Khamis, Jun 21, 2012

Sejarah Bulan Sya'ban.

Al-Syeikh Daud bin Al-Syeikh Abdullah Al-Fatani, dalam kitabnya Jam'ul Fawaid, mencatatkan bulan Rejab, Sya'ban dan Ramadhan sebagai bulan-bulan mulia dan terkemuka diantara bulan-bulan yang lain. Ketiga-tiga bulan ini, masing-masing mempunyai keistimewaan tersendiri dalam aspek darjat kebesaran dan keberkatan serta nilai sejarahnya.

A. MAKNA DAN ASAL USUL SYA'BAN.

Rasulullah s.a.w. pernah bertanya kepada para sahabat : "Tahukah kamu kenapa bulan ini dinamakan bulan Sya'ban?" Jawab para sahabat: "Allah dan Rasul Nya lebih mengetahui." Sabda Rasulullah s.a.w. : "Sebabnya, bulan ini bercabang-cabang dan amat banyak kebajikannya."

Kalimah Sya'ban itu (dalam huruf jawi) merupakan akronim yang mempunyai lima huruf :
  1. Syin (sy) daripada kalimah syarfun, bererti kemuliaan.
  2. 'Ain (') daripada kalimah 'ulwun, bererti ketinggian.
  3. Ba' (b) daripada birrun, bererti kebajikan.
  4. Alif (a) daripada kalimah alfa, bererti berjinak-jinak.
  5. Nun (n) daripada kalimag nurrun, bererti cahaya.
Kelima-lima kalimah yang diwakili oleh setiap huruf dalam sya'ban itu adalah kurniaan Allah kepada hamba Nya khusus dalam bulan Sya'ban.

B. DARJAT YANG TINGGI SELEPAS RAMADHAN.

Sabda Rasulullah s.a.w.  : "Sya'ban itu bulanku, manakala Ramadhan itu bulan umatku. Sya'ban ialah yang mengkifaratkan dan Ramadhan itu yang menyucikan".

Ternyata sekali baginda Nabi s.a.w. meletakkan bulan Sya'ban pada darjat yang lebih tinggi daripada bulan-bulan lain kecuali Ramadhan. Dalam hadith lain Rasulullah s.a.w. menyebutkan : "Sucikan diri kamu dalam bulan Sya'ban dan elukkan niat kamu untuknya".

Mengikut riwayat yang lain, Nabi s.a.w. bersabda : "Kelebihan bulan Rejab daripada bulan-bulan yang lain seperti kelebihan Al-Quran daripada kitab-kitab yang lain. Manakala kelebihan Sya'ban daripada bulan-bulan yang lain seperti kelebihanku daripada nabi-nabi yang lain. Dan kelebihan Ramadhan daripada bulan-bulan yang lain, seperti kelebihan Allah daripada seluruh makhluk".

Menurut Aisyah r.a. : "Bulan yang paling disayangi oleh Nabi ialah bulan Sya'ban".

Oleh itu Rasulullah s.a.w. mengamalkan ibadat puasa dalam bulan Sya'ban sepenuhnya. Sedangkan dalam bulan-bulan yang lain kecuali Ramadhan, baginda tidak berbuat demikian. Hal ini menyebabkan Usamah bin Zaid berkata kepada Rasulullah s.a.w. : "Ya Rasulullah, aku lihat engkau berpuasa sepanjang bulan Sya'ban tetapi tidak demikian pada bulan-bulan yang lain kecuali Ramadhan".

Bagi menjelaskan hal itu, Rasulullah s.a.w. bersabda : "Bulan yang dilupai oleh segala manusia ialah bulan antara Rejab dan Ramadhan (bulan Sya'ban). Bulan inilah diangkat segala amal manusia dan aku sukacita amalanku diangkat ketika aku sedang berpuasa".

Kalau bulan Rejab terkenal dan dimuliakan kerana peristiwa Israq dan Mikraj, bulan Ramadhan terkenal dengan malam Lailatul Qadar, maka bulan Sya'ban pula dimuliakan kerana Malam Nisfu Sya'ban (malam 15 Sya'ban).

Berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w. malam Nisfu Sya'ban termasuk dalam senarai yang dikategorikan sebagai malam istimewa bersama dengan malam Lailatul Qadar, malam Arafah, malam Fitrah (malam Hari Raya Aidil Fitri) dan malam Nahar (malam Hari Raya Aidil Adha)

Petikan Buku : Rahsia Keajaiban & Kelebihan Bulan Rejab, Sya'ban & Ramadhan.
Tulisan : Abu Ahmad Yasin
Terbitan : Pustaka Azhar.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan