Rabu, Februari 17, 2010

Tahun Baru Cina vs Valentine's Day.

VS
Tahun ini dua-dua perayaan tersebut disambut serentak kerana secara kebetulan jatuh pada tarikh yang sama. Media pun nampaknya lebih tertumpu kepada sambutan Tahun Baru Cina dari Valentine's Day yang selalunya mendapat liputan meluas. Media arus perdana kali ini seolah-olahnya menyepi. Selalunya merekalah yang akan mempromosikan 'hari kekasih' dengan filem-filem barat yang bertemakan cinta dan kasih sayang. Tahun ini lain pula sandiwaranya. 'Hari Kekasih' di sajikan dengan ulasan dan kupasan ahli agama mengenai apa itu Valentine's Day sebenarnya. Apa hubungannya dengan Islam? Bolehkah orang Islam menyambut 'Hari Kekasih' yang jatuhnya pada 14 Februari setiap tahun?

Mimbar Jumaat di tempat penulis (dua hari sebelum 14 Feb) juga membicarakan tentang tajuk yang sama. Khatib meningatkan para jemaah agar tidak terpengaruh dengan sambutan tersebut yang bersumberkan daripada musuh Islam yang mempunyai agenda tersembunyi untuk merosakkan aqidah ummah. Berapa ramai remaja Islam yang rosak akhlak dan terjebak kelembah kemaksiatan akibat dari terpengaruh dengan budaya barat yang sesat dan songsang serta jauh dari nilai-nilai Islam. Pelbagai gejala keruntuhan sosial dikalangan remaja dapat kita saksikan yang disajikan di media-media cetak dan elektronik saban hari. Pihak pemerintah pula terpaksa menyediakan pusat-pusat pemulihan bagi menangani masalah ini. Bayangkan betapa banyak wang rakyat yang telah dibelanjakan.

Seingat penulis dizaman remaja dulu, anasir ini tidak hebat dihebohkan. Remaja di tahun 70an, kebanyakkannya rosak akibat penyalahgunaan dadah. Mereka tidak mengenal erti 'Hari Kekasih' bagaimana kenalnya remaja sekarang. Kalau adapun segelintir mereka yang tinggal di kota-kota metropolitan. Remaja yang mendiami kota-kota kecil dan kampung tidak mengetahuinya. Kalau ada pun sedikit info mengenainya, tidak sampai kepada menghayati lalu menjadikan ianya sebagai acara tahunan. Lalu bagaimana remaja hari ini memperolehi maklumat kalau bukan dari media. Media berperanan besar mempromosikan Valentine's Day kepada massa. Bukankah media yang menyarankan kepada pasangan kekasih agar memberi sejambak bunga kepada pasangan masing-masing kononnya sebagai tanda cinta. Hotel-hotel ternama dan restoran-restoran besar menyediakan hidangan sempena 'hari kekasih' dengan diskaun-diskaun hebat sambil dipromosikan oleh media cetak atau elektronik secara meluas.

Promosi hebat media dengan liputan meluas akan meyebabkan lekatan pada minda pendengar. Massa menerimanya sebagai satu agenda yang menyeluruh. Kesempatan ini diambil oleh remaja yang berlangbuana tanpa arah tuju yang berbekalkan sisipan aqidah yang rapuh. Gejala sosial yang telah sedia ada menjadi semakin bobrok. Kes-kes yang melibatkan remaja yang dipapar semakin hari semakin meningkat. Mereka yang tidak berkemampuan akan membawa pasangan masing-masing ditempat-tempat awam bagi turut meraikan 'hari kekasih'.

Kali ini media seakan-akan insaf dan sedar kesilapan peranan yang dimainkan. Lalu paparannya berbeda dengan yang sudah-sudah. Pendekatan agama pula yang diambil dengan tujuan untuk memberi kesedaran. Kerosakkannya sudah semakin parah. Sebagaimana biasa di negara kita ini, apabila kemusnahan berada ditahap maksima, maka ahli agama akan dicari sebagai jalan penyelesaian. Berkomentarlah para ustaz dan ustazah di akhbar dan TV berbicara persoalan yang dilontarkan. Inilah nasib ahli agama didalam sebuah negara Islam yang namanya Malaysia. Teguran awal tidak diambil peduli. Puas ahli agama berceramah dan berkuliah agar menjauhi maksiat bersandarkan firman Allah yang bermaksud "...jangan kau hampiri zina...". Hari ini kita menyedarkan massa mengenai Valentin's Day. Tetapi bagaimana program-program realiti TV yang dilambakkan dengan menjadikan golongan remaja sebagai kumpulan sasar? Bagaimana pula dengan program 'Jom Heboh' yang sangat hebat promosinya? Bukankah teguran SS Dato' Seri Harussani Zakaria, Mufti Kerajaan Negeri Perak pernah mengeluarkan kenyataan bahwa 'Jom Heboh' itu haram.

Penulis melihat, pada satu masa kita mahu memulihkan kerosakkan yang berlaku tetapi dalam masa yang sama kerosakkan itu juga terus dilakukan. Ibarat tangan kanan menghulurkan madu sebagai penawar tetapi tangan kiri terus menyuapkan racun. Akhir kalam sama-samalah kita menghayati sepotong hadith Nabi s.a.w. yang bermaksud :

Daripada Abu Said al-Khudri r.a. berkata : Bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda : " Kamu akan mengikut jejak langkah umat-umat sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga jikalau mereka masuk ke dalam lubang biawak pun kamu akan mengikuti mereka". Sahabat bertanya: "Ya Rasulullah! Apakah Yahudi dan Nasrani yang engkau maksudkan?" Nabi s.a.w. menjawab : "Siapa lagi kalau bukan mereka".
HR : Muslim.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan