Rabu, September 23, 2009

Apa Signifikannya Raya dengan Mercun?



Kesempatan pulang berhari raya di kampung bersama keluarga merupakan sesuatu yang amat menyeronokkan. Maklumlah saudara mara jauh dan dekat berkumpul sambil bersembang panjang melakarkan kisah masing-masing. Ada yang ceria, lucu dan juga menyedihkan; pendek kata pelbagai cerita dapat dikongsi bersama. Bertanya khabar sudah semestinya. Tetapi apa yang hendak penulis paparkan dalam coretan ini ialah mengenai budaya masyarakat Melayu dalam meraikan Aidil Fitri yang langsung tiada signifikannya dalam agama iaitu 'bermain mercun'.

Mercun secara lumrahnya dikaitkan dengan masyarakat Cina. Membakar mercun bagi masyarakat Tionghua adalah untuk menghalau roh-roh jahat ketika menyambut Tahun Baru dalam kelendar mereka. Namun budaya itu sudah mula menyusut khususnya bagi mereka yang terpelajar dan memahami agama yang dianuti kerana membakar mercun bukanlah suatu tuntutan dalam agama. Ia semata-mata budaya yang bersumberkan mitos dahulu kala. Lantaran itu kita dapati budaya membakar mercun dikalangan mereka semakin berkurangan, apatah lagi dengan larangan ketat yang diambil oleh pihak berkuasa ketika ini, semakin menyulitkan bahan ini diperolehi di pasaran. Perubahan ini benar-benar dapat dirasai menjelang tengah malam Tahun Baru Cina tahun ini yang secara kebetulan penulis mendiami dikawasan perumahan yang majoritinya adalah orang-orang Cina. Tiada lagi bunyi bising; tiada lagi kertas merah bertaburan di persekitaran rumah; yang dapat disaksikan hanyalah percikan bunga api menghiasi ruang udara.

Lain pula halnya dengan suasana Aidil Fitri yang disambut di kampung. Hiruk pikuk dengan letupan mercun berserta meriam tanah, membingitkan suasana malam yang sepatutnya di penuhi dengan ucapan takbir, tasbih dan tahmid. Pada ketika masyarakat semakin memahami Islam dan tuntutannya, budaya cedokkan ini masih belum terkikis lagi dari kehidupan orang Melayu. Puas sudah para ilmuan agama memberi penjelasan antara adat dan ibadat, antara agama dan budaya, perkara-perkara yang ditegah dan disuruh tetapi pengamatan masih di takuk lama. Tambah ironinya lagi, setiap kali menjelang hari raya ada sahaja anak Melayu Islam yang putus jari akibat bermain mercun. Trajedi tahunan yang pasti menghiasi dada-dada akhbar dan media elektronik. Masih teringat bagaimana kata-kata arwah ibu memarahi penulis di zaman kanak-kanak dulu "daripada kau bakar mercun tu...lebih baik kau bakar duit...lebih selamat..sebab duit tak meletup". Ungkapan yang sama juga penulis ungkapkan kepada anak-anak agar mereka tidak terpengaruh dengan budaya yang tak sepatutnya diamalkan sebagai seorang muslim.

Bersuka ria pada hari lebaran tidak ditegah oleh Islam tetapi ia hendaklah dalam kerangka yang telah ditetapkan oleh agama. Budaya membakar mercun adalah perbuatan membazir yang sememangnya ditegah di dalam Islam. Didikan dan kefahaman agama amat perlu ditekankan kepada anak-anak agar mereka sedar bahwa budaya ini bukan sahaja cedokkan daripada budaya jahiliyyah bahkan ia suatu pembaziran yang wajib dihindarkan. Seandainya para ibu-bapa Islam melarang sekeras-kerasnya anak-anak mereka membeli mercun, maka para penyeludup mercun juga secara otomatis akan berhenti beroperasi dan pihak berkuasa sudah tidak terbeban dengan tugas menangkap mereka. Bahkan kilang mercun juga akan menutup operasi pengeluaran. Kata-kata "alah raya setahun sekali...apalah salahnya mereka berseronok..." perlu dikikis daripada ungkapan para ibu-bapa.

Elakkan pembaziran dan gunakan duit membeli mercun itu kepada perkara-perkara yang memberi menafaat kepada agama. Alangkah baik jika sekiranya wang yang bakal kita bakar itu disedekahkan kepada fakir miskin yang amat memerlukan sumbangan kita. Janganlah dirosakkan ramadhan yang dibina dengan kerja-kerja yang tidak berfaedah dan memudaratkan.


Menghargai Kesihatan Dengan Aktiviti Makruf.

Rasulullah s.a.w. menyatakan bahwa ada kalangan umatnya yang tidak melakukan sebarang usaha apabila sakit, samada sakitnya itu tidak menjejaskan pergerakannya untuk melakukan sesuatu atau sakit yang membawa ke peringkat mufsidan iaitu sakit yang melumpuhkan seluruh hidupnya.

Kesihatan adalah sesuatu yang amat bernilai. Lantaran itu ia mesti dihargai dengan menjaga dan mengawasinya daripada sebarang anasir yang boleh menjejaskan. Kesihatan sebenarnya adalah nikmat Allah swt yang wajib disyukuri kerana kemungkinan anugerah itu tidak kekal terutamanya pada usia tua. Ketika itu, daya tahan untuk melawan penyakit semakin tidak bermaya dan sendi urat ototnya semakin lemah.

Wajarlah kesihatan itu dihargai. Penghargaan sebenar terhadap kesihatan ialah dengan menggunakan semaksimum mungkin masa sihat bagi melaksanakan tugas sebagai hamba Allah swt dengan melakukan ibadah dan kegiatan makruf yang lain. Pada masa sihat, terutamanya ketika usia muda perlulah kita membiasakan diri dengan ketekunan dan kerajinan dalam melakukan sebarang amalan, umpamanya solat serta mengikis sifat malas dan bertangguh-tanguh. Ini kerana apabila usia meningkat tua, seluruh sendi sudah terasa lenguh, mungkin sifat rajin dan tekun akan terjejas, akhirnya sifat malas yang menjelma.

Bagi sesetengah golongan solihin, ada kalanya waktu sakit merupakan saat-saat yang paling subur untuk melakukan ibadat kerana mereka merasakan sakit itu adalah amaran dari Allah swt. Lantaran itu, dia bersyukur kerana Allah masih sudi memberikan peringatan terhadap dirinya, lalu dia terasa bahwa Allah swt amat menyayanginya.

Pada saat sedemikian, dia tidak mempedulikan kesakitan yang ditanggungnya tetapi apa yang perlu baginya adalah melakukan ibadah sekhusyuk dan sedaya mungkin menjelang ajal yang dirasakan semakin hampir. Sebaliknya bagi orang awam, jika dalam keadaan sihat tiada kesugguhan melakukan amal ibadah, apakah yang boleh diharapkan ketika tubuh badan sedang sakit? Yang pasti, sifat malas kian menguasai diri, ibadah yang fardu banyak tertinggal atas alasan tidak sihat.

Oleh yang demikian, apa yang wajar dilakukan ialah menghargai anugerah Allah swt dalam hal kesihatan itu dengan menggunakan kesempatan itu sepenuhnya untuk melakukan apa-apa sahaja kegiatan amal ibadah yang boleh memberikan kebaikan buat dirinya, samada di dunia, lebih-lebih lagi untuk kepentingan di akhirat.

Rasulullah s.a.w. seterusnya memberikan amaraan terhadap mereka yang tidak melakukan sebarang usaha untuk mengisi waktu sihat. Tiadalah yang dinanti melainkan hari tua yang penuh dengan keuzuran. Ramai orang yang berlengah untuk melakukan suruhan ibadah dengan berbagai-bagai alasan. Beribadah semasa muda tidak khusyuk, sudah tua nanti suasana akan tenang, ketika itulah kononnya saat yang paling sesuai untuk bertekun dalam ibadah. Alasan itu tidak munasabah kerana pada masa muda, ketika anggota masih kuat dan sihat pun mereka tidak melakukannya, sebaliknyalah pula pada hari tua yang lebih sukar untuk melaksanakan sesuatu lantaran dirinya tidak terdidik kearah tersebut.

Akhirnya datanglah suatu detik yang tidak diduga, iaitu kematian yang datang secara tiba-tiba. Kematian demikian memungkinkan pelbagai perkara terbengkalai, tidak mungkin dapat diselesaikan selepas saat kematiannya. Mungkin banyak hutang piutang yang belum dijelaskan, tiada wasiat bertulis yang mencatatkan segala butir terperinci mengenainya. Dengan demikian adalah mustahil bagi siwaris dapat mengambil tanggung jawab bagi menjelaskan hutang-hutang itu. Akibatnya selama mana hutang itu tidak tertunai, maka selama itulah tidak akan ada peluang untuknya masuk ke syurga.

Oleh itu Rasulullah s.a.w. sering memberikan ingatan agar setiap orang sentiasa memperbaharui surat wasiatnya dalam tempoh tiga hari. Adalah dianggap cuai jika mereka tidak memperbaharuinya kerana mungkin mereka akan tercicir daripada memasukkan fakta-fakta baru ke dalam wasiat, khususnya mengenai hutang, samada hutang dengan Allah swt atau hutang sesama manusia.

Petikan Buku Nota Kepada Diri oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Isnin, September 21, 2009

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI



Salam Lebaran buat para pengunjung. Saf pimpinan PAS Kawasan Kulai Jaya, Dewan Ulama', Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat mengucapkan :

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI
MAAF DZAHIR DAN BATHIN

Semoga lebaran ini akan membuka lembaran baru kearah penyatuan ummah menerusi semangat ziarah-menziarahi dan bermaaf-maafan.

Nantikan program ziarah 'eid al-mubarraq' ketempat anda.

ISLAM MEMIMPIN PERUBAHAN.

Rabu, September 16, 2009

Awas Dakyah Golongan Kafir.

Orang mukmin sewajarnya memastikan setiap sesuatu yang hendak dilakukan bersesuaian dengan apa yang dikehendaki oleh Allah swt. Jika mereka melaksanakan perkara yang bersesuaian dengan arahan Allah Ta'ala, seolah-olah mereka sudah bertanya kepada Allah swt sebelum perkara itu dilakukan. Oleh sebab keredhaan Allah adalah matlamat hidup manusia di dunia ini, tidak ada pilijam bagi orang yang beriman melainkan mereka bertanya kepada Allah swt dahulu sebelum menuruti pendapat manusia lain atau pendapat sendiri yang tidak berlandaskan wahyu.

Walaupun ibu-bapa dan kaum kerabat bersetuju, malah jiran tetangga dan ahli masyarakat memberi sokongan dan dorongan sepenuhnya.Namun andaikata sesuatu itu bercanggah dengan kehendak Allah swt (al-Quran), maka tindakan itu mesti dibatalkan serta-merta kerana akan menyulitkan diri sendiri ketika sessi soal jawab dengan Allah swt di akhirat kelak. Dalam hal sebegini, pendapat orang ramai bukan menjadi ukuran, keputusan majoriti bukan sesuatu yang muktamad, kecuali apabila pendapat itu selaras dengan apa yang dikehendaki oleh Allah swt, maka kehendak Allah adalah penentu segalanya. Justeru pendapat majoriti tidak semestinya benar, malah Allah swt mengingatkan orang yang beriman tentang bahaya menyandarkan diri dengan kemahuan orang ramai. Firman Allah swt yang bermaksud :

"Dan sekiranya kamu menuruti majoriti orang ramai di muka bumi ini, nescaya mereka akan menyesatkan kamu daripada jalan Allah". (al-An'am : 116)

Pendapat majoriti sepatutnya tidak mempengaruhi orang yang beriman lebih-lebih lagi jika pendapat itu bercanggah dengan kehendak Allah swt. Ia tidak dapat membantu manusia menghadapi soalan-soalan daripada Allah swt pada hari akhirat kelak. Apatah lagi jika mereka terpengaruh dengan dorongan orang-orang kafir atau muanafik dalam sesuatu urusan, termakan pujukan atau janji manis. Dalam al-Quran, Allah swt mendedahkan muslihat dan pujuk rayu golongan kuffar dalam kempen mereka mengajak orang yang beriman supaya menjadi pengikut mereka. Firman Nya yang bermaksud :
"Dan berkatalah orang-orang kafir kepada orang-orang yang beriman : ikutilah jalan kami dan nanti kami akan memikul dosa-dosa kamu, dan mereka (sendiri) sedikitpun tidak (sanggup) untuk memikul dosa-dosa mereka. Sesungguhnya mereka adalah benar-benar pendusta. Dan sesungguhnya mereka akan memikul beban (dosa) mereka, dan beban-beban (dosa yang lain) disamping beban-beban mereka sendiri, dan sesungguhnya mereka akan ditanya pada hari kiamat tentang apa yang selalu diada-adakan oleh mereka".
(al-Ankabut : 12-13)


Jika orang beriman mempunyai tanggung jawab menyeru manusia supaya beriman dengan Allah swt, sebaliknya orang kafir juga menjalankan misi dakyahnya supaya orang yang beriman menjadi pengikut mereka. Mereka mempengaruhi orang mukmin agar mengamalkan cara hidup dan budaya mereka, malah berfikir dan berpendirian seperti mereka. Mereka menjanjikan yang lumayan, malah bersedia untuk menanggung dosa orang mukmin. Orang mukmin yang terpengaruh dengan kempen golongan kuffar, maka mereka tidak lagi memikirkan dosa, seolah-olah ia akan ditanggung oleh orang yang mereka ikuti. Cara golongan kuffar mempengaruhi orang beriman supaya menjadi pengikut mereka terlalu canggih. Mereka menggunakan segala teknologi tinggi, bukan sahaja mereka menguasai ekonomi dunia, tetapi komunikasi satelit untuk menyalurkan dan menyajikan pelbagai program kesetiap rumah.

Program hiburan, sukan serta rancangan-rancangan yang bercanggah dengan akhlak dan aqidah Islam yang disalurkan melalui satelit, dipancarkan ke setiap rumah melalui televisyen yang mempengaruhi fikiran manusia. Diayah ini hampir tidak tertangkis, terutamanya generasi muda mukmin. Mereka menjadi penyokong kepada program kuffar sehingga tidak seorang pun memikirkan dosa atau akibat yang bakal ditanggung di akhirat kelak, seolah-olah dosa itu ditanggung oleh golongan kuffar, sebagaimana yang ditegaskan oleh firman Allah swt dalam ayat 12 surah al-Ankabut itu. Sedangkan Allah swt telah memberitahu bahwa orang kafir yang merancang kejahatan di muka bumi ini tidak mungkin akan menanggung dosa orang lain walau sedikit pun. Sesungguhnya mereka itu adalah pendusta. Mereka hanya akan memikul dosa-dosa mereka sendiri dan beban dosa yang lain akibat daripada kejahatan mereka. Mereka pasti akan ditanya olah Allah Ta'ala pada hari kiamat kelak tentang apa yang telah dilakukan didunia ini, iaitu segala kejahatan dan kegiatan yang meruntuhkan keimanan manusia.

Justeru orang yang beriman mesti meningkatkan kewaspadaan mereka terhadap pengaruh dan dakyah golongan kuffar dan munafiq yang menjadi egen iblis di dunia ini agar terhindar daripada digolongkan bersama-sama mereka ketika Allah swt menyoal pada hari Kiamat kelak.

Petikan buku : Nota Kepada Diri oleh Tuan Guru Nik Abd. Aziz Nik Mat.

Selasa, September 15, 2009

SALAM AIDIL FITRI.


الله اكبر الله اكبر الله اكبر، لآ اله الا الله و الله اكبر، الله اكبر ولله الحمد
الله اكبر كبيرا ، والحمد لله كثيرا ، وسبحان الله بكرة واصيلا
لآ اله الا الله و لا نعبد الا اياه مخلصين له الدين ولو كره الكقرون
لآ اله الا الله وحده ، صدق وعده ، ونصر عبده ، وأعز جنده وهزم الاحزاب وحده
لآ اله الا الله والله اكبر الله اكبر ولله الحمد

Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar
Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan Allah Maha Besar
Allah Maha Besar dan segala puji-pujian hanya layak bagi Allah
Maha Suci Allah pada waktu pagi dan petang
Tiada Tuhan melainkan Allah dan tidak ada lain yang kami sembah melainkan Dia
Kami ikhlas kepada Nya (mengikuti ajaran Islam) sekalipun dibenci oleh orang-orang kafir
Tiada Tuhan melainkan Allah Yang Tunggal, Yang menepati janji Nya,
Yang menolong hamba Nya dan
Yang memuliakan tentera Nya dalam mengalahkan tentera al-ahzab
dengan sendiri (kekuasaan Nya)
Tidak ada Tuhan melainkan Allah dan Allah Maha Besar
Allah Maha Besar dan segala puji-pujian hanya bagi Allah

Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 185 yang bermaksud :
"....dan hendaklah kamu menyempurnakan bilangannya dan supaya kamu agungkan kebesaran Allah atas petunjuk yang telah diberikan kepada kamu dan supaya kamu bersyukur".

Diriwayatkan dari Ibnu Umar bahwa ia apabila pergi ke tanah lapang dipagi hari raya, beliau bertakbir dengan mengeraskan suara takbirnya. Dalam riwayat lain (dikatakan): Beliau apabila pergi ke tempat solat pada pagi Idul Fitri ketika matahari terbit, beliau bertakbir sehingga sampai ketempat solat, kemudian di tempat solat itu beliau bertakbir pula sehingga apabila imam telah duduk, beliau berhenti bertakbir. (HR :Asy-Syafie dlm al-Musnad 1:53, hadith no 444 & 445)

Dua dalil ini menunjukkan bahwa Islam menganjurkan umatnya menyambut perayaan dengan memperbanyakkan bertakbir, bertasbih dan bertahmid memuji Allah swt dimulai semenjak terbenamnya matahari pada malam Idul Fitri sebagai tanda kesyukuran diatas kemenangan setelah sempurna bilangan puasa ramadhan. Anjuran ini mengajar umat Islam, sesungguhnya bagi melahirkan kegembiraan itu semestinya ada hubungan dengan al-Khaliq. Ini amat berbeza dengan sambutan perayaan bagi agama-agama lain yang mana kegembiraan sambutan semata-mata bersifat duniawi. Justeru itu adalah salah disisi Islam bagi umatnya menyambut Idul Fitri bersama-sama dengan perayaan agama lain yang disitilahkan sebagai 'Perayaan Berkembar'.

Islam tidak menghalang umatnya bergembira di hari lebaran tetapi Islam meningatkan bahwa kegembiraan itu seharusnya berada didalam ruang lingkup dan garis panduan yang disediakan bagi mengelakkan perayaan yang disambut atas dasar agama, bercampur baur dengan perkara-perkara mungkar. Maka itu, perayaan yang disambut itu diisi dengan lafaz-lafaz takbir, tasbih dan tahmid, membesar serta memuji-muji Allah swt kerana sudah semestinya segala pujian itu hanya milik Allah, Tuhan Semesta Alam.

Bagi hamba-hamba Nya yang mukmin, kegembiraan ini akan diisi dengan pengabdian diri kepada Allah swt secara konsisten sebagai kesinambungan dengan pengabdian yang dilakukan di bulan ramadhan dengan segera kembali kemedan jihad dengan melakukan ibadat puasa enam hari dibulan syawal. Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud :
"Sesiapa yang berpuasa ramadhan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan syawal, maka itu seperti berpuasa sepanjang tahun". (HR: Muslim dlm sahihnya; Hadith no 1164)

Beginilah Islam membentuk keperibadian umatnya bagi melahirkan umat terbaik dikalangan manusia. Janganlah kesucian syawal dicemari dengan adegan-adegan mungkar sehingga tidak dapat hendak dibeza antara perayaan Islam dan perayaan bukan Islam. Segala keseronokkan yang sedang hebat dipromosi dimedia-media elektronik dan media cetak, seharusnya mampu ditangkis setelah kita melalui proses pentarbiyahan selama sebulan di bulan ramadhan.

Bagi mereka yang terpaksa melalui perjalanan jauh untuk pulang menyambut lebaran, mulakanlah perjalanan dengan solat musafir, memohon keberkatan daripada Allah swt agar perjalanan yang dilalui mendapat limpahan rahmat dan kasih-sayang Nya, semoga sentiasa didalam perlindungan Allah serta selamat sampai ke destinasi yang dituju. Berdoalah semoga perjalanan tersebut menjadi satu perjalanan yang memberi menafaat kepada agama Nya.

Akhirkata saya dan keluarga mewakili semua pimpinan PAS Kawasan Kulai Jaya bersama Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat mengucapkan :

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI
MAAF DZAHIR DAN BATHIN.



YDP PAS Kawasan Kulai Jaya dan Keluarga.

Ahad, September 13, 2009

Program Sumbangan Aidilfitri PAS Kawasan Kulai.


13.09.2009/23 Ramadhan 1430H,
Seawal jam 8.30 pagi tadi, para sukarelawan PAS Kawasan Kulai telah berkumpul bagi menjalankan kerja-kerja pembahagian Sumbangan Aidilfitri bagi meneruskan agenda kemasyarakatan seperti ditahun-tahun sebelumnya. Sesungguhnya kerja ini adalah satu kewajipan kepada kami bagi mendekatkan lagi kepada masyarakat terbanyak amnya dan golongan yang kurang berkemampuan khasnya.

Khamis, September 10, 2009

Kekayaan Orang Yang Ingkar Hanyalah Istidraj.

Ada berbagai cara Allah swt mengurniakan kekayaan dunia kepada hamba Nya. Ada kalanya pemberian itu dalam bentuk kemuliaan, tidak kurang pula pemberian Allah swt bertujuan sebagai penghinaan terhadap hamba Nya.

Utbah bin Amir r.a. menceritajan pada suatu hari dia mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda :"Apabila kamu melihat Tuhan mengurniakan kekayaan dunia kepada orang yang asi (ahli maksiat), sesungguhnya yang demikian itu merupakan istidraj daripada Allah swt. Ketika mereka lupa akan ajaran dan peringatan-peringatan, Allah membukan bagi mereka segala pintu kesenangan dunia, tetapi pada saat mereka gembira dengan kekayaan itu, tiba-tiba Allah swt merentap segalanya dengan serta-merta. Hadis tersebut merupakan peringatan kepada kita bahwa kekayaan dan pangkat kedudukan yang dikurniakan oleh Tuhan kepada ahli maksiat yang tidak taat kepada suruhan serta melanggar larangan Nya hanyalah istidraj. Juteru, janganlah kita keliru.

Istidraj bererti suatu pemberian yang tidak direstui Nya atau ibarat umpan yang diletakkan didalam perangkap dengan tujuan memerangkap haiwan yang jahat. Haiwan yang terpdaya dengan umpan akhirnya terperangkap ketika sedang ghairah hendak menikmati makanan yang dijadikan umpan itu.

Dalam hal ini timbul satu pertanyaan, kenapakah manusia diumpan sedemikian rupa dengan kekayaan dan kesenangan dunia, tidakkah ada cara lain untuk Tuhan memperbaiki manusia selain dengan cara istidraj atau umpan itu? Sekiranya kita mengumpan musang atau tikus untuk diperangkap, memanglah munasbah kerana haiwan itu merosakkan harta benda. Sesungguhnya Allah swt tidak melakukan aniaya terhadap hamba Nya dengan cara memberi mereka umpan dan sebagainya, kerana Dia bersifat Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Sebaliknya manusia itu sendiri yang tidak menyayangi, malah menzalimi diri mereka sendiri.

Meskipun Allah mengutus para Rasul untuk menyampaikan hidayah Nya, telah dilahirkan para ulama' untuk menyambung nasihat para Rasul tersebut. Mereka kemudiannya dibantu ibu-bapa yang menjalankan peranan untuk mendidik anak-anak mereka agar patuh kepada ajaran Islam, sementara masjid dan surau bercambah bagi menyemarakkan kerja-kerja ibadah.

Setelah berbagai cara disediakan bagi melengkapkan usaha seseorang untuk membentuk diri mereka menjadi manusia yang baik, tetapi ramai yang tidak memenafaatkannya. Justeru manusia sebegini telah menjerumuskan dirinya sendiri kedalam kebinasaan. Firman Allah swt yang bermaksud :

"Allah tidak menganiayakan mereka, sebaliknya merekalah yang telah menganiaya diri mereka sendiri". (Ali Imran : 117).

Firman Allah lagi yang bermaksud:

"Tatkala mereka melupakan peringatan yang telah diberikan kepada mereka. Kami pun membuka semua pintu kesenangan untuk mereka; sehingga apabila mereka gembira dengan apa yang telah diberikan kepada mereka, Kami seksa mereka dengan sekonyong-konyong, maka ketika itu mereka terdiam berputus asa". (Al-An'am : 44).

Segala-galanya terjadi apabila manusia tidak menghiraukan hidayah dan melupakan ajaran dan peringatan yang didatangkan kepada mereka. Lantas Allah swt mendatangkan istidraj dengan membuka segala pintu kesenangan untuk mereka. Akan tetapi ketika mereka ketawa kegembiraan akibat dilimpahi kesenangan harta benda, pangkat dan pengaruh, dalam kealpaan itulah Allah swt mencabut kembali segala kesenangan dengan tiba-tiba sehingga mereka tercengang-cengang dilanda kekecewaan kerana kehilangan segala-galanya dalam sekelip mata. Tuhan menarik kesenangan itu samada dengan mematikannya dengan serta merta ataupun dilenyapkan terus segala kesenangan itu dengan malapetaka seperti yang dialami oleh Qarun.

Oleh itu jika kita melihat orang mendapat kekayaan dunia sehingga bergelar jutawan dan sebagainya, janganlah terdorong hati hingga terbit keinginan untuk mendapat kekayaan dan pangkat kedudukan seperti itu, sehingga terlalu kecewa jika tidak memperolehinya. Adalah menjadi sebahagian kaedah Tuhan untuk melimpahkan kesenangan yang menjadi idaman manusia kepada mereka yang melupakan ajaran Nya. Ia adalah peluang terakhir yang berupa istidraj. Jika mereka inginkan harta sehingga ketahap menguasai ekonomi sesebuah negara, Tuhan akan berikan kunci perbendaharaan; dan sekiranya mereka inginkan kekuasaan agar segala-galanya berada didalam tangan mereka, maka Tuhan juga pasti menunaikan janji Nya untuk membuka segala pintu kesenangan untuk mereka.

Oleh yang demikian, jika seseorang dikurniai kesenangan harta atau diberi pangkat kekuasaan, sewajarnyalah seringkali timbul didalam hatinya, adakah kekayaan dan pangkat kekuasaan yang dianugerahkan oleh Allah swt itu sebagai satu kurniaan yang memberikan kebajikan didunia mahu pun diakhirat? Atau adakah pemberian itu merupakan satu istidraj yang akan memerangkapnya kelak? Jika seseorang sentiasa berada pada tahap kesedaran itu, nescaya dia tidak akan lalai dengan kesenangan dan tidak mengabaikan pangkat kekuasaan yang dimilikinya. Jika Allah swt menarik semula segala-galanya, ketika itu dia yakin bahwa Allah swt telah mentakdirkan sesuatu yang baik untuk dirinya. Mereka redha kembali miskin dan hilang pangkat kekuasaan kalau semua itu akan membebankan dirinya di akhirat kelak.

Seandainya Allah mengurniakan kekayaan dunia, adalah menjadi kewajipan memperlihatkan tanda-tanda nikmat itu. Disini terdapat perbezaan cara antara orang yang zahid dan orang yang sebaliknya dalam memperlihatkan tanda-tanda nikmat Allah swt. Lazimnya orang yang tidak zahid akan memperlihatkan kekayaan dalam bentuk kemegahan seperti membina rumah besar dengan segala perhiasan yang anggun, membeli kereta besar daripada jenama mewah dan sebagainya.

Sesungguhnya gaya menunjukkan kekayaan seperti itu bukanlah hendak memperlihatkan tanda-tanda nikmat Allah swt, kerana gaya hidup moden adalah hidup yang sentiasa berpaut bantuan bank. Rumah besar atau kereta besar, kesemuanya milik bank. Mereka berhutang dan lazimnya terbabit dengan riba'. Juteru bagi orang yang zahid, mereka memperlihatkan tanda-tanda nikmat kurniaan Tuhan dengan membuat perkara kebajikan yang dapat memberi menafaat kepada orang ramai, seperti mengadakan yayasan atau pusat-pusat pengajian untuk kemudahan anak-anak orang miskin atau untuk anak-anak yatim menimba ilmu pengetahuan.

Jika mereka membina rumah besar pula, ia tidaklah semata-mata atas kepentingan diri, sebaiknya untuk memberikan kemudahan mengadakan jamuan kepada fakir miskin atau mengadakan majlis-majlis agama seperti mengadakan kuliah agama, juga untuk kemudahan mengadakan sesuatu mesyuarat bagi melaksanakan kerja-kerja kebajikan dan seumpamanya.

Petikan buku : Nota kepada Diri oleh Tuan Guru Nik Abd Aziz Nik Mat.