Rabu, Mei 12, 2010

Taubatnya Sekumpulan Perompak.

Pada suatu hari sekumpulan perompak sedang mara kesebuah gurun pasir untuk menjalankan kegiatan harian mereka memeras ugut setiap orang yang lalu di jalan itu dan mengambil barang-barangnya. Kerana seronoknya merompak dan mencuri, mereka tidak sempat balik ke markas sehingga malam. Mereka pun mencari tempat bermalam dan berjumpa dengan sebuah rumah yang dihuni oleh sepasang suami isteri dan anknya. Mereka pun mengetuk pintu rumah itu.

Penghuni rumah keluar dan ternyata sekumpulan orang bersenjata lengkap berdiri di hadapan pintu.
"Siapa kalian ini?" tanya tuan rumah.

Ketua perompak menerangkan bahwa mereka adalah sebahagian dari psukan tentera yang sedang berperang. Oleh kerana waktu telah malam, perang dihentikan dan mereka terpaksa mencari tempat untuk bermalam.
"Bolehkah kami ini bermalam di rumah tuan?" kata ketua perompak.
"Boleh" kata tuan rumah.

Lalu mereka dijemput masuk. Tuan rumah sangat gembira menerima tetamu para pejuang itu. Dia melayan mereka dengan sebaik-baiknya kerana ingin mendekatkan diri kepada Allah swt dan mendapatkan berkat para pejuang yang berperang dijalan Allah.

Kebetulan tuan rumah mempunyai seorang anak yang lumpuh. Walaupun usianya sudah bertahun-tahun, namun anak itu tidak dapat berdiri. Kalau berjalan hanya mengheret atau sambil duduk sahaja. Teringatlah tuan rumah bahwa orang yang berperang dijalan Allah doanya makbul dan sisa-sisa barang yang dipergunakannya mempunyai khasiat tinggi dengan izin Allah. Maka dengan keyakinan dan iktikad yang baik dan tulus ikhlas kerana Allah, tuan rumah mengambil sedikit sisa-sisa air yang dipergunakan oleh tetamunya.

Dia berkata kepada isterinya "Sila lapkan air ini pada anggota tubuh anak kita! Mudah-mudahan Allah menyembuhkannya dengan berkat para pejuang itu".

Si isteri mengikut apa yang diperintahkan oleh suaminya. Dia pun mengelap badan dan kaki anaknya dengan air sisa itu sambil berdoa kepada Allah semoga anaknya dapat berjalan berkat para pahlawan yang sedang berperang yang kini menjadi tetamunya.

Pada pagi hari, para tetamu itu minta izin untuk meneruskan 'perjuangannya'. Mereka pun pergi kesuatu tempat yang telah ditentukan. Disanalah mereka beraksi merompak dan merampas setiap barang berharga yang dijumpainya, maka banyaklah harta yang diperolehinya. Apabila hari telah petang dan menjelang malam, para perompak itu balik kerumah tuan yang ditumpangi. Sebaik saja sampai dihadapan rumah yang mereka tumpangi itu, mereka ternampak anak tuan rumah yang lumpuh itu tiba-tiba tegak berdiri dan berjalan seperti tidak pernah sakit. Mereka sangat hairan kerana pagi tadi anak itu masih berjalan mengheret tubuhnya dan sebelah petang keadaan berubah serta merta.

"Tuan, apakah ini anak yang lumpuh itu?" tanya si perompak.
Tuan rumah menjawab "Ya betul".
"Bukankah pagi tadi kami nampak dia berjalan mengheret tubuhnya?" tanyanya lagi.
Tuan rumah menjawab "Ya betul".

Kemudian tuan rumah menerangkan :"Kami mengambil sisa-sisa air yang dipakai oleh tuan sekalian, kemudian kami lapkan kepadanya dengan harapan semoga Allah menyembuhkannya dengan berkat tuan-tuan sekelaian sebagai tentera yang berjuang di jalan Allah, dan ternyata mujarab".

Mendengar keterangan itu, tiba-tiba para perompak itu menangis dan mencampakkan barang-barang yang ada di tangan mereka. Kemudian dengan terus terang mereka berkata : "Ketahuilah tuan yang baik hati, sebenarnya kami bukanlah tentera yang berjuang di jalan Allah sebagaimana yang kami dakwakan itu. Bahkan kami ini adalah sekumpulan pencuri dan perompak yang merampas barang-barang orang yang lalu lalang. Adapun kesembuhan anakmu itu tak lain hanyalah semata-mata kerana keyakinan dan iktikadmu yang tulus ikhlas kepada Allah".

Tuan rumah bersama isterinya sangat terkejut mendengar pengakuan tetamu yang dihormatinya itu. Walaubagaimana pun kedua-duanya sangat gembira kerana anaknya telah disembuhkan oleh Allah swt kerana keikhlasan dan keyakinannya dalam memberikan ubat pada anaknya.

Para perompak terus menangis dan sangat terharu terhadap keikhlasan tuan rumah yang melayani mereka. Kini mereka sedar akan kelakuan yang menyimpang selama ini. Kemudian mereka berkata : "Sekarang kami telah sedar, dan kami bertaubat kepada Allah".

Sejak peristiwa itu, para perompak bersenjata itu telah merubah corak kehidupan mereka daripada merompak dan mengugut kepada perjuangan di jalan Allah. Mereka bergabung dengan pasukan Islam menentang musuh. Senjata yang dahulunya digunakan untuk mengancam mangsa yang tidak berdosa, kini digunakannya untuk menyerang orang kafir. Begitulah kehidupan mereka hingga menemui ajal di medan perjuangan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan