Isnin, Ogos 31, 2009

Perutusan Hari Kemerdekaan Negara Ke-52 Presiden PAS.



Perjuangan Menuntut Kemerdekaan Belum Selesai – Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang

Bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Ke-52 Kemerdekaan Negara, bagi pihak Parti Islam Se-Malaysia (PAS) suka saya mengulangi bahawa pemimpin-pemimpin ulung PAS adalah golongan yang pertama melibatkan diri dengan perjuangan kemerdekaan negara ini.

Mereka menjadi mangsa kezaliman di zaman penjajah. Ketika itu, banyak di kalangan pemimpin negara kita (Umno) bersekongkol dengan penjajah menjadi pegawai-pegawai mereka.
Namun kita tidak menyerah kalah. Kita adalah yang pertama memperjuangkan kemerdekaan (yang) merupakan mata rantai perjuangan sejak kedatangan Islam yang membawa kemerdekaan sebenar.
Kemerdekaan yang dibawa oleh Nabi Muhamad SAW ialah pembebasan manusia daripada mengabdikan diri kepada makhluk kepada hanya mengabdikan diri kepada Allah SWT.
Itulah makna kemerdekaan yang sebenar.
Oleh kerana itu, Nabi kita Muhamad SAW dalam perjuangannya yang pertama menentang jahiliah Arab. Bukan jahiliah bangsa lain sehingga berjihrah ke Madinah mendirikan Negara Islam.

Sebuah Negara yang berlandaskan kepada pengabdian diri kepada Allah Ta’ala yang membawa keadilan mutlak kepada seluruh manusia.

Bukan sahaja kepada penganut Islam bahkan, juga kepada penganut-penganut agama lain yang bernaung di bawah pemerintahan Islam. Selepas itu, Nabi kita Muhamad SAW datang ke Mekah untuk membebaskan Mekah daripada kuasa jahiliah.

Pembebasan Mekah bukan kerana dijajah oleh penjajah asing Rom dan Parsi. Tetapi dijajah oleh jahiliah Arab dari kalangan kaum keluarga Nabi SAW. Sehingga Mekah dibebaskan dan itulah kemerdekaan sebenar.

Dan ‘obor’ kemerdekaan inilah yang dibawa oleh Rubi’e bin Amer kepada Rostum iaitu panglima tentera Parsi dengan kenyataan Rub’ie yang terkenal.

Kata Rubie, ”Kami mengajak sesiapa yang mahu kepada satu gagasan dasar dan konsep daripada mengabdikan diri kepada manusia kepada mengabdikan diri kepada Allah. Daripada kezaliman ajaran pelbagai-bagai agama, teori dan pendekatan ciptaan manusia kepada mengabdikan diri kepada Allah SWT”. Daripada dunia yang sempit kepada wawasan dunia sehingga hari akhirat”.

Itulah kemerdekaan yang dibawa oleh Nabi Muhamad SAW. Kemerdekaan inilah yang didokong oleh perjuangan Islam termasuk Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

Kita menentang penjajah asing bukan kerana nama asingnya. Tetapi kerana mereka membawa satu fahaman yang mengabdikan diri kepada makhluk dan bukan mengabdikan diri kepada Allah SWT. Kita halau mereka bukan kerana nama dia asing tetapi kerana mereka membawa suatu ajaran sesat yang menyeleweng dari petunjuk Allah SWT.

Walau pun, negara kita telah dikatakan mencapai kemerdekaan sejak 52 tahun tetapi warisan penjajah masih lagi wujud. Bertapak dan berakal umbi di dalam masyarakat kita.

Oleh kerana itu, kita menganggap isu perjuangan kemerdekaan belum lagi selesai.

PAS akan terus berjuang untuk membawa kemerdekaan yang sebenarnya. Iaitu membebaskan diri manusia dari mengabdikan diri sesama manusia, sama ada berbentuk ideologi, teori dan sebagainya atau pun kepimpinan yang berlagak mengadakan peraturan sendiri dalam perkara yang tidak diizinkan oleh Allah SWT.

Untuk mengajak mereka membebaskan diri daripada itu semua kepada Islam yang membawa kepada kemerdekaan yang sebenar dan itulah dasar serta konsep kemerdekaan yang kita bawa selama ini.

Sekian, Wassalam

Khamis, Ogos 27, 2009

Allah mentarbiah RasulNya melalui semut.


Al-Quran merakamkan empat orang yang diberi kuasa bergelar raja yang menjadi panduan hidup manusia di dunia. Dua daripadanya beriman kepada Allah manakala dua lagi mengingkari serta kufur kepada Allah swt. Yang beriman ialah Nabi Allah Sulaiman a.s. dan Nabi Allah Yusuf a.s. dan yang kufur pula ialah Firaun dan Namrud laknatullah. Firaun berhadapan dengan Nabi Musa a.s. manakala Namrud pula berhadapan dengan Nabi Ibrahim a.s.

Tulisan ini akan menyingkap bagaimana kehebatan Allah mentarbiah Nabi Nya yang diberi kuasa untuk menjadi raja bukan sahaja kepada manusia tetapi diberi mukjizat sehingga mampu mentadbir urus jin dan juga binatang hanya melalui seekur serangga sekecil semut.

Al-Quran mengisahkan, ketika Nabi Sulaiman berserta bala tenteranya sedang dengan tertib beratur dalam satu barisan melewati suatu lembah maka kedengaran seekur semut berkata memberi arahan "Hai semut-semut semua, masuklah sekelian kamu ke dalam sarang-sarangmu, agar kamu tidak dipijak oleh Sulaiman dan bala tenteranya dari kalangan manusia, sedangkan mereka tidak menyedarinya". Ketika itu Nabi Sulaiman a.s. terdengar raja semut berdoa kepada Allah swt dengan lafaz :

"Wahai Tuhanku, berilah aku ilham untuk tetap mensyukuri akan nikmat Mu yang Engkau berikan kepadaku dan kepada kedua ibu-bapaku, dan untuk tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai, dan masukkanlah aku dengan rahmat Mu kedalam golongan hamba-hamba Mu yang soleh" (Surah an-Naml : 19)

Sulaiman a.s. tersenyum mendengar bicara semut lalu menadah tangan berdoa dengan lafaz yang sama untuk mensyukuri kurniaan yang diberi Allah kepadanya. Dalam konteks ayat ini Nabi Sulaiman a.s. mensyukuri dua perkara :
  1. Baginda diberi pengetahuan yang tinggi sehingga mampu berkomunikasi dengan burung dan haiwan-haiwan lainnya.
  2. Dilahirkan dari keluarga yang berpegang teguh dengan ajaran Allah dan beriman kepada Nya disamping dikurniakan kerajaan dan kekuasaan yang besar yang diwarisi daripada ayahandanya Nabi Daud a.s.
Ditengah-tengah ketinggian ilmunya, kebesaran singgahsana dan kekuasaannya, Sulaiman tidak lupa diri, bahkan memohon agar tidak terjerumus kedalam kekufuran nikmat yang sangat dilaknat hingga akhir hayatnya. Inilah doa munajat Nabi Allah Sulaiman a.s. ketika mendengar raja semut memberi arahan kepada anak buahnya.

Selain Nabi Sulaiman a.s. rasanya tidak kedapatan seorang raja pun yang mampu menandingi kehebatan yang diberi Allah kepadanya. Sekiranya Sulaiman yang begitu tinggi ilmu dan kekuasaannya mampu tunduk dan belajar daripada seekur semut, kenapa manusia hari ini yang tidak sampai kemana kekuasaan dan kehebatannya, begitu egois sehingga kelihatan tidak layak menerima teguran dan nasihat daripada masyarakat bawahan.

Manusia jarang sekali bersyukur diatas nikmat yang Allah kurniakan kepada mereka. Maka itu Allah swt merakamkan menerusi al-Quran melalui firman Nya dalam ayat diatas bagi menyedarkan manusia supaya sentiasa mensyukuri nikmat yang telah dianugerahkan disamping mendidik agar tidak lupa diri dengan pangkat dan kedudukan yang bersifat sementara. Bagi mereka yang menjadikan al-Quran sebagai pedoman hidup, maka mereka akan terdidik melalui ayat-ayat Allah dan terus bermunajat agar menjadi insan yang soleh yang mematuhi setiap perintah Nya seperti yang digambarkan dalam ayat ke19 surah an-Naml ini.

Inilah proses pentarbiahan Allah keatas hamba-hamba Nya dengan menjadikan alam ini keseluruhannya sebagai pedoman dan pengajaran. Proses ini akan berterusan sehingga dunia ini sampai ke penhujungnya. Setiap perubahan yang berlaku kepada alam ini merupakan peringatan Allah kepada mereka yang berfikir. Orang-orang yang beriman akan sentiasa memandang perubahan yang berlaku sebagai satu amanat yang disampaikan Allah agar mereka mensyukuri segala nikmat yang diberi disamping memperlengkapkan diri dengan amalan-amalan soleh yang diredhai Nya.

Nabi s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud :
"Apabila Allah swt ingin berbuat kebaikan kepada seseorang, Dia akan memberinya pemahaman terhadap agama (al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad s.a.w.) Aku hanyalah orang yang menyampaikan tetapi Allah 'Azza wa Jalla yang memberikan pahalanya. (Dan ingatlah) bahwa umat ini (Muslim, para pengikut tauhid) akan tetap mengikuti perintah-perintah Allah (mengikuti al-Quran dan sunnah Nabi s.a.w. dan mereka tidak akan pernah dikalahkan orang-orang yang menentang mereka hingga datangnya hari kiamat)".
HR : Imam Bukhari (1:72-S.A.)

Rasulullah s.a.w. sendiri menekankan betapa pentingnya umat Islam perlu memahami al-Quran dan sunnahnya sehingga baginda menjamin mereka-mereka ini tidak mampu ditewaskan sehingga datang hari kiamat. Kalau semut berdoa kepada Allah agar diberi hidayah untuk bersyukur dan tergolong dalam hamba-hamba yang soleh, maka sudah semestinya manusia berlebih-lebih lagi. Oleh itu marilah kita sentiasa memanjatkan doa kehadrat Allah swt semoga segala kerja buat kita mendapat keredhaan Nya. AMIN!

Rabu, Ogos 26, 2009

Semangat Manek Urai Tertimbus di Permatang Pasir.



Bala tentera Barisan Nasioanal semasa hendak menjejakkan kaki mereka ke Permatang Pasir, dengan lantang bersuara melalui jenderal-jenderal mereka "Kami datang dengan Semangat Manek Urai!". Maka bertempeklah para soldadu berbaju biru berlambang dacing dengan gahnya melangkah ke arena Permatang Pasir dengan harapan menggunung mengharapkan dapat menguasai permainan pada kali ini. Tetapi nasib malang terus dirundung buat ketujuh kalinya. Semangat Manek Urai sekali lagi terburai ditimbus pasir di Permatang Pasir. Mempertaruhkan calun yang penuh kontroversi, berpencaklah para hulubalang mereka mempertahankan diri daripada rejaman lembing dan panah yang bertali arus. Berbekalkan perisai RM (Ringgit Malaysia) maka bersimpang siur kaki mereka melangkah mengelak tikaman. Dihujung pertarungan dengan nada penuh keletihan, maka kedengaran sayup-sayup suara jenderal mereka merintih "dapat kurangkan majoriti jadilah....." Petanda awal maut sudah diambang pintu.

Begitulah senario PRK Permatang Pasir yang dapat diamati menerusi media arus perdana dan media alternatif dari mula wisel permulaan ditiup. Serangan yang dihalakan kepada PAS akhirnya berpatah balik kearah mereka. Apa lagi agaknya yang ada dalam benak pemimpin UMNO sekarang ini. Janji-janji pembangunan seperti jambatan, lebuhraya bertingkat, bangunan bertingkat-tingkat, mangkuk tingkat dsb tak kedengaran di Permatang Pasir. Strateji yang digunakan ialah mendekati hati pengundi tetapi mereka tak tahu yang para pengundi kini dah jauh hati dengan mereka. Berduyun-duyun pakcik-pakcik, makcik-makcik, abang-abang, kakak-kakak dan adik-adik berlenggang dari satu rumah ke satu rumah, membawa beg berisi telekung, kain pelekat, kain batik, sejadah dan bermacam-macam jadah lagi (bukan juadah) konon untuk mengambil hati pengundi. Ternyata UMNO memang tak pandai apabila diajar. Sekarang para pengundi bukan macam dulu, setiap pemberian akan dibalas dengan undi. Kini mereka dah cerdik, setiap pemberian tidak semestinya dibalas dengan undi. Moto mereka sekarang ialah : 'Kasi ambil, undi bagi kat lain'.

Mari kita sorot keputusan PRK DUN PERMATANG PASIR N 11 berbanding PRU ke 12

TAHUN : 2008

PARTI BERTANDING

JUMLAH UNDI

MAJORITI

PERATUS KELUAR MENGUNDI

PAS

11004

5433

82.57%

BN

5571



TAHUN : 2009

PARTI BERTANDING

JUMLAH UNDI

MAJORITI

PERATUS KELUAR MENGUNDI

PAS

9618

4551

73.1%

BN

5067



JUMLAH SUSUTAN

PARTI BERTANDING

JUMLAH UNDI

MAJORITI

PERATUS KELUAR MENGUNDI

PAS

1386

882

9.47%

BN

504



Dari angka diatas menunjukkan terdapat penurunan dari segi undi. Susut undi bukan hanya berlaku kepada PAS tetapi juga kepada UMNO/BN dan peratus keluar mengundi. Ini menunjukkan PAS masih mampu mempertahankan kemenangan dengan majoriti yang besar. UMNO/BN hendaklah sedar bahwa rakyat sudah bosan dengan mereka. Tak payahlah nak kaji selidik angka majoriti yang PAS dapat. Meningkat atau menurun UMNO kini sudah tidak diperlukan lagi untuk membela rakyat. Macam-macam berlaku sejak Satu Malaysia ambil alih teraju kepimpinan negara. Pembohongan demi pembohongan mula terbongkar. Sudah tiba masanya rakyat bertindak untuk memberhentikan segala kedurjanaan buatan UMNO/BN.Tahniah kepada pengundi Permatang Pasir kerana konsisten menolak UMNO/BN.

Sehingga bertemu lagi dipilihanraya-pilihanraya yang akan datang diucapkan Selamat Berjuang.

TAKBIR !

Selasa, Ogos 25, 2009

Fahaman Kebangsaan (Bhg 3).

FAHAMAN KEBANGSAAN YANG DITEGAH DAN YANG DIHARUSKAN OLEH ISLAM.

Sebenarnya bukan semua semangat kebangsaan dan Qaumiyyah ditegah atau dilarang oleh Islam. Bahkan ada yang diharuskan atau dibolehkan dan ada yang ditegah dan diharamkan. Artikel ini akan menghuraikan tiap-tiap satu yang dimaksudkan.

Al-Syeikh Muhammad Mahmud al-Showwaff, Hassan al-Bana dan ulama'-ulama' yang lain membahagikan al-Qaumiyyah itu kepada dua jenis. Pertama yang diharuskan atau dibolehkan. Kedua yang ditegah dan diharamkan.

1) Kebangsaan yang diharuskan.

(i) Qaumiyyah atau semangat kebangsaan yang boleh melahirkan rasa kasih dan sayang seseorang kepada bangsanya atau kepada keturunannya serta kepada negaranya sehingga apabila bangsanya disanjung orang ia turut merasa gembira dan jika dihina atau dizalimi dia turut berasa sedih dan resah. Perasaan kasihkan bangsa dan negaranya sendiri seperti ini merupakan suatu fitrah (sifat semulajadi) seseorang manusia. Allah menjadikan manusia berpuak-puak dan berbangsa-bangsa dan tiap-tiap bangsa dan puak itu akan kasih kepada bangsa dan puaknya. Allah menjelaskan hal ini di dalam al-Quran menerusi fimanNya yang bermaksud :

"Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulai-mulia kamu disisi Allah ialah yang lebih taqwanya diantara kamu (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu). al-Hujurat :13

Baginda sendiri bersabda :
أحب العرب لثلاثة لأ ننى عربي ولغة القرآن عربية ولغة أهلى الجنة عربية
"Aku sayangkan Arab kerana 3 sebab : pertama kerana aku berbangsa Arab, kedua kerana bahasa al-Quran adalah bahasa Arab dan ketiga kerana bahasa ahli syurga adalah bahasa Arab".

(ii) Rasa cinta dan kasihkan tanahair dan negara sendiri diatas dasar rasa tangungjawab untuk membebaskan negara daripada cengkaman penjajah dan mengembalikan kemerdekaan serta kemuliaan rakyat supaya rakyat dan negara menjadi maju dan kekal bersama Islam.

(iii) Segala usaha dan perjuangan untuk meluaskan pengaruh Islam ke seluruh negara di dunia atau untuk keagungan Islam dalam keadaan Islam dijadikan sistem hidup dan peraturan hidup bermasyarakat.

(iv) Segala usaha untuk menguatkan ikatan persaudaraan dan kelompok masyarakat didalam sesebuah negara demi untuk menjaga kepentingan bersama berasaskan ajaran Islam (tidak bertentangan dengan ajaran Islam) dan bukan berasaskan kepada semangat kebangsaan.

2) Kebangsaan yang ditegah dan diharamkan.

Diantara fahaman kebangsaan yang ditegah dan diharamkan serta dianggap bercanggah dengan ajaran Islam dan mesti ditentang ialah :

(i) Apabila menjadikan semangat kebangsaan atau Qaumiyyah sebagai satu pegangan dan aqidah sehingga ditukarkan pegangan atau aqidah Islam dengan pegangan kebangsaan dan mereka ta'assub atau sayang kepadanya lalu menentang apa-apa ajaran yang berlawanan dengan kebangsaannya.

(ii) Apabila dijadikan Qaumiyyah sebagai satu fikrah atau ideologi politik dan sebagai satu sistem kemasyarakatan untuk mentadbir urusan hidup ummah. Dijadikan semangat kebangsaan itu sebagai asas perjuangan mereka. Dilaungkan semangat kebangsaan dan dipujanya lambang-lambang kebangsaan.

(iii) Usaha kearah perpecahan ummah supaya menjadi berpuak-puak dan berkelompok-kelompok tertentu dengan tujuan untuk melahirkan perbalahan dan permusuhan sesama Islam.

(iv) Menghidupkan adat resam ala jahiliyyah serta menghidupkan sifat-sifat perkauman ala jahiliyyah atau menghidupkan kebudayaan kebangsaan dan adat resam yang berlawanan dengan ajaran Islam.

Melihat kepada kedua-kedua jenis Qaumiyyah di atas, dirasakan Qaumiyyah di Malaysia lebih hampir kepada Qaumiyyah yang kedua yang ditegah oleh Islam. Ini kerana ia dijadikan fahaman kebangsaan Melayu sebagai ideologi politik dan semangat perjuangan.

Rujukan : Nota Pengajian Diploma Tasawwur Islam ILH 203 (Aqidah Islamiyyah).

Isnin, Ogos 24, 2009

Wasiat Alqamah kepada anaknya mengenai sahabat.

Manusia yang tidak tahu takut kepada Allah swt tidak selamat daripada bahayanya, mereka akan melakukan perkara bahaya sama ada dari sudut bahaya didunia atau akhirat. Ini kerana orang yang tidak tahu takut kepada Allah swt tiada suatu yang mengerunkan hatinya. Oleh yang demikian tidak sayugia berkawan rapat dengan orang jahat fasik).

Manusia yang tidak tahu takut kepada Tuhan akan banyak menimbulkan masalah. Orang jahat (fasik) tidak boleh diletakkan kepercayaan untuk bersahabat. Bahkan orang fasik itu pendiriannya boleh berubah-ubah dengan berubahnya tujuan, pada mulanya bertujuan hendak berkawan cara yang lazim. Apabila dirasakan tidak mencapai hasratnya, lalu dilakukan pengkhianatan terhadap seseorang diluar dugaan. Seperti dijelaskan menerusi firman Allah yang bermaksud "Dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya telah Kami lalaikan daripada mengikuti Kami, serta menuruti hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melewati batas" (Surah al-Kahfi ayat : 28)

Dalam ayat ini Allah swt melarang mengikuti orang yang hatinya lalai. Maksud lalai ialah orang yang tidak melaksanakan setelah diberi tugas. Bukannya didorong rasa malas tetapi hilang tumpuan (fokus), lantaran dikhayalkan oleh situasi persekitaran yang bukan jadi matlamatnya.

Manusia dijadikan Allah swt didunia ini mempunyai tugas tertentu iaitu dinamakan 'ubudiyyah', sebarang kerja yang dilakukan mestilah menepati dengan kehendak Allah swt. Samada kaya atau miskin, berilmu atau jahil, raja atau rakyat, hakikatnya adalah sebagai kuli Tuhan. Sifat kuli mesti melakukan apa juga tugas yang diserah oleh majikannya.

Manusia akan bertemu dengan pelabagai anugerah Allah swt, setelah menikmati kunia Allah lantas melupaiNya. Mungkin disebabkan didikan keluarga tidak menjurus kearah itu. Leka dengan pengaruh sahabat handai yang lalai, maka putus hubungan antara dirinya dengan tugas yang ditetapkan oleh Allah swt. Tugas asal manusia ialah bagaimana sewajarnya mengatur kehidupan di dunia ini agar mencapai selamat sejahtera di akhirat. Firman Allah yang bermaksud : "Maka berpalinglah (hai Muhammad) daripada orang yang berpaling daripada peringatan Kami, dan tidak mengingati kecuali kehidupan duniawi. Itulah sejauh-jauh pengetahuan mereka". (Surah an-Najm ayat : 29 dan sebahagian ayat 30)

Timbul persoalan dimana terdapat suruhan supaya mendekati golongan tersebut untuk mendakwah dan menasihati mereka, tetapi dalam ayat diatas Allah swt perintahkan RasulNya supaya berpaling daripada mereka. Perintah Allah dalam ayat 29 dalam surah an-Najm itu ialah terhadap golongan fasik yang tidak khianat dan buat gangguan kepada Islam. Jika mereka mengganggu atau menyerang kamu, Allah swt mengingatkan umat Islam tentang kaedah seimbang menghadapinya seperti firmanNya yang bermaksud :"Oleh itu barang siapa yang menyerang kamu, maka seranglah ia, seimbang dengan serangannya terhadapmu. Bertakwalah kepada Allah dan ketahuilah bahwa Allah berserta orang-orang yang bertakwa". (Surah al-Baqarah ayat: 194)

Ayat diatas itu ialah dasar takwa, maka serang balas sekadar seimbang sebagaimana serangan yang telah mereka lakukan. Tidak melebihinya. Firman Allah lagi yang bermaksud :".....Dan ikutilah jalan orang yang kembali kepadaKu, kemudian hanya kepada Ku lah kembalimu, maka Ku beritalah kepadamu apa yang telah kamu kerjakan" (Surah Luqman sebahagian ayat 15). Orang sentiasa berazam hendak kembali kepada Allah swt mesti sentiasa membuat persiapan bekalan. Ini kerana tidak mungkin kembali ke akhirat dengan tangan kosong. Ada orang yang tidak langsung ingat yang dirinya akan kembali kepada Tuhan.

Mahfum daripada ayat-ayat diatas itu meskipun berlainan maknanya tetapi satu tujuan, iaitu untuk menakutkan kita berkawan rapat dengan orang fasik. Boleh bertegur sapa terhadap orang fasik, diharuskan berhubungan disudut lain seperti muamalah berjual beli. Berkawan rapat dengan orang fasik sememangnya ditegah oleh Allah swt, ditakuti akan dipengaruhi olehnya. Bukan sekadar memberi kesan buruk didunia bahkan diakhirat.

Seorang alim bernama Alqamah telah berwasiat kepada anaknya : "Apabila tercetus dihatimu untuk berkawan dengan seseorang, pastikan jika engkau berkhidmat dengannya, dia boleh kawal dirimu. Andainya kau bersahabat dengannya dia boleh menghiasi dirimu, sekiranya suatu ketika kamu kekurangan belanja dia boleh berbelanja untuk kamu. Bersahabatlah sekiranya kamu hulur satu kebaikan lalu orang itu pun berbuat demikian, apabila dia melihat kebaikan daripadamu lantas dikutipnya dan dihimpun kerana menghargainya. Apabila melihat keburukanmu lantas ditutupnya, bersahabat rapatlah kamu kepada orang yang jika kamu meminta sesuatu (nasihat atau apa sahaja) lantas dia memberimu segera. Apabila kamu berdiam diri tidak meminta sesuatu darinya, dia menunjukkan rasa resah gelisah. Sekiranya bala menimpamu, dia merasa simpati dan timbang rasa. Bersahabatlah apabila kamu berkata sesuatu, dia mengiyakan sahaja. Sebarang perkara usaha bersungguh yang kamu hendak lakukan, dia segera memberi sokongan. Dia segera mengalah ketika berbalah denganmu".

Demikianlah wasiat Alqamah kepada anaknya yang sangat tinggi nilainya.

Petikan : Mauidzah : Tuan Guru Nik Abddul Aziz Nik Mat (Harakah 3-6 Ramadhan 1430/24-27 Ogos 2009)

Sabtu, Ogos 22, 2009

Fahaman Kebangsaan (Bhg 2).

ANASIR / CIRI-CIRI FAHAMAN KEBANGSAAN.

Pendokong fahaman kebangsaan dan pejuangnya mengatakan bahwa fahaman tersebut mempunyai beberapa ciri penting. Tanpa ada ciri-ciri tersebut sesuatu fahaman kebangsaan itu tidak boleh dilahirkan dan tidak wujud. Ciri-ciri tersebut seperti ciri asal keturunan dan darah yang sama (satu keturunan), bahasa yang sama (satu bahasa), negara yang sama dan kepentingan bersama.

Walaupun begitu, ciri-ciri tersebut dikritik oleh golongan yang tidak bersetuju dengan pandangan diatas. Digariskan disini ulasan ciri-ciri tersebut dan kritikannya.

1) Keturunan dan daerah yang sama.

Penyokong fahaman kebangsaan mengatakan; untuk membentuk suatu bangsa yang sama berjuang mempertahankan kebangsaan yang sama, hendaklah bangsa tersebut terdiri daripada satu asal keturunan dan darah yang sama atau mestilah mereka dari rumpun bangsa yang satu, tidak dari rumpum bangsa yang berbilang-bilang. Umpamanya bangsa Jerman untuk bangsanya sahaja iaitu dari bangsa 'Aria' yang terpilih.

Orang Yahudi yang membela kebangsaan Yahudi, mereka terdiri daripada satu rumpun keturunan bangsa yang satu iaitu bangsa pilihan Allah yang mulia. Orang Melayu yang memperjuangkan kebangsaan Melayu umpamanya, mereka adalah berasal daripada satu rumpun bangsa Melayu yang mendiami Tanah Melayu, bukan bangsa lain dan begitulah seterusnya.

Ciri ini dikritik oleh golongan lain, mereka mengatakan apa yang sebenarnya keturunan sesuatu bangsa itu telah bercampur aduk dari pelbagai keturunan dan darah yang berbeza. Mereka mengatakan tidak ada suatu bangsa pun yang keturunannya tidak bercampur dengan pelbagai keturunan yang lain. Umpamanya bangsa Arab telah bercampur dengan pelbagai keturunan. Ada yang bercampur dengan Turki, Iran dsb. Bangsa Melayu umpamanya, darahnya telah bercampur dengan pelbagai keturunan seperti bangsa Jawa, Bugis, Arab dsb. Maka mengikut golongan ini hampir tidak ada satu bangsa pun yang berasal dari darah yang satu.

2) Bahasa yang sama (satu bahasa).

Suatu bangsa yang memperjuangkan suatu fahaman kebangsaan itu; mereka mestilah mempunyai atau menggunakan satu bahasa yang sama. Tidak banyak bahasa, umpamanya pejuang-pejuang kebangsaan Arab, mereka mempunyai satu bahasa sahaja iaitu Bahasa Arab. Golongan yang membela kebangsaan Melayu mereka menggunakan satu bahasa iaitu Bahasa Melayu. Begitulah seterusnya.

Ciri ini pun turut dikritik oleh golongan yang menentang. Mereka berkata; ini tidak boleh diterima sebab terdapat banyak bangsa didunia ini yang membela kebangsaan yang satu tetapi mempunyai banyak bahasa. Umpamanya negara Switzerland yang mempunyai satu bangsa (bangsa Switzerland) tetapi mempunyai 3 bahasa yang berlainan. Penduduk India yang mempunyai satu bangsa, penduduknya menggunakan hampir 300 bahasa yang berlainan. Begitu juga Pakistan mempunyai satu bangsa tetapi menggunakan 3 bahasa. Begitulah seterusnya.

Orang Melayu yang memperjuangkan semangat kebangsaan Melayu, mempunyai pelbagai bahasa selain daripada bahasa kebangsaan seperti bahasa Jawa, bahasa Bugis, bahasa daerah Kelantan, Kedah dsb.

Selain itu terdapat pula bangsa yang berlainan tetapi menggunakan satu bahasa sahaja. Seperti bangsa Amerika, Inggeris dan Australia. Ketiga-tiganya adalah bangsa yang berlainan tetapi kesemuanya menggunakan satu bahasa iaitu bahasa Inggeris.

3) Ciri bumi dan tanahair adalah satu.

Satu lagi ciri kebangsaan ialah suatu bangsa yang memperjuangkan suatu semangat kebangsaan mestilah mempunyai bumi yang sama atau satu tanahair. Umpamanya mereka yang memperjuangkan kebangsaan Melayu (Tanah Melayu atau Malaysia). Mereka yang memperjuangkan kebangsaan Arab mestilah mendiami bumi Arab. Mereka yang memperjuangkan kebangsaan Turki mestilah mendiami negara Turki. Begitulah seterusnya.

Ciri-ciri ini juga tidak terlepas dari dikritik. Ini kerana apa yang dilihat, dibumi yang sama kadang-kadang didiami oleh pelbagai bangsa dan terkadang bangsa yang satu mendiami negara yang banyak. Umpamanya negara Arab didiami oleh bangsa Assyiria, Fir'aun, Finikia dan negara Arab itu sendiri sebenarnya bukan sebuah tetapi hampir berpuluh buah.

4) Mempunyai kepentingan bersama.

Para pejuang kebangsaan mengatakan sesuatu kebangsaan itu mestilah mempunyai kepentingan bersama yang diperjuangkan dimana semua rakyatnya sepakat memperjuangkan kepentingan bersama. Contohnya; masing-masing berjuang untuk mempertahankan kemerdekaan negaranya atau membangun dan memajukan negaranya.

Ciri ini juga turut dikritik dengan mengatakan pendapat tersebut tidak boleh diterima kerana kepentingan bersama itu kadang-kadang bukanlah menjadi hak sesuatu bangsa tertentu sahaja tetapi dikehendaki oleh banyak negara dan menjadi hak bersama. Umpamanya satu masa dahulu Amerika dan Rusia yang merupakan dua negara yang berlainan tetapi pernah mempunyai kepentingan bersama iaitu keperluan bersatu untuk menentang Nazi. Namun setelah mereka berjaya, mereka mula berkelahi semula.

Mereka juga seperti negara-negara yang membuat perjanjian Nato yang terdiri daripada Turki, Perancis, Inggeris dsb adalah negara-negara yang berlainan tetapi mempunyai kepentingan bersama iaitu semuanya mahu menentang Komunis. Sedangkan mereka bukan dari satu bangsa yang memperjuangkan satu kebangsaan.

Tetapi walau bagaimanapun ciri-ciri tersebut dianggap oleh ramai orang sebagai ciri-ciri penting yang perlu ada pada sesuatu perjuangan kebangsaan sesuatu bangsa.

Rujukan : Nota Pengajian Diploma Tasawwur Islam ILH 203 (Aqidah Islamiyyah).


Rabu, Ogos 19, 2009

IHYA' RAMADHAN

KAWASAN KULAI JAYA

PAS Kawasan Kulaijaya akan mengadakan beberapa program sepanjang bulan ramadhan ini bertempat di PUSTAKA (Pusat Tarbiah Kawasan Kulai) Taman Desa, Kulai. Jadual program adalah seperti berikut :

1. Solat Terawih dan tadarrus al-Quran pada setiap malam.

2. Majlis berbuka puasa pada setiap hari Isnin dan Khamis bermula pada
24/8/09 dan berakhir pada 17/9/09.

3. Tazkirah ramadhan seperti berikut :
24/8/09 (Isnin) : Ustaz Taib
27/8/09 (Khamis) : Ustaz Tuan M.N.
31/8/09 (Isnin) : Ustaz Erwan
3/9/09 (Khamis) : Ketua Lajnah Tarbiah Kawasan
7/9/09 (Isnin) : YDP Kawasan
10/9/09 (Khamis) : Ustaz Shukri
14/9/09 (Isnin) : Ketua Urusan Ulama' Kawasan
17/9/09 (Khamis) : Naib Ketua DPP Kawasan

Muslimin dan muslimat diseluruh kawasan Kulai dipersilakan hadir. Jaduah berbuka puasa akan disediakan.