untuk makan bersama. Orang soleh itu pun makan tanpa curiga apa-apa demi menghormati undangan walaupun dia tahu bahwa hidangannya banyak mengandungi bawang putih. Kemudian seperti biasa orang soleh itupun pergi ke istana untuk memberikan nasihat dan pengajaran.

Raja berkata "Sila dekatlah engkau kepadaku".

Orang soleh sedar bahwa dia baru saja makan makanan yang banyak mengandungi bawang putih dan tentu saja mulutnya masih berbau. Oleh kerana itu apabila telah dekat dengan raja, dia menutup mulutnya dengan tangan agar raja tidak terganggu oleh baunya.

Kini raja berasa bahwa keterangan orang yang memberi laporan itu memang betul. Kerana ternyata orang soleh itu benar-benar meletakkan tangannya sebaik saja dia mendekati. Raja marah, tetapi ditahannya kemarahan itu didalam hatinya agar tidak nampak bahwa sikapnya berubah. Raja tidak bercakap apa-apa. Baginda hanya mengambil sekeping kertas dan pen kemudian menulis surat kepada salah seorang pegawainya. Setelah siap, surat rahsia itu ditutup rapat dan diberikannya kepada orang soleh yang disayanginya itu.

"Sila kau hantar surat ini kepada si polan" kata raja.

Orang soleh yang tidak tahu apa kandungan surat rahsia yang dibawanya, segera pergi memenuhi perintah raja. Sementara orang yang menghasut raja berada agak jauh dari istana sambil mengintai-intai tindakan apa yang diambil raja ke atas orang yang dia dengki. Ternyata dia melihat orang soleh keluar dari istana dengan gembira sambil membawa amanah raja. Dia segera mengejar dan bertanya "Apa tu?".
Orang soleh menjawab "Ini surat raja yang dituisnya sendiri dan menyuruh saya menyampaikannya kepada si polan".
"Berikan surat itu kepadaku, biar aku yang menyampaikannya" kata si penghasut. Dengan menghantar surat tersebut, dia ingin dirinya dianggap sebagai orang terdekat raja.
Pada mulanya orang soleh itu tidak mahu memberikannya kerana dia tidak mahu mengkhianati amanah raja. Namun si penghasut memaksanya dan meminta dengan bersungguh-sungguh, maka dengan terpaksa diberikanlah surat itu. Dengan bangganya si penghasut pergi membawa surat raja kepada pegawai yang dituju.

Sebaik saja surat itu sampai, si penerima terus membukannya dan dibacanya dalam hati sambil disaksikan oleh penghasut yang menghantarnya. Surat itu berbunyi "Apabila pembawa surat ini sampai kepadamu, maka segera bunuhlah dia, lapah kulitnya dan hantarkan kepadaku".
Pegawai yang menerima surat itupun berkata "Raja menyuruh aku agar membunuh kamu dan melapah kulit tubuhmu".
Bukan main terperanjat si pembawa surat, dia menyesal bercampur geram dan sedih.
"Tidak!...Tidak.....! Sebenarnya surat ini bukan untukku. Oleh kerana itu aku minta izin dulu untuk melapor kepada raja" katanya sambil cuba untuk beredar namun segera ditahan oleh pegawai berkenaan.
Pegawai itu berkata lagi "Surat arahan tidak boleh dibantah dan perintahnya harus dilaksanakan".

Sipenghasut cuba mengemukakan alasan dan perkara sebenar berkenaan dengan surat tersebut, namun tidak dihiraukan oleh pegawai. Maka diapun disembelih dan kulitnya dilapah untuk dihantar kepada raja.

Sementara orang yang soleh yang sebenarnya akan dihukum tiba-tiba datang menghadap raja dan memberitahukan bahwa surat yang dibawanya telah diambil secara paksa oleh temannya, dan dialah yang menghantarkannya kepada pegawai yang dituju.
"Astaghfirullah....." keluh raja dalam hatinya.
Baginda diam sejenak mengenangkan nasib yang menimpa orang yang menghantarkan suratnya. Kemudian raja bertanya "Benarkah engkau ada mengatakan bahwa bau mulutku busuk?".
Orang soleh menjawab "Tidak sekali-kali tidak".
Raja bertanya lagi " Jadi, mengapa ketika kamu bercakap denganku tadi engkau letakkan tanganmu di mulutmu?".
Orang soleh menerangkan "Ketika itu aku baru saja dijamu oleh teman yang meminta surat itu dengan makanan yang banyak mengandungi bawang putih sehingga mulutku berbau. Maka aku tutup mulutku supaya raja tidak terganggu oleh bau mulutku itu".

Raja menggeleng-gelangkan kepala kehairanan. Kini baginda faham perkara sebenar dan tipu helah si penghasut dan kaki bodek yang sudah pasti terbunuh itu. Kemudian baginda berkata "Benar betul ajaran dan nasihatmu kepadaku bahwa orang yang jahat telah binasa kerana kejahatan yang dilakukannya sendiri".

Begitulah bahayanya hasad dan dengki. Oleh kerana itu Rasulullah s.a.w. bersabda yang ertinya: "Waspadalah engkau pada perbuatan dengki, kerana dengki itu memakan pada kebaikkan seperti api memakan kayu bakar".


Tiada ulasan:

Catat Ulasan