Rabu, Januari 11, 2012

Penjelasan Kepada Berita Kehadiran Beberapa Tokoh PAS Di Rumah Dr Hasan Ali Ahad lalu.

Dalam suasana hampir dengan pilihanraya, pelbagai isu luaran dan dalaman yang akan timbul untuk mengganggu kelancaran gerak-kerja parti.


Gangguan ini melibatkan berita bohong/fitnah/mengelirukan/niat jahat/provokasi yang dihebah oleh media perdana dengan agenda untuk mengelirukan ahli-ahli PAS di samping melaga-lagakan antara pimpinan parti.

Terbaru media perdana dilaporkan sebagai membayangkan Dato Dr Harun Din, YB Ustaz Taib Azamuddin, Ustaz Dato' Ismail Kamus antara yang hadir dalam penjelasan di rumah Dato Dr Hasan Ali malam Ahad yang lalu.

Laporan tersebut adalah tidak betul dan mempunyai niat tidak senonoh, kerana hakikatnya kesemua mereka tidak bersama pada malam tersebut.

Ketika penjelasan itu diberikan, PAS mengesahkan bahawa Dato Dr Harun Din sedang bermesyuarat di Majlis Syura Ulama' di pejabat agong PAS, Ustaz Taib Azamuddin pula berada di China dan Ustaz Ismail Kamus sedang menerima rawatan.

Manakala bagi Ustaz Nasharudin Mat Isa, beliau yang baru kembali dari luar negara ada memaklumkan kepada Majlis Syura akan kehadirannya ke rumah Dato Dr Hasan Ali.

Jelas perkara di atas adalah usaha pihak tertentu bermotif untuk memberi imej buruk kepada para pimpinan parti dan mengelirukan ahli-ahli PAS sehingga bersangka buruk terhadap pimpinan parti demi mengganggu persiapan terakhir pilihanraya.

Lantaran itu, semua ahli dan pimpinan parti mesti merujuk kepada media rasmi parti iaitu Harakahdaily dan Harakah cetak untuk mendapatkan sumber sahih dan rasmi parti. Semua ahli dan pimpinan parti juga diseru menguatkan kesedaran politik agar tidak mudah dipengaruhi permainan jahat pihak lawan.


Dalam suasana mencabar ini, semua ahli PAS diseru untuk memperkukuhkan perpaduan dan ukuhwah dalaman parti agar kita dapat menjauhi kerja yang tidak menguntungkan jamaah dan menumpukan seluruh masa, tenaga dan dana bagi menghadapi persiapan pilihanraya umum yang semakin hampir.


Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man

Ketua Penerangan PAS Pusat


Isnin, Januari 09, 2012

Tahniah DSAI - Ahli PAS Perlu Tumpu Kepada Kerja Pilihanraya

PAS mengalu-alukan keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) daripada pertuduhan melakukan liwat terhadap Saiful Bukhari. Dengan bukti yang cukup rapuh dari awal, sepatutnya tuduhan ini dibuang kes lebih awal, namun begitu keputusan hari ini membuktikan DSAI hanyalah mangsa tohmahan tuduhan liar yang dibuat oleh beberapa pihak.
PAS mengharapkan dengan keputusan ini, nama baik DSAI akan dibersihkan dan segala tohmahan liar terhadap beliau dan keluarga beliau dihentikan. PAS menggesa semua pihak khususnya umat Islam kembali kepada peringatan Allah bahawa qazaf adalah kesalahan dan dosa besar yang mesti bertaubat dan memohon maaf kepada yang dituduh.
PAS juga mengingatkan petugas parti agar menumpukan kepada gerak kerja parti, kerana dengan keputusan ini dijangka pilihanraya akan diadakan dalam masa terdekat.
Keputusan ini juga boleh dilihat dari satu sudut yang boleh digunakan media milik Umno untuk berhabis-habisan menaikkan imej Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri. Sehubungan itu, seluruh jentera parti mesti menggandakan upaya bagi mencapai kejayaan cemerlang dalam PRU akan datang.




Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS Pusat


Jumaat, Januari 06, 2012

Lima maksiat yang disegerakan balasannya.

Daripada Ibnu Umar r.a. berkata : Berhadap Rasulullah s.a.w. kepada kami (pada suatu hari) kemudian beliau bersabda : "Wahai kaum Muhajirin, lima perkara kalau kamu telah dibalakan dengannya (kalau kamu telah kerjakannya) maka tiada kebaikkan lagi bagi kamu. Dan aku berlindung dengan Allah swt semoga kamu tidak menemui masa itu.
  1. Tiada terzahir (nampak) perzinaan pada suatu kaum sehingga mereka berani berterus-terang melakukannya kecuali mereka akan ditimpa penyakit Tha'un yang cepat merebak dikalangan mereka. Mereka juga akan ditimpa penyakit-penyakit yang belum ditimpa umat-umat yang lalu.
  2. Dan tiada mereka mengurangkan sukatan dan timbangan kecuali mereka akan dibalakan dengan kemarau dan susah mencari rezeki dan kezaliman dikalangan pemimpin mereka.
  3. Dan tiada menahan mereka daripada zakat harta benda kecuali ditahan dari mereka air hujan dari langit. Jikalau tiada binatang (yang juga hidup diatas muka bumi ini) tentunya mereka tidak akan diberi hujan oleh Allah swt.
  4. Dan tiada mereka mungkir akan janji Allah dan RasulNya kecuali Allah akan menguasakan keatas mereka musuh mereka, maka musuh itu merampas sebahagian daripada apa yang ada ditangan mereka.
  5. Dan apabila pemimpin-pemimpin mereka tidak melaksanakan hukum Allah yang terkandung didalam al-Quran dan tidak mahu menjadilkannya sebagai pilihan, maka (disaat itu) Allah akan menjadikan peperangan dikalangan mereka sendiri.

Hadith Riwayat : Ibnu Majah.

KETERANGAN

Hadith diatas menerangkan bahwa penyakit Tha'un dan Aids adalah berpunca dari banyak berlaku perzinaan. Kesukaran mencari rezeki dan kezaliman pemimpin adalah berpunca daripada rakyat yang mengurangkan sukatan dan timbangan. Kemarau panjang adalah berpunca dari tidak mengeluarkan zakat. Kemampuan musuh mengambil sebahagian dari apa yang dimiliki oleh kaum muslimin(seperti hilangnya tanah Palestin dari tangan kaum Muslimin) adalah berpunca daripada mereka mengkhianati janji-janji mereka kepada Allah swt. Perang saudara yang berlaku dikalangan kaum muslimin adalah berpunca dari mengenepikan hukum-hukum Allah swt dan tidak mahu menjadikan al-Quran sebagai undang-undang didalam kehidupan.


Khamis, Januari 05, 2012

MCA : Alat UMNO Menyerang Islam.

Malam tadi penulis menghadiri mesyuarat sekretariat Pakatan Rakyat bagi Palimen Kulai untuk membincangkan beberapa perkara yang ingin dilaksanakan secara bersama. Setiap parti diwakili oleh 5 orang yang memegang jawatan tertinggi parti bagi setiap kawasan ataupun cabang. Tujuannya agar mereka yang menganggotai sekretariat ini dapat membuat keputusan segera apabila di perlukan. Selain itu kehadiran ketua-ketua parti akan dapat menjelaskan dasar-dasar yang telah dipersetjui bersama diperingkat negeri dan pusat agar tidak ada percanggahan didalam menyatakan sebarang kenyataan. Inilah antara agenda utama pertemuan seumpama ini diatur sebagai persiapan menghadapai PRU13 dan sebagai usaha menjelaskan isu-isu yang dibangkitkan oleh musuh politik PR daripada Barisan Nasional.

Selesai mesyuarat kami telah berkunjung kerumah seorang keluarga Tionghua yang kematian suami berhampiran dengan pejabat PAS Kawasan Kulai. Kehadiran kami telah disambut dengan perasaan berbesar hati oleh balu mendiang dan anak-anaknya. Suatu yang diluar jangkaan sama sekali terutama melihat rakan-rakan dari Parti Islam Semalaysia. Rombongan kami terdiri daripada masyarakat berbilang kaum di Malaysia dimana terdapat orang Cina, India dan Melayu.

Walaupun kehadiran kami sudah agak lewat (sekitar jam 11.00mlm), namun balu mendiang tetap meluangkan masa melayan kami. Dalam perbualan ringkas itu, beliau melahirkan rasa gembiranya melihat kami khususnya daripada PAS yang sudi berkunjung kerumahnya walaupun ia berbangsa Cina dan berlainan agama. Kesempatan ini telah diambil untuk menerangkan kepada beliau tentang sikap Islam yang sebenar yang selama ini disorokkan oleh UMNO/BN. Manisnya pertemuan itu ialah, beliau sudi duduk dan mendengar setiap penjelasan yang disampaikan. Sekali sekala beliau mencelah dengan beberapa soalan yang selama ini menakutkan orang Cina dengan Islam. Begitulah hebatnya UMNO dengan propaganda mereka mengenai Islam terhaap masyarakat bukan Islam. Kini persoalan yang bemain dibenak mereka telah mula terungkai dengan pertemuan-pertemuan ringkas seperti ini. Walaupun singkat tetapi ia amat bermakna dalam usaha kita menjalankan tugas dakwah kepada umat yang didalam kategori 'Ummah ad Dakwah'.

Sebelum berundur, balu ini sempat berpesan kepada kami khususnya dari PAS, agar tidak memainkan sentimen agama kerana ia merupakan senjata utama BN menyerang minda masyarakat Cina Non Muslim. UMNO akan menggunakan MCA sebagai frontline mereka untuk menyerang PR terutama DAP bagi memecahkan undi orang Cina kepada PR. Sebagai contoh isu hukum hudud yang dimainkan oleh MCA, ia sedikit sebanyak berjaya merosakkan minda bukan Islam yang telah mula jinak untuk menyokong PAS. Perkara ini tetap akan menghantui mereka walaupun DAP berusaha keras memberi penjelasan mengenai isu ini. Beliau menyokong penuh kepada Gagasan Negara Berkebajikan yang hendak dibawa oleh PAS dalam PRU13 akan datang kerana ia mampu memberi impak yang besar kepada masyarakat berbilang kaum dan agama di Malaysia. Pesanan terakhir beliau kepada penulis : teruskan usaha mendekati pengundi walaupun kerja membawa agenda perubahan ini bukannya mudah.

Terima kasih kepada Mdm Wong. Penulis dan rakan-rakan amat menghargai suntikan semangat berserta nasihat dan pandangan yang diberikan. Insya'allah kami akan terus menampilkan kesyumulan Islam ketengah masyarakat sehingga mereka dapat melihat keindahan dan kemakmuran dibawah pemerintahan Islam yang sebenar.

Kepada keluarga Mdm Wong, PAS Kulai dan warga kerjanya merakamkan ucapan takziah diatas pemergian suami dan ayah tersayang.


Rabu, Januari 04, 2012

KHUSYUK DALAM SOLAT.

Kita dapati dizaman negara meningkat kearah kemajuan, kebanyakkan dikalangan kita telahpun menyedari tentang hakikat Islam dan pengislaman. Kebanyakkan diantara kita berlumba-lumba untuk mendalami lagi tentang ilmu-ilmu Islam dan seterusnya berusaha dengan mempraktikkan amalan-amalan Islam untuk memantapkan lagi tahap keimanan yang terdapat didada insan yang ingin bergelar hamba yang beriman.

Namun tidak dapat juga kita nafikan bahwa segelintir masyarakat kita yang berasa gah dengan taraf keislaman yang dianutinya sejak dari zaman turun temurun lagi tidak mahu memperakui, mengiktiraf dan seterusnya memahami apakah konsep Islam yang diinginkan oleh agama yang sebenarnya. Contohnya kita membenarkan bahwa kebanyakkan dikalangan kita mengerjakan segala suruhan Allah iaitu 'Amar Ma'ruf nahi Mungkar' dengan mengerjakan solat. Apakah kita tahu, adakah solat itu mencapai tahap solat yang seharusnya dikerjakan oleh setiap insan yang bergelar insan yang kamil?

Adakalanya kita melihat orang solat bagaikan ayam makan padi, belum sempat kepala menempel di tempat sujud telah bangkit kembali dan tergopoh-gopah. Adakah mereka itu khusyuk? Sudah pastinya tidak. Namun banyak orang yang ingin mencapai tahap solat yang khusyuk tetapi belum berjumpa guru yang sanggup mengajarkan cara untuk mencapai solat yang khusyuk. Kalau kita bertanya kepada para ustaz bagaimanakah cara untuk mencapai solat yang khusyuk, jawapannya mereka baca dimulut kemudian diertikan didalam hati. Kalau demikian belumlah kita boleh mendapatkan solat yang khusyuk.

Pernah suatu ketika dahulu terdapat didalam sebuah majalah di Indonesia "Panji Masyarakat" yang ditulis oleh seorang ulama' yang terkenal iaitu Prof. Dr Hamka. Seorang hamba Allah bertanya kepada beliau begaimanakah cara untuk mencapai solat yang khusyuk. Prof Hamka menjawab; "Aku sendiri sedang mencari kaedah untuk mencapai solat yang khusyuk".

Namun begitu ada juga dikalangan ulama'-ulama' terdahulu menurunkan petua bagi mencapai tahap solat yang khusyuk berdasarkan al-Quran, surah al-Qiamat. Firman Allah yang bermaksud :

"Jangan tergesa-gesa mengkomat-kamitkan bibirmu lantaran ingin menguasai bacaannya"
(ayat : 16)

"Kami akan simpan dalam ingatanmu dan akan Kami tetapkan bacaannya dari mulutmu"
(ayat : 17)

"Setelah selesai Kami bacakan barulah kami membacanya"
(ayat : 18)

Berdasarkan ayat inilah kami menemukan cara mencapai solat yang khusyuk seperti berikut :

  1. Yakin : seratus peratus sesungguhnya Allah tidak jauh dari urat lehermu.
  2. Sabar : mengerjakan solat tidak tergopoh-gapah.
  3. Redha : mengerjakan solat dengan penuh penyerahan kepada Allah swt.
  4. Ikhlas : mengerjakan solat dengan penuh kesedaran tanpa paksaan.
  5. Iman : segala tentuan Allah (Qada' dan Qadar) datang dari Allah swt.
  6. Ilmu : tentang syarat dan rukun solat yang benar.
  7. Akal : sihat dan waras, tidak gila atau mabuk.

Oleh : Wan Md Jamal Wan Md Saman.


Selasa, Januari 03, 2012

Konvoi Berkebajikan PAS Kawasan Kulai.

Dipenghujung tahun 2011, PAS Kulai telah melancarkan gerakan bertemu pengundi di beberapa UPU tumpu di sekitar DUN Bukit Permai. Antaranya ialah Felda Bukit Permai, Kg. Murni Jaya dan Felda Taib Andak. Program yang dinamakan 'Konvoi Berkebajikan' ini telah berjaya menarik penyertaan anak-anak muda tempatan secara bermotosikal menjelajah kampung menyerahkan bantuan keperluan harian kepada beberapa penduduk miskin.

Kehadiran PAS kini telah mula diterima masyarakat terutama anak-anak muda. Walaupun masih terdapat kekangan daripada golongan veteran, namun sikap kepedulian anak muda mula memeningkan kepala UMNO. Apa tidaknya, mereka juga mengadakan program serupa pada minggu berikutnya. Ini menunjukkan, keberadaan PAS sudah tidak boleh dipandang mudah oleh UMNO lagi bahkan maklumat terkini yang diperolehi, peluang mereka untuk memenangi DUN Bukit Permai semakin tergugat.

Kunjungan demi kunjungan yang telah dilakukan, mula menampakkan hasilnya. Beberapa keluarga miskin yang pernah dipaparkan melalui akbar Sinar Harian, kini mendapat pembelaan daripada pihak berwajib. Ada yang mendapat rumah baru melalui skim PPRT, bantuan bulanan daripada JKM dan baitul mal, serta beberapa bantuan lain yang memang sepatutnya mereka perolehi.

Satu peristiwa yang menyeronokkan didalam konvoi ini ialah apabila kami berkunjung ke Felda Taib Andak. Terdapat seorang veteran UMNO terjerit-jerit marah apabila melihat peserta konvoi yang berpakaian hijau berlogo PAS GANTI UMNO dan bendera bulan. Terdetik didalam hati penulis, bagaimana Nabi s.a.w. dan para sahabat baginda dahulu berhadapan dengan puak musyrikin Mekah yang dikepali oleh Abu Jahal menyerang baginda dalam setiap langkah dakwaah yang dilakukan. Rupa-rupanya spesis ini masih ada didalam dunia yang serba canggih sekarang. Tambah ironisnya ia dari kalangan orang Melayu Islam. Didalam suasana orang bukan Islam sudah mula menunjukkan sokongan mereka kepada Islam dan perasaan 'Islamophobia' semakin terhakis dari hati mereka, tiba-tiba Melayu UMNO pula yang menjadi semakin gerun dan meroyan. Teringat P.Ramlee didalam filem Madu Tiga : KESIAAAAAAAAAAN! Apa yang kesian?....KESIAAAAAAN.

Walaubagaimanapun, secara keseluruhannya, kehadiran PAS sudah mula diterima oleh masyarakat. PAS kini mula mendapat tempat dihati orang Melayu dengan menjadikan kami saluran untuk mereka mengadu. Gerak-kerja kebajikan yang dilaksanakan benar-benar dapat menyantuni hati budi Melayu. Melayu yang dikenali sebagai satu bangsa yang kaya dengan adab dan susila kesopanan perlu terus disantuni dengan peradaban yang diajar oleh Islam. Penulis sangat optimis, orang Melayu mampu berubah melalui Islam. Islamlah satu-satunya elemen penting untuk menyatupadukan orang Melayu. Penulis memperingatkan diri sendiri dan sahabat-sahabat seperjuangan agar menjaga akhlak disamping mempamirkan kesyumulan Islam dalam setiap gerak-kerja. Insya'allah kemenangan akan berpihak kepada kita. Yakinlah...
ALLAHUAKBAR !!!!



Jumaat, Disember 30, 2011

Mengapa Melayu mesti sokong PAS.

Nampaknya pada tahun yang akan datang ini negeri Kelantan pun akan gagal dapat royalti minyak juga melainkan kalau Pakatan Rakyat menerajui Putrajaya. Ini jelas menunjukkan bahwa kerajaan UMNO-BN mendera dan menganaktirikan Kelantan yang majoriti penduduknya adalah orang Melayu. Ini bererti orang Melayu telah menindas orang Melayu dan lebih dahsyat lagi, umat Islam telah menindas umat Islam.

Angkara siapakah ini? Tentulah bukan DAP ataupun orang Cina.

Memandangkan perkara seperti ini sedang berlaku dan bakal berterusan, orang Melayu mestilah undi PAS untuk membebaskan saudara mereka di Kelantan daripada cengkaman UMNO yang zalim dan langsung tidak berperi kemanusiaan.

Sudah tiba masanya untuk orang Melayu memilih PAS supaya keadilan dapat ditegakkan dan Islam diagungkan dan diberi keutamaan yang sewajarnya. Orang Melayu jangan memilih UMNO lagi sebab UMNO sekadar menguar-uarkan dirinya sebagai pejuang bangsa, agama dan negara tetapi memberi kuasa kepada MCA untuk menjadi jurucakap bagi hukum hudud. Malah MCA mengambil kesempatan ini untuk menghina hukum hudud sementara UMNO diam seribu bahasa.

Adakah UMNO jujur ikhlas dan telus dalam perjuangan mereka? Tentunya tidak.
Maka orang Melayu perlu mengundi PAS supaya nilai-nilai agama Islam dapat dilaksanakan. Apabila Menteri Besar di Perlis, Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan dan Johor semuanya datang daripada PAS.

Hakikatnya kuasa adalah ditangan orang Melayu dan hanya orang Melayulah yang mampu menggunakan kuasa mereka dengan berkesan untuk kebaikan mereka sendiri kelak. Orang Melayu digesa supaya jangan membazirkan peluang keemasan ini dalam pilihanraya umum ke 13 (PRU13) yang akan datang ini dan digalakkan supaya mengundi dengan cermat dan cerdik untuk menentukan masa depan mereka dan masa depan negara.

Jangan buat silap dalam pengundian sebab inilah peluang terakhir untuk membuat keputusan muktamad dan peluang keemasan ini datang sekali sahaja seumur hidup. Buatlah sesuatu yang baik untuk generasi kita yang akan datang.

Oleh : Selena Tay.
Sumber : Harakah.