وَلِكُلّ ٍوِجْهَةٌ هُوَ مُوَلِّيْهَا ، فَاسْتَبِقُواْ الخَيْرَتِ ، أَيْنَ مَا تَكُوْنُوْا يَأتِ بِكُمُ اللهَ جَمِيْعًا ، اِنَّ اللهَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْرٌ .
Maksudnya :
“Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblat) masing-masing menujunya; oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan; kerana dimana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan); sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
(Al-Baqarah : 148 )
Prof. Dr. Mahmud Yunus menjelaskan dalam tafsirnya :
Pada mulanya Rasulullah s.a.w. dan para sahabatnya mengerjakan solat dengan menghadap Baitul Maqdis sebagai kiblat sebelum turun ayat yang memerintahkan baginda dan para sahabat supaya menghadap kearah kaabah seperti yang diperintahkan dalam ayat sebelum ini.
Menghadap kearah Baitul Maqdis adalah perbuatan (sunnah) Nabi s.a.w. bukannya bersumber kepada ayat al-Quran. Penurunan ayat perintah ini hanyalah menaksihkan sunnah dengan Kitab (Quran) bukannya menaksihkan ayat Quran dengan ayat Quran.
Adapun hikmah (rahsia) menghadap kaabah itu ialah kerana ia mula-mula tempat sembahyang (beribadat) yang disuruh Allah mendirikannya di tanah Arab sebagai peringatan bahwa ia masjid lama. Dan lagi untuk pelajaran kepada orang-orang Islam supaya mereka bersatu haluan dan tujuan. Oleh itu mereka di suruh Allah menghadap kearah yang satu waktu sembahyang. Sekali-kali bukanlah bermaksud menyembah kaabah atau meminta rahmat kepadanya kerana ia terbina daripada batu-batu yang tiada melarat dan tiada pula menafaat. Tetapi kerana Allah menyuruh kita menghadap kepada Nya maka wajib kita tunduk patuh menurut perintah Allah itu. Dalam pada itu kita mempunyai kepercayaan yang tetap bahwa yang Mahakuasa hanya Allah semata-mata.
Prof. Dr. Hamka dalam tafsir al-Azhar menghuraikan :
Al-Aufi meriwayatkan daripada Ibnu Abbas mengenai tafsir ayat ini bahwa bagi tiap-tiap pemeluk agama ada kiblatnya sendiri. Bahkan tiap-tiap kabilah pun mempunyai tujuan dan arah sendiri mana yang dia sukai. Namun orang yang beriman tujuan dan kiblatnya hanya satu iaitu mendapat ridha Allah swt.
Abul Aliyah menjelaskan pula tafsir ayat ini : Orang Yahudi mempunyai arah yang ditujuinya, orang Nasrani pun mempunyai arah yang ditujuinya. Tetapi kamu, wahai umat Muslimin, telah ditunjukkan oleh Allah kiblat kamu yang sebenarnya.
Nabi Ibrahim dizaman dahulu berkiblat ke Masjidil Haram, umat Yahudi berkiblat ke Baitul Maqdis, umat Nasrani berkiblat kesebelah timur dan nabi-nabi yang lain tentu ada kiblat mereka menurut zamannya masing-masing dan engkau wahai utusan Ku; kamu mempunyai kiblat. Tetapi kiblat bukanlah asasnya kerana bagi Allah timur dan barat sama sahaja sebab itu kiblat berubah mengikut perubahan nabi. Yang menjadi asasnya ialah menghadapkan hati langsung kepada Allah.
Allah menyuruh kita فا ستبقوا الخيرت berlumba-lumba berbuat kebaikkan agar kita tidak bertengkar soal perubahan arah kiblat. Kalau orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak mahu menturuti arah kiblat kamu, biarkanlah mereka dengan kiblat masing-masing. Dalam agama tidak ada paksaan. Yang penting kita perlu berlumba-lumba dan bersegera berbuat kebaikkan sebanyak mungkin.
Sebab أين ما تكونو يأت بكومو الله جميعا dimana saja kamu berada pasti dikumpulkan Allah kamu sekelian. Biarpun kamu dalam Yahudi, dalam Nasrani dan dalam iman kepada Muhammad s.a.w., berkiblat ke Baitul Maqdis atau ke Kaabah atau kemana saja arah kiblat kamu, kamu akan dihimpun untuk menghadap Allah Yang Maha Besar dan dipersoalkan setiap amalan yang dikerjakan semasa hidup didunia.
Allah menyimpulkan ayat ini dengan kalamNya ان الله على كل شيء قدير sesungguhnya Allah maha berkuasa atas tiap-tiap sesuatu. Ayat ini adalah seruan merata / menyeluruh tidak tertumpu kepada ummat Muhammad sahaja. Ia merupakan seruan lembah wahyu kedalam masyarakat manusia berbagai agama.
Dr. Aidh al-Qarni dalam bukunya La Tahzan mengambil pengajaran dalam ayat ini dengan memperjelaskan bahwa setiap manusia itu mempunyai bakat, kemampuan dan kekuatannya sendiri. Diantara keagungan Rasulullah s.a.w. ialah memberikan tugasan kepada para sahabat baginda mengikut kemampuan dan kepakaran mereka masing-masing. Sebagai contoh : Saidina Ali r.a. diberi tugas sebagai hakim, Muadz r.a. diberi tugas untuk mengajar, Ubay r.a. diberi tugas mengajar al-Quran, Zaid r.a diberi tugas mengajar faraid, Khalid r.a. memimpin perang, Hasan r.a. mengajar syair dan Qais bin Tsabit r.a. bertugas sebagai khatib.
Dengan bakat dan kemampuan yang kita ada maka Allah menyeru agar kita berbuat kebaikkan sebanyak mungkin berpandukan bakat dan kemampuan yang dianugerahkan. Sifat rendah diri dalam melaksanakan dakwah kepada umat tidak seharusnya wujud dalam keperibadian ahli jamaah. Kita sepatutnya menjadi qudwah (ikutan) kepada masyarakat khususnya ketika ini yang tercari-cari siapakah pemimpin yang sepatutnya diikuti. Masyarakat sudah semakin sedar dan celek melihatkan gelagat segelintir kepimpinan hari ini yang sangat jauh terpesong dari landasan kepimpinan yang sebenar bahkan semakin jauh dari batas-batas agama.
Kesempatan ini seharusnya diambil oleh setiap ahli jamaah untuk menempatkan diri didalam masyarakat dan berperanan untuk membantu dan membimbing mereka kejalan yang benar. Berpandukan bakat dan kemampuan yang ada kita sepatutnya menjadi peneraju utama dalam mencorakkan masyarakat ketika ini. Inilah kesempatan terbaik untuk menonjolkan kesyumulan Islam di hati sanubari mereka yang menjadi asas dalam perjuangan kita.
Dr. Yusuf al-Qardhawi dalam memperkatakan soal perpaduan umat Islam dengan tegas mengatakan umat Islam mampu bersatu kerana mereka mempunyai :-
- Tuhan yang satu
- Kitab yang satu
- Nabi yang satu
- Qiblat yang satu
Umat Islam mempunyai arah, matlamat dan tujuan yang satu iaitu menuju kepada Lillahi Rabbil Alamin.
Slogan Ketuanan Melayu yang dilaung-laungkan sudah tidak mendapat sambutan. Semangat nasionalis dikalangan orang Melayu semakin menipis dan terhakis. Mereka kini melihat kepada satu gagasan yang lebih besar yang dapat mengatasi semangat nasionalism yang dimainkan oleh penjajah. Mereka sudah berani menolak semangat ketuanan yang dicanangkan ketelinga mereka selama 50 tahun lalu dengan mencari satu kebenaran yang datang dari Illahi. Islam adalah jawapan kepada semua persoalan ini. Hanya Islam sahaja yang dapat menyatukan seluruh ummah dengan ikatan kalimah tauhid لآ اله الا الله seperti yang dilakukan oleh baginda Nabi Muhammad s.a.w. ketika sampai di Madinah dalam peristiwa Hijratul Rasul.
Kini terserah kepada kita untuk merebut kesempatan yang terhidang dihadapan kita .
Apakah kita sudah bersedia ????
Tiada ulasan:
Catat Ulasan