Khamis, Disember 03, 2009

Akal Buntu Punca Manusia Sembah Batu.


Al-Faqih Muhammad bin Marjan menjelaskan sebuah hadis Rasulullah s.a.w. yang panjang dalam kitabnya, Al-Irsyad. Dalam hadis tersebut Rasulullah s.a.w. menceritakan keadaan huru-hara di Mahsyar.

Mahsyar merupakan tempat persinggahan sementara sebelum manusia ditentukan oleh mahkamah Akhirat sama ada akan dihantar ke syurga atau ke neraka, atau pun tidak ke syurga dan tidak pula ke neraka tetapi sebagai As-habul A'araf. Walaupun Mahsyar adalah tempat persinggahan sementara, namun peristiwa Mahsyar boleh menjadi lebih lama tempuhnya jika dibandingkan dengan tempuh manusia menjadi penghuni di alam dunia ini.

Jika seseorang menunggu bas di perhentian selama beberapa jam, namun bas yang ditunggu tidak kunjung tiba, kita akan dapati ramai yang akan gelisah dan keluh-kesah. Sudah terasa penat duduk, mereka akan bangun meninjau-ninjau dan melontarkan pandangan kalau-kalau bas yang ditunggu sudah tiba, sambil mengurut pinggang yang terasa lenguh. Mereka saling bertanya sesama para penunggu yang lain, bilakah bas akan tiba lantaran mereka sudah dilanda kebosanan.

Maka betapa pula keadaannya ketika berada di perhentian Mahsyar untuk menghadapi urusan pemeriksaan amal dan pelbagai agenda soal jawab dengan Tuhan, membuat perhitungan dan penyelesaian dalam kalangan mereka yang mempunyai kesalahan sesama manusia, ataupun bersangkutan dengan hutang piutang yang belum dijelaskan.

Begitu panjang masa yang diperlukan, bukan sahaja terasa letih kerana begitu lama menunggu, sebaliknya penantian itu merupakan suatu azab yang tidak tertanggung oleh ahli Mahsyar kerana bagi sesetengah orang, walaupun sudah begitu lama disitu namun belum ada penyelesaian. Kalangan ahli Mahsyar ketika itu berusaha untuk mencari Nabi-nabi supaya mereka boleh menolong menyegerakan proses itu.

Mereka menemui Nabi Adam a.s., Nabi pertama dan bapa sekelian manusia, sayangnya Nabi Adam tidak berupaya untuk menolong kerana dia sendiri ada kes dengan Tuhan semasa di syurga iaitu melanggar larangan Tuhan kerana mendekati Pohon Khuldi. Ketika itu Tuhan memerintahkan Nabi Adam supaya mengeluarkan puak-puak yang akan dimasukkan ke syurga daripada kalangan anak cucu mereka. Golongan yang akan menjadi mangsa keganasan api neraka itu terdapat tujuh golongan.

Nabi Adam a.s. memerintahkan dua golongan pertama supaya keluar dari khalayak ramai. Belum pun sempat melangkahkan kaki, api neraka telah menyambar mereka terlebih dahulu.Ibarat minyak yang terdedah ditengah air, api menyambar minyak tersebut tetapi air yang ada di sekelilingnya tidak terbakar. Demikianlah neraka itu sendiri amat mengenali mangsanya.

Gelombang pertama yang disambar oleh neraka itu ialah daripada puak yang kufur terhadap Allah swt dengan cara menunjuk sombong, sama ada sombong tingkah laku ataupun sikap yang dapat diterjemahkan melalui tutur kata mereka. Dengan sombong mereka menolak hukum Allah swt dan menyifatkan hukum yang berasaskan wahyu tidak sesuai untuk masyarakat majmuk.

Golongan kedua yang bakal dihumban ke neraka ialah golongan kuffar yang tidak mempedulikan peranan dirinya sebagai hamba Allah Ta'ala. Hidup seperti haiwan sekadar untuk makan, minum, tidur dan berkhawin. Mereka adalah puak-puak jahil yang tidak mengambil tahu kewujudan Allah swt.

Tuhan berkata kepada ahli-ahli neraka : " Sekarang ke manakah perginya benda-benda yang kamu sembah selain daripada Allah?". Pertanyaan ini adalah suatu tempelak terhadap manusia yang menyembah sesuatu selain Allah swt. Manusia bukan sahaja ada yang menyembah batu berhala, menyembah busut, memuja syaitan, menyembah harta benda, malah ada juga manusia yang menyembah sesama manusia.

Manusia yang menyembah Allah swt, semestinya mereka bertemu dengan Allah, tetapi para penyembah mahluk akan ditanya oleh Nya, dimanakah benda-benda yang disembah oleh mereka itu. Jika benda-benda itu dijadikan tuhan, sepatutnya tuhan-tuhan mereka itu ada bersama menolong ketika mereka amat memerlukan pertolongan. Namun terbukti bahwa tuhan-tuhan itu tidak dapat menolong para penyembahnya, malah tidak dapat menolong diri mereka sendiri.

Ketika itu Allah swt memerintahkan manusia yang menyembah sesuatu selain Nya supaya mengikut tuhan-tuhan palsu yang disembah dahulu. Oleh sebab tuhan-tuhan yang disembah oleh mereka terdiri daripada batu-batu berhala atau tunggul kayu yang dimasukkan kedalam neraka sebagai bahan bakar, maka para penyembahnya juga turut terjun kedalam neraka bersama dengan sembahan mereka.

Demikianlah natijah yang mesti ditempuh oleh manusia yang tidak menggunakan akal yang sempurna dan juga nasihat para Rasul supaya menyembah Allah swt yang menciptakan alam dan diri manusia sendiri serta meninggalkan berhala-berhala yang tidak mendatangkan faedah mahu pun mudharat.

Mengapa mereka tidak menggunakan akal yang waras semasa mereka menyembah tuhan-tuhan palsu, padahal patung-patung sembahan itu adalah ciptaan mereka sendiri? Bukankah tuhan-tuhan palsu itu beku dan kaku, tidak memberikan sebarang menafaat kepada penyembahnya, hatta terhadap dirinya sendiri. Alangkah lemahnya akal para penyembah berhala itu.

Petikan buku 'Nota Kepada Diri' oleh Tuan Guru Nik Abd. Aziz Nik Mat.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan