Selasa, Mei 25, 2010

Cerita Sarawak.....

Hujung minggu lepas, penulis berada di Kuching, atas urusan peribadi. Pada pagi Ahad tu, berkesempatan pula bersarapan dengan kawan lama yang menjadi orang penting di salah sebuah kementerian di Negeri Sarawak. Banyak yang disembangkan, dari kisah-kisah lama, keluarga, kerjaya dan bisnes, tidak ketinggalan cerita politik tanahair terkini, khususnya PRK Sibu yang baru lepas.

Seronok bersembang dengan pegawai tinggi kerajaan ni. Apatah lagi peneraju kementerian disamping isteri yang bertugas di pejabat Ketua Menteri. Macam-macam cerita yang dapat didengar. Dari dalam dewan sehingga keluar dewan. Tambah seronok lagi semasa pertemuan itu berlangsung, dewan undangan negeri Sarawak sedang bersidang. Banyak maklumat yang diterima tetapi tidak semuanya sesuai untuk dipaparkan disini. Apapun yang nak penulis paparkan ialah tentang kekalahan BN di Sibu dari kacamata peneraju kerajaan.

Pertamanya, sebelum bicara bermula secara panjang lebar, sahabat ini memberitahu bahwa beliau tidak ke Sibu semasa tempuh kempen berlangsung. Alasan yang diberi kerana terlalu ramai pemimpin dari Semenanjung yang datang. Janji yang ditabur terlalu banyak hingga menyesakkan nafas sekiranya ia perlu ditunaikan. "Bagus juga kalah....tidaklah membebankan" ujarnya.

Sahabat ini mengakui bahawasanya BN tidak akan menerima kemenangan mudah dalam pilihanraya akan datang, samada negeri atau umum. Seandainya momentum yang ditunjukkan oleh masyarakat Cina dan pengundi muda berterusan, mereka berkemungkinan besar akan kehilangan kerusi-kerusi bandar dimana para pengundinya menerima berita daripada saluran-saluran alternatif. Ini amat dibimbangi kerana trend pengundi muda dan bukan Melayu sedang menuju kearah menolak kerajaan pimpinan Barisan Nasional.

Sambil menikmati sate dipagi hari berserta teh panas, penulis hanya menampilkan diri sebagai pendengar yang baik tanpa sebarang komen dan provokasi membangkang. Membiarkan sahabat ini berbicara tentang kerunsingan kerajaan yang sedang memerintah amat menyeronokkan. Semangat nasionalisnya amat menebal. 'Inilah kesan indroktinasi penjajah kepada anak jajahannya', bisik hati penulis. Yang tersemat didalam benak pemikirannya ialah nasib anak bangsa, 'apa kesudahnnya sekiranya negara ini bukan lagi ditadbir oleh Barisan Nasional'. Khurafat besar yang pernah disuarakan oleh al-marhum Dato' Fadhil Noor semasa hayat beliau.

Sambil ketawa sinis, penulis mengingatkan sahabat ini, sesungguhnya trend masyarakat sudah berubah. Parti yang berasaskan bangsa, kini telah mula ditolak. Sambil mengiyakannya dengan nada yang sukar, sahabat ini tetap cuba mempertahankan hujah nasionalisnya. Begitulah acuan pemikiran para peneraju dan pejuang yang berprinsip assabiyah. Dikala menerima kenyataan, masih tetap mempertahankan hujah dangkal mereka.

Apapun, penulis tetap berpendirian bahwa masyarakat Malaysia sudah pun membuat keputusan dan kini menanti untuk dimanifestasikan ke dalam kotak-kotak undi. Sama-samalah kita melihat perubahan besar ini direalisasikan dalam pilihanraya umum yang akan datang yang penulis rasakan sudah semakin hampir.

BERPADU - BERUBAH - BERKAT


Tiada ulasan:

Catat Ulasan