Khamis, Jun 14, 2012

Skandal Wang Asing BNM 1992~1993

Pada hari Rabu, 30 Mei 2012, awal pagi, saya menerima satu pesanan
ringkas yang berbunyi: "Salam Dr. Rosli. Kaifahal? Saya Syed Mikael dari
Penang Institute. Berhajat besar utk menjemput tuan hadir memberi pdgn
dlm satu forum khas bertajuk "Bank Negara Forex Scandal: When Government
Becomes Speculator."  Forum ini bakal diadakan pada 2.30 ptg, Sabtu ini
2 Jun 2012 di Dewan Sri Pinang, Padang Kota Lama, Pulau Pinang. Selain
tuan, CM Lim Guan Eng dan DS Anwar Ibrahim turut jd panelis. Ini adalah
permintaan pribadi DSAI kpd tuan. Harap dapat hadir."

Apabila membaca mesej itu saya menjadi kelam kabut (tetapi saya tahu
ayat terakhir itu adalah tambahan dengan maksud tidak sopan kalau saya
menolak). Pertama, saya memang sudah ada program tetap di hujung minggu.
Setiap minggu, kecuali ada hal yang lebih utama, mulai petang hari
Khamis sehinggalah ke petang hari Ahad, saya mesti berada di Rembau -
turun padang. Kedua, pada hari Jumaat, 1 Jun, saya mesti hadir
bersama-sama rombongan dari Rembau ke program "Himpunan Hijau ke Putra
Jaya" di Alor Star, Kedah. Ketiga, pada hari Ahad, 3 Jun, saya mesti
kembali ke Rembau kerana majlis perkahwinan anak buah (anak adik) saya.
Saya tahu ibu saya akan sedih jika saya tidak bersama di majlis itu.

Keempat, masa yang ada memang suntuk dan amat sukar bagi saya untuk
membuat persediaan, tambahan lagi, ini bukan subjek yang mudah.

Kelima, maudhu' yang akan dibicarakan sudah lama saya tinggalkan. Kali
terakhir saya berbicara mengenainya ialah pada April 2006 bila pemberita
akhbar Malaysiakini menemubual saya mengenainya. Betul, saya ada menulis
mengenainya tetapi saya kena mentelaah kembali tulisan-tulisan itu
kerana banyak perinciannya yang saya telah lupa.

Keputusan saya: saya kena tolak undangan. Namun, hati saya terus
berbolakbalik di antara hendak kata ia atau tidak.

Saya akhirnya menalipon Syed Mikael menyatakan, dengan hati yang berat
dan rasa terbeban, "setuju."  Perkiraan saya ialah saya memang akan ke
utara dan program mingguan di Rembau pun telah dibatalkan kerana ramai
ahli yang akan ke Kedah menyertai perhimpuan hijau dan  setelah berjanji
kepada ibu, saya akan berada di Rembau pada pagi Ahad itu, Insya Allah.

Saya dan isteri ke Pulau Pinang pada hari Khamis 31 Mei bertolak dari
Subang Jaya pada pukul 5 pagi dan sampai di Pulau Pinang pada pukul 8.30
pagi.  Kami menginap di Hotel Equitorial. Berbekalkan sedikit maklumat
yang saya telah kumpulkan sebelum bertolak, saya memerapkan diri di
bilik hotel, mentelalah bahan yang saya bawa dan melayari internet untuk
bahan tambahan dalam menyediakan satu power point presentation untuk
dibentangkan di dalam forum.

Isteri saya merungut kerana saya tidak membawa beliau bersiar-siar di
Pulau Pinang. Hendak menziarahi saudara mara pun terpaksa dilupakan. Dia
reda sedikit bila pada sebelah senjanya, kami keluar makan malam di
restoran Pak Su di Sungai Dua dan makan durian dari dusun Pak Su sendiri
yang turut dijaja di situ. Kembali ke hotel saya terus menyambung kerja
hingga lewat malam.

Sesudah subuh, hari Jumaat, 1 Jun, dalam hujan yang lebat, kami memandu
kereta ke Alor Setar. Program di Alor Setar memang menyemarakkan
semangat perjuang tetapi meletihkan. Bila kembali dari Alor Setar pada
dinihari, Sabtu 2 Jun, saya menginap di Hotel Penaga, di Hutton Lane. Se
awal selepas sembahyang subuh, saya menyambung kerja menyiapkan ppp.
Ianya siap pada pukul 12.30 petang dan terus saya emelkan kepada Syed
Mikael kerana saya telah berjanji akan emel kepada beliau pada sebelah
pagi. Saya terlewat.

Saya tiba di Dewan Sri Pinang pada pukul 2.00 petang. Forum bermula pada
kira-kira pukul 3.30 petang kerana DSAI yang berkereta dari Kuala Lumpur
terperangkap di dalam kesesakan lalu lintas di Lebuhraya Utara-Selatan.
Perjalanan mengambil masa lima setengah jam berbanding  3-4 jam jika
tiada kesesakan.

Kepada kira-kira 400 hadirin dan hadirat di majlis forum itu saya
memberitahu ada sekurang-kurang lapan isu utama yang mengundang jawapan
berkaitan dengan tajuk forum itu (forum diadakan dalam Bahasa Inggeris).
Saya kongsi isu-isu dan jawapan yang saya kemukakan di forum itu dengan
pembaca Harakah.

Pertama, wajarkah Bank Negara Malaysia (BNM) berspekulasi di pasaran
pertukaran wang asing?

Tidak. BNM tidak boleh sama sekali terlibat di dalam kegiatan spekulasi
di dalam pasaran wang kerana risiko kerugian daripada kegiatan ini amat
tinggi. Fungsi sebenar BNM adalah sebaliknya, iaitu, memerangi kegiatan
spekulasi. Di dalam pasaran pertukaran wang asing khususnya, fungsi
teras BNM ialah menjaga dan melindungi nilai Ringgit Malaysia (MYR)
berbanding nilai matawang asing khususnya matawang rakan dagang utama
negara seperti Dolar Amerika (USD), Ringgit Singapura, Paun British
(GBP), Deutch Mark (DM), Yen, Swiss Franc, French Franc dan sebagainya.
BNM mesti melindungi MYR dari serangan spekulatif dan menjaga nilai
pertukaran MRY supaya sentiasa stabil dan pasaran wang setiasa cukup
kecairan.

Kedua, bilakah BNM mula  terlibat di dalam kegiatan spekulasi di dalam
pasaran pertukaran wang asing?

BNM mula melibatkan diri di dalam kegiatan spekulasi di pasaran
pertukaran wang apabila Tan Sri Jaffar Hussien (arwah) dilantik Gabenor
pada tahun 1985. Gabenor-Gabenor sebelum beliau - Tun Ismail Ali (arwah)
dan Tan Sri Aziz Taha (meletak jawatan) - semuanya menentang kegiatan
spekulasi matawang. Malah, mereka sentiasa mempertahankan BNM sebagai
badan yang harus bebas dari campur tangan pemerintahan. Kerana tidak
rela dijadikan "budak suruhan" kepada Menteri Kewangan yang mengarahkan
Tan Sri Aziz berbuat sesuatu yang bertentangan dengan prinsip dan etika
bank pusat, beliau memilih meletakkan jawatan. Mungkin, antaranya,
beliau enggan berspekulasi di pasaran wang asing.

Isyarat bahawa BNM akan bersepekulasi di pasaran pertukaran wang asing
disebut di dalam satu syarahan yang disampaikan oleh TSJH di Delhi dalam
tahun 1989. Beliau menyebut bahawa beliau telah menambahkan dimensi
ketiga dan keempat kepada pengurusan rizab BNM, iaitu, mengoptimamkan
keuntungan dan membangunkan kemahiran berurusniaga di dalam pasaran wang
asing.  Sebelum ini, teras utama pengurusan rizab adalah menjaga dan
melindunigi nilai MYR dan mengekalkan kecairan di dalam pasaran. Sejak
dari itu bermulalah penglibatan BNM dalam kegiatan spekulasi di pasaran
wang asing dalam skala besar dengan tujuan menjana keuntangan maksimam
sehingga mengkesampingkan teras utama pengurusan rizab.

BNM bukan lagi berspekulasi di dalam pasaran untuk menjaga nilai ringgit
tetapi berjudi dengan harapan mendapat untung besar dan segera.  Bila
ada pihak yang bertanya kenapa BNM berspekulasi secara besar-besaran
sedangkan tidak ada mana-mana bank pusat yang berbuat demikian, maka
TSJH sering memberi alasan "untuk mempertahankan nilai ringgit dan
mengawal inflasi." Ini terbukti falsu kemudiannya apabila kerugian besar
akibat berjudi terdedah dan nilai pertukaran asing MYR merudum dalam
tahun 1997-98 diserang spekulator.

Ketiga, Berapa besar dana digunakan BNM untuk berjudi di dalam pasaran
pertukaran asing?

Kerana ketiadaan penyiasatan, jumlah dana terlibat sukar diperinci.
Tetapi, pakar-pakar pasaran memang mengetahui bahawa pada satu ketika
BNM (sebelum skandal terdedah) adalah pemain terbesar di dalam pasaran
pertukaran wang asing di dunia. Lawannya hanyalah George Soros,
"penyangak matawang."  Akhbar Reuter pernah melaporkan bahawa BNM adalah
"sebuah kuasa yang dominan di dalam pasaran pertukaran wang sejak
beberapa tahun kebelakangan ini. Bahawa, BNM telah menjana keuntungan
yang agak lumayan dari kegiatan itu sejak sebelum tahun 1992-93, telah
mendorong BNM untuk bermain di dalam pasaran pertukran asing dalam skala
yang semakin besar."

Pedagang-pedagang matawang asing biasanya berjual beli dalam lot USD1
juta, USD5 juta dan paling tinggi USD 10 juta. Tetapi BNM berniaga dalam
lot USD 50 juta dan kadang-kadang dalam lot USD1 bilion (dalam istilah
pasaran, ini dipanggil satu ela) dalam sehari. Amat jarang sekali
peniaga matawang asing berjual beli dalam lot yang besar.  Penanding
yang paling hampir kepada BNM dalam kegiatan jual beli di dalam pasaran
pertukaran asing ini ialah pengurus-pengurus dana Jepun. Itu pun mereka
berani bermain paling tinggi dalam lot USD50 juta dan setakat sekali
atau dua kali setahun. BNM bermain dalam lot-lot besar ini setiap hari.
Ertinya, BNM memang berjudi di dalam pasaran, satu aktiviti yang tidak
ada kena-mengena langsung dengan fungsi "mempertahankan nilai ringgit
dan mengawal inflasi."

Strategi BNM ialah membeli dahulu sesuatu matang wang dalam jumlah
beberapa bilion USD dan setelah urusan pertama ini selesai (selang
beberapa minit sahaja), ia akan membeli beberapa billion USD lagi. Ini
menjana kejutan di dalam pasaran dan pedgang-pedagang lain menjadi panik
dan akan tergesa-gesa membeli matawang berkenanan. Akibatnya, harga akan
naik dan ketika itulah BNM menjual pegangannya dan menjana keuntungan
lumayan. Akhirnya, pedagang-pedagang lain akan tahu helah ini dan bila
mereka tahu, mereka akan bertindak balas. Maka bertemulah buku dengan
ruas.

Dalam tahun 1992, BNM berjudi di dalam Paun British (GBP). Ia membeli
dengan jangkaan GPB akan naik nilai. Pada masa yang sama, George Soros
membuat "short selling" ke atas GBP (jual dulu dan beli kemudian) kerana
dia menjangka nilai GBP akan jatuh di masa hadapan. Jangkaan soros
tepat. Nilai GBP jatuh. BNM rugi USD5.5 bilion dan Soros untung USD1.7
bilion. TSJH berbohong dengan mengumumkan bahawa BNM hanya rugi di atas
kertas sebanyak RM9.3 bilion. Hanya kemudian (dalam tahun 1993) beliau
mengakui BNM rugi RM10.1 bilion.



Pakar-pakar membuat anggaran bahawa kerugian sebesar itu hanya boleh
terjadi kalau BNM berspekulasi dalam pasaran sebanyak US27-33 bilion.
Jumlah ini 5 kali ganda jumlah rizab BNM pada masa itu dan lebih besar
dari nilai asset BNM, iaitu, USD20.7 bilion ketika itu, bermakna BNM
sudah bankrap. Ini bukan hendak menjaga nilai ringgit dan mengawal
inflasi, ini berjudi sakan.



Perjudian BNM di dalam pasaran pertukaran wang asing ini telah dikesan
oleh bank pusat Amerika (Federal Reserve Bank) dan Gabenornya pada masa
itu, Alan Greenspan telah menggesa BNM menghentikan segera perbuatan
itu. Tetapi, BNM buat pekak badak. Ia terus bermain judi dan akhirnya
rugi besar lagi dalam tahun 1993.



Akhbar "Malaysia Business" melaporkan bahawa pada kemuncaknya, BNM
pernah berspekulasi di dalam pasaran pertukaran wang asing sehingga
RM270 bilion (USD90-100 bilion). Pedagang-pedagang matawang asing BNM
amat agresif dan digelar "pembuli pasaran" (market bully). Mereka
seolah-oleh diberi oleh bos mereka cek kosong, berbelanja ikut suka.
Yang sebenarnya, yang berjudi itu seorang sahaja, iaitu Nor Mohamed
Yakcop. Khabarnya (berita yang hangat di kalangan kakitangan BNM), apa
yang beliau buat ialah beliau berjual beli menggunakan komputer orang
lain - pegawai-pegawai di bawah beliau. Beliau akan bergerak dari satu
komputer ke satu komputer sehingga pasaran melihat BNM mempunyai ramai
pedagang matawang asing yang agresif walhal yang agresif hanya seoarng
sahaja. Beliau selalu datang mesyuarat lambat dan ketika mesyuarat
sedang berjalan, keluar pergi ke kamar dagangan (dealing room). Beliau
membuat laporan palsu kepada Gabenor tetapi kerana dia licik, maka
Gebenor percaya semua laporan sehinggalah "nasi telah menjadi bubur"
barulah Gabenor sedar orang yang dipercayainya selama ini telah bermain
kayu tiga dengan beliau, buat cerita dongeng.

Keempat, berapa besarkah kerugian yang ditanggung BNM akibat dari
perjudian itu?

Memang sukar diketahui dengan tepat tanpa penyiasatan. YB Lim Kit Siang
pernah menyebut di parlimen bahawa jumlah kesemua kerugian ialah RM30
bilion, satu jumlah yang amat menggerunkan. Inilah jumlah kerugian yang
paling kerap disebut di kalangan pemain pasaran.

BNM mengakui kerugian sebanyak RM10.1 bilion dalam tahun 1992 dan RM5.7
bilion dalam tahun 1993.  Jumlahnya RM15.8 bilion, kira-kira setengah
dari anggaran pakar. Jumlah yang diakui oleh BNM itu memang secara
muslihat direndahkan. Sebahagian kerugian itu disorokkan melalui menilai
semula pegangan emas BNM pada harga pasaran yang telah menjadi lebih
tinggi berbanding harga mula-mula ia dibeli dan menilai pelaburan BNM
dalam saham tersenarai dan beberapa lagi harta yang lain. BNM juga
menggunakan "creative accounting" bagi menyorok kerugian. Kerugian telah
ditukarkan menjadi "harta" dengan mencipta istilah baru perakaunan,
iaitu, "deferred expenditure" atau "perbelanjaan tertunda" - wang telah
dibelanjakan dahulu tetapi akan dibayar secara ansuran kemudian. Ini
adalah penipuan. TSJH, seorang akauntan bertauliah, telah menderhakai
profesyen beliau sendiri.

Kelima, siapakah yang bertangungjawab di atas kerugian?

BNM berjudi sakan di pasaran pertukaran matawang asing semasa Tun Daim
Zainuddin (TDZ) menjadi Menteri Kewangan. Semua orang maklum, TDZ ini
seorang spekulator besar dalam pasaran saham.  Beliau menjana kekayaan
melalui spekulasi di pasaran saham. Dengan nada angkuh beliau pernah
dilaporkan berkata: "Apa yang saya jana di pasaran saham itu hanyalah
duit poket saya."

Diyakini bahawa arahan "pergi buat duit di pasaran pertukaran asing"
kepada BNM datangnya dari TDZ dan tentunya direstui oleh Perdana Menteri
Tun Mahathir Mohamad (TMM).  Umum mengetahui kedua-dua mereka rapat,
bagaikan isu dengan kuku.  Arahan itu dilaksanakan kerana BNM memiliki
seorang Gabenor yang berwatak "Yes Man" bukan macam Tun Ismail Ali  dan
Tan Sri Aziz Taha.  Harus diingat TDZ - kerana gagal menundukkan Tan Sri
Aziz Taha dengan arahan tidak munasabah - telah berjaya menekan Tan Sri
Aziz sehingga beliau meletak jawatan. Gabenor TSJH pula mempunyai "Yes
Man" lapisan kedua, iaitu, Nor Mohamed Yakcop.

Pada peringkat BNM, kerugian gergasi ini adalah tanggungjawab TSJH dan
Nor Mohamed Yakcop sepenuhnya. Mereka, walaubagaimana pun mengambil
arahan  daripada dan membuat laporan terus kepada TDZ dan TMM mengenai
permainan mereka di pasaran matawang ini. Pegawai tinggi BNM yang lain
tidak tahu apa-apa. Timbalan Gabenor pada masa itu, Tan Sri Dr. Lin See
Yan diketepikan.  Sesungguhnya, mereka berdua telah terpesong  jauh dari
batasan (went overboard) dalam memperjudikan harta BNM di pasaran
pertukaran asing. Mereka bukan berspekulasi tetapi berjudi secara cuai
dan tidak bertanggung jawab dengan tidak mengendahkan langsung tentang
keselamatan harta BNM dan harta negara.  Mungkin mereka bernafsu besar
untuk mengalahkan Goerge Soros yang dikenali sebagai "raja perompak"
(robber baron) itu bertujuan memenangi hati bos mereka bahawa mereka
mempunyai kepakaran tanpa tolok banding di dalam urusniaga matawang
asing.

Jadi, empat orang adalah orang yang harus dipertanggungjawabkan
sepenuhnya di atas kerugian gergasi yang ditanggung BNM akibat perjudian
di pasaran pertukaran asing - Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad,
Menteri Kewangan, Tun Dain Zainuddin, Gabenor, Tan Sri Jaffar  Hussein
dan Nor Mohamed Yakcop.

Bila Dato Sri Anwar Ibrahim mengambil alih sebagai Menteri Kewangan
dalam tahiun 1991, BNM memang sudah terperangkap di dalam perjudian di
pasaran. Beliau dinafikan maklumat mengenai keterdedahan BNM dalam
pasaran pertukaran asing - berapa besar pelaburan, untung  atau rugi,
semuanya disembunyikan dari beliau. Beliau mendapat maklumat serpihan
dari pihak ketiga.

Beliau, seperti yang diakui. pernah meminta maklumat terperinci dari
Gabenor TSJH tetapi beliau disuruh pergi memintanya daripada Perdana
Menteri. Bila DSAI dilantik Menteri Kewangan, kerugian telah menggunung
- "nasi telah menjadi bubur." Apa yang boleh beliau buat hanyalah
memberhentikan pendarahan dan itu beliau telah berjaya buat.

Beliau "membuang" Gabenor dan Nor Mohamed Yakcop dari BNM pada
pertengahan tahun 1994 selepas pembentangan laporan Tahunan BNM 1993
yang mendedahkan kerugian dari spekulasi wang asing itu. Beliau juga
melarang sama sekali BNM dari bersepekulasi di pasaran matawang asing.
Larangan ini berkuatkusa hingga kini.

Penganalisis merasakan beliau akhirnya membayar kos yang tinggi atas
tindakan beliau itu - difitnah, dibuang kerja dan dipenjara 6 tahun.

Orang yang memberi  arahan supaya BNM berspekulasi di pasaran wang asing
adalah TMM dan TDZ dan "kerja kotor" diserahkan kepada TSJH dan NMY
untuk melaksanakannya.  Jadi, TSJH dan NMY mempunyai pelindung.  Sebab
itu mereka bebas, tidak didakwa langsung.

Keenam, Kenapakah orang yang bertanggungjawab dibiarkan lepas-bebas?

Nor Mohamed Yakcop dipaksa meletak jawatan pada Julai 1994, satu hukuman
yang amat ringan berbanding jenayah yang telah beliau lakukan terhadap
negara. Malah, beliau kemudiannya diberi habuan lebih besar - kembali ke
BNM dan menjadi menteri kabinet.

TSJH juga dipersilakan meletakkan jawatan tetapi dengan segera beliau
dilantik menjadi Timbalan Pengerusi  PNB sebagai habuan. Sejak dari itu,
beliau hidup murung - jarang mendapat liputan media - dan dua tahun
kemudian beliau menginggal dunia akibat penyakit barah.

Perdana Menteri dan TDZ pula tida siapa yang berani sentuh. Buat
penyiasatan mereka tidak mahu. Mereka tidak lut undang-undang.

Ketujuh, kenapakah skandal kerugian pertukaran asing BNM tidak disiasat?

Ini adalah kerana, pertama, pemimpin tertinggi negara nampaknya terlibat
dan bersekongkol dalam perjudian ini. Kedua, penyiasataan mungkin
mendedahkan banyak kepincangan dan perkara buruk yang boleh membawa
kacau bilau politik kepada golongan berkuasa. Ketiga,
perincian-perincian skandal ini mungkin terlalu mengerikan (too
gruesome) kepada umum dan boleh menyebabkan malu besar kepada golongan
berkuasa, sekiranya didedahkan.  Keempat, wujud unsur-unsur jenayah di
dalam skandal berkenaan yang boleh menyebabkan orang bertanggungjawab
masuk penjara bukan masuk kabinet seperti yang berlaku sekarang.

YB Lim Kit Siang telah mencadangan di Parlimen supaya Suruhanjaya
PenyiasatanDiraja ditubuhkan untuk menyiasat skandal kerugian pertukaran
asing ini tetapi cadangan tidak langsung diendahkan.

Kelapan, patutkah PR (jika memerintah) menyiasat kembali skandal ini?

Di Mongolia, dua orang bekas Gabenor dan tiga orang kakitangan bank
pusat negara itu telah didakwa dimahkamah atas tuduhan kecuaian dan
melebihi kuasa sehingga menyebabkan kerugian USD90 juta di pasaran
pertukaran asing.  TSJH dan NMY telah melakukan kesalahan yang lebih
besar dan menyebabkan kerugian gergasi, maka sudah sewajarnya mereka di
bawa ke muka pengadilan. Mereka mestilah disiasat. Jenayah yang terlibat
termasuklah kecuaian, menyalahgunakan kuasa, memalsukan akaun,
memesongkan maklumat, pecah amanah, konspirasi dan rasuah.

Aktiviti spekulasi yang dibuat sebenarnya berlawan dengan
prinsip-prinsip utama bank pusat. Bank pusat sepatutnya membanteras
spekulasi. Manakan boleh BNM melibatkan diri di dalam kegiatan spekulasi
di pasaran matawang asing secara besar-besaran?

Kerugian wang rakyat terlalu besar untuk dilupakan begitu sahaja. Maka
wajiblah kerajaan PR menubuhkan Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat
skandal ini walaupun ia telah terlewat 20 tahun.

Penulis mengucapkan terima kasih kepada Penang Institute kerana memberi
ruang kepada penulis untuk berkongsi maklumat dengan orang ramai.

Dr. Rosli Yaakop,
05 Jun 2012

Tiada ulasan:

Catat Ulasan