Khamis, Mei 10, 2012

Cerita Syarip Dol, samseng Kampung Dusun

Syarip Dol memang terkenal sebagai samseng Kampung Dusun, selain dari
kerja rompakan dan samun beliau juga adalah pembeli hasil sawit penduduk
Kampung Dusun.

Oleh kerana tiada pembeli lain di kampung tersebut, maka penduduk mahu
tak mahu terpaksa menjual juga hasil ladang mereka kepada Syarip Dol.

Tambahan pula, beliau sering mengugut penduduk yang cuba menjual kepada
peniaga lain. Namun kerana tidak mengetahui kadar perahan sebenar, maka
penduduk hanya terima berapa sahaja kadar perahan yang diberitahu.

Mereka berasa ok juga Syarip Dol ini kerana walaupun samseng tetapi ia
masih membeli sawit penduduk kampung. Ada yang terfikir kalau Syarip Dol
tak beli lagi daripada mereka, nanya jadinya.

Hasil penipuan kadar perahan ini, Syarip Dol berjaya mengumpul RM200,000
setahun. Ia hidup senang-lenang hasil penipuan tersebut.

Suatu hari penduduk diberitahu sebenarnya kadar perahan yang sepatut
diberi jauh lebih tinggi dari yang mereka perolehi sebelum ini.

Mereka mulai siasat dan ternyata betul laporan tersebut. Ini menyebabkan
ada di kalangan penduduk Kampung Dusun mulai merancang untuk menjual
kepada kilang lain, yang akan membayar lebih tinggi dan kebajikan lebih
baik.

Berita ini membimbangkan Syarip Dol, menyebabkan ia mulai memikir
bagaimana untuk menghalang penduduk Kampung Dusun dari menjual ke kilang
lain.

Lalu, ia kumpulkan penduduk kampung kononnya untuk memberi anugerah
jasamu dikenang. Syarip Dol fikir dari RM200,000 yang berjaya dikumpul
selama setahun hasil penipuan perahan, apa salahnya kalau diberi
RM100,000 kepada penduduk Kampung Dusun.

"Aku masih ada RM100,000 lagi. Apa yang penting penduduk tidak menjual
kepada kilang lain," katanya di hati.

Maka diadakan majlis anugerah, diwar-war seluruh Kampung Dusun bahawa
Syarip Dol nak anugerah wang kepada semua penduduk Kampung.

Pada hari dijanjikan itu, ia mulai mengangkut penduduk kampung, tua
muda, lelaki perempuan, Melayu, Cina, Asli dijamu dengan nasi bungkus
dan disediakan pasukan nyanyian, kompang bagi memeriahkan majlis
anugerah hasil rompakan dan penipuan dari penduduk Kampung Dusun.

Sarip Dol cukup seronok apabila penduduk kampung keluar beramai ramai,
ada yang bertempik hidup Syarip Dol! Hidup Syarip Dol!

Dia tersenyum lebar. Penduduk mula terngaga apabila Sarip Dol
menceritakan pengorbanannya selama ini, dan ingatkan penduduk agar
kenang jasa dia.

Maka sampai masa dinanti nanti, Syarip Dol umumkan durian runtuh
RM100,000 akan berikan kepada penduduk Kampung Dusun lelaki, perempuan
dan anak anak.

Lalu bertempik soraklah penduduk kampung - ada yang pengsan terkejut,
ada yang selak tak terkata, ada yang menangis kesyukuran, ada yang
mengiling kepala tak percaya Syarip Dol baik sunggguh.

Lalu bergemalah lagi jeritan ucapan hidup Syarip Dol! Hidup Syarip Dol!

Lalu Syarip Dol dengan lantang bertanya penduduk Kampungg Dusun, "Apakah
tuan-tuan nak jual di kilang lain lepas ini??!!"

Serentak jawapannya "TIDAK! Tidak! Kami sokong Syarip Dol."

Mendengarkan kata kata itu, Syarip Dol tersenyum puas hati. Walaupun
hakikat apa yang diberi hanyalah hasil penipuan kadar perahan, perahan
keringat penduduk kampung, hasil penipuan yang dikembalikan kepada
mereka semula.

Syarip Dol kagum bila ada seorang tua berkata mana nak cari tokeh baik
macam Syarip Dol di dunia ini.....

Sekadar renungan untuk senyuman hari ini.

-----------------------------------------------------------
Penulis adalah Ketua Penerangan PAS Pusat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan