Isnin, Julai 04, 2011

Ceramah Sempena Nisfu Sya'ban.


  • Tarikh : 15 Julai 2011 bersamaan 13 Sya'ban 1432H (Jumaat)
  • Tempat : PASTI Ar-Raudah Taman Manis, Kulai.
  • Masa : 9.00mlm
  • Penceramah : Al-Fadhil Ust. Idris Ahmad (AJK PAS Pusat)
SEMUA DIJEMPUT HADIR.

Isnin, Jun 20, 2011

Bukti : Dekatnya PAS dengan rakyat .

Kunjungan bersama Sdr Mazlan Aliman selaku AJK PAS Pusat dan sebagai Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Johor yang baru dilantik ke Kampung Melayu Sedenak pada 19 Jun 11 yang lalu, mendapat maklum balas yang baik daripada keluarga yang dikunjungi sebelum ini. Dua orang individu (seorang pemuda cacat dan seorang ibu yang cacat penglihatan dan pendengaran) telah menerima hikmah besar daripada kunjungan PAS hampir setahun yang lalu. Semasa kunjungan sebelum menjelang Ramadhan tahun lalu, kedua-dua insan ini tidak mempunyai sebarang pengenalan diri sehingga membuatkan mereka tidak mendapat sebarang bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat. Berita mereka telah disiarkan didalam akhbar Sinar Harian dan juga beberapa akhbar yang lain khususnya mengenai ibu tunggal yang ditinggalkan oleh anaknya.

PAS Kawasan Kulai telah mengambil tindakan dengan membawa mereka berdua ke Jabatan Pendaftaran Negeri untuk melalui proses mendapatkan Kad Pengenalan. Semasa kunjungan pada hari Ahad lalu, ketibaan kami telah disambut dengan penuh rasa kesyukuran sambil menunjukkan kad pengenalan diri yang telah diperolehi oleh kedua insan istimewa ini. Bukan sekadar itu sahaja, mereka melahirkan perasaan terima kasih yang tidak terhingga kerana dengan Kad Pengenalan tersebut, kini kedua-duanya telah menerima bantuan tetap bulanan daripada JKM.

Gambar ketika ziarah Ramadhan PAS Kulai tahun lalu yang kini membawa seribu erti.

Ibu Safiah bte Omar menunjukkan K/P yang diperolehi.

Dengan K/P telah melayakkan insan ini menerima bantuan bulanan daripada JKM.

Mazlan dan Sdr Salleh bergambar dengan dua insan istimewa ini sambil menunjukkan K/P masing-masing.

Kunjungan ini juga menemukan kami dengan sebuah keluarga miskin yang kini telah menerima bantuan rumah di bawah program PPRT. Keluarga itu kini mendiami sebuah rumah yang agak selesa walaupun tidak sebesar mana. "Kunjungan tuan-tuan kerumah saya pada tahun lepas telah membuka mata pihak yang berwajib sehingga mentakdirkan saya sekeluarga menikmati apa yang ada sekarang. Terima kasih banyak-banyak..." kata ibu yang kami ziarahi.

Dahulu dan sekarang.

Inilah program mendekati rakyat yang berterusan yang dilaksanakan oleh PAS Kulai tanpa mengira sempadan kaum dan agama serta ideologi politik. Bagi kami, golongan yang susah perlu dibantu kerana ia telah menjadi dasar Islam yang telah dilaksanakan oleh Nabi s.a.w. dan para sahabat ridwanallahi ajmain.


Ibu ini tidak dapat menahan sebak apabila menerima sumbangan berbentuk wang dan barangan keperluan harian daripada Mazlan disamping seorang warga emas yang telah hilang daya penglihatan.

Kepada para dermawan yang ingin menghulurkan bantuan bagi menjayakan misi mendekati golongan yang memerlukan, boleh berbuat demikian menerusi akaun kami di MBB 551100701033. Sumbangan tuan-puan amat kami hargai.

Semoga kerja buat kami ini mendapat kerahmatan daripada Allah swt.

Himpunan Bersih 2.0 Cetusan dan Hasrat Rakyat

PAS menganggap laporan Polis yg dibuat oleh Umno membuktikan mereka adalah golongan yg mempertahankan ketidakadilan dalam sistem politik negara. Bahkan mereka akan terus mempertahankan kebobrokan sistem ini bagi mengekalkan pengaruh dan kekuasaan mereka. Sepatutnya mereka melihat secara rasional kenapa himpunan ini diadakan. PAS ingin tegaskan bahawa Himpunan ini diadakan setelah pelbagai saluran digunakan bagi memperbaiki sistem politik negara. Pelbagai dialog, diskusi laporan polis dan SPRM telah dibuat bagi memperbaiki kelemahan dalam perjalanan sistem pilihanraya umum di Malaysia.

Rakyat sepatutnya melihat kenapa himpunan ini diadakan. Ia bukan himpunan saja suka-suka bagi menimbulkan kegawatan, atau mengganggu ketenteraman awam sebagaimana yg dibimbangi oleh orang ramai. Himpunan ini akan berjalan lancar dan aman sekiranya tiada provokasi dari pihak yg tidak bertanggungjawab. Dengan ratusan petugas unit amal dan kawalan pemuda PR kita yakin ia mampu berjalan dengan aman dan baik.

Tindakan Umno membuat laporan polis mencerminkan sikap dauble standard mereka kerana mutakhir ini merekalah menjadi juara dalam menganjurkan demonstrasi di negeri PR, sayang polis hanya menonton sahaja walaupun demo tersebut bersifat provokasi agama dan kaum.

Sebenarnya pihak kerajaan mampu mengatasi himpunan ini dengan menerima tuntutan BERSIH kerana ianya bukanlah sesuatu yang terlalu sukar untuk dilaksanaskan. Kerajaan mesti sedar tindakan menyalahgunakan kuasa atas nama demokrasi hanya akan menanam kemarahan rakyat. Kerajaan mesti menyediakan saluran bagi melempias kemarahan dan rasa tidak puashati rakyat. Tunaikan tuntutan atau sedia hadapi himpunan aman rakyat. Tujuan kami satu, demokrasi yang lebih adil untuk semua demi kebaikan negara.




Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man

Ketua Penerangan PAS Pusat

Tahniah Media Perdana Mengiklankan BERSIH 2

Bukan senang hendak mendapat liputan di media perdana mengenai aktiviti pembangkang di negara ini. Nampaknya program Bersih 9 Julai 2011 mendapat liputan yang meluas di kaca televisyen dan dada akhbar. Sekalung tahniah diberikan kepada pemilik media, kerana mengiklankan program tak berbayar. Program Bersih sudah pun berjaya walaupun belum sampai masanya, kerana ia mendapat ulasan yang meluas oleh pemimpin BN. Ini adalah tanda aras kejayaan rakyat yang hendak memulih sistem demokrasi di negara ini.

Setakat hari ini lebih daripada 400 laporan polis yang dibuat oleh umno cuma berlainan nama untuk menggagalkan tuntutan rakyat. Datuk Seri Khalid Abu Bakar selaku Timbalan Ketua Polis Negara telah memberi amaran untuk membuat tangkapan awal sebagai usaha untuk menakutkan rakyat. Kita harapkan supaya pihak polis jangan dipandang oleh rakyat hanya untuk menjaga keselamatan Umno, bukan keselamatan negara. Bertindaklah secara profesional, bukan emosional. Kenapa demonstrasi kepala lembu di Shah Alam tidak ada gangguan. Setitik air pun tidak disembur kepada mereka. Sedangkan ini adalah demo yang berbentuk perkauman dan penghinaan kepada agama, ia boleh terbakar negara. Cuba bayangkan jika demo itu dibuat oleh penyokong Pakatan Rakyat, sudah pasti mereka yang terlibat di sumbat di dalam ISA.



Ustaz Idris Ahmad
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat

Khamis, Jun 16, 2011

Manusia : Bertaubatlah......

Firman Allah swt yang bermaksud :
"Sekiranya Kami turunkan al-Quran ini keatas sebuah gunung nescaya engkau melihat gunung itu khusyuk, serta pecah belah kerana takut pada Allah. Dan (ingatlah), misal-misalnya perbandingan ini Kami kemukakan kepada umat manusia, supaya mereka memikirkannya." (al-Hasyr : 21)

Muktahir ini, penghinaan kepada agama Allah serta hukum-hukumNya yang termaktub didalam al-Quran sudah menjadi lumrah bahkan ianya berlaku dikalangan mereka yang mengisytihar diri mereka sebagai orang Islam. Kita tidak akan merasa hairan seandainya perkara ini dilakukan oleh musuh-musuh Islam ataupun dari kalangan mereka yang bukan Islam. Sebab, memang sudah menjadi agenda mereka untuk melihat Islam itu hancur dan kerana mereka tidak memahami Islam serta dakwah tidak sampai kepada mereka. Tetapi menjadi sangat trajis apabila ia dilakukan oleh media yang menjadi santapan orang Melayu Islam dan menjadi milik para pemimpin negara yang kononnya memperjuangkan Islam. Kalau iapun ingin menjadi pengampu dan penjilat sang pemerintah, janganlah sampai berfikir diluar kotak kewarasan hingga sanggup mempersenda hukum Allah swt.

Allah swt memperingatkan manusia menerusi ayat diatas; gunung yang tegap dan teguh itu akan khusyuk dan pecah belah sekiranya diserahkan al-Quran kepadanya lantaran takut akan Allah swt. Tetapi manusia yang bersifat lemah dan kerdil berani mempermainkannya semata-mata menurut kehendak nafsu untuk melihat sosok tubuh yang dimusuhi terjeremus sehingga tidak mampu untuk bangkit.

Amat malang sekali apabila memikirkan, gejala wang, pangkat dan kedudukan membuatkan manusia bertindak diluar kewajarannya. Teringat sedikit masa dulu, apabila Sdr. Zunar bersenda melalui kartunnya yang membabitkan pemimpin negara, seluruh jentera penguatkuasa dikerah untuk merampas makalah tersebut yang terdapat dipasaran. Tidak sekadar itu, kartunis berkenaan disoal siasat oleh pihak berkuasa. Tetapi apabila media milik mereka melakukan yang lebih bejat dan dahsyat, ianya dihalalkan. Tiada rampasan, tiada tangkapan, tiada soal siasat, tiada segalanya ataupun segalanya tiada. Darjat manusia sudah diangkat lebih tinggi mengatasi Tuhannya.

Benarlah seperti firman Allah didalam surah al-A'nam ayat ke 70 yang bermaksud :
"Dan jauhkanlah diri dari orang-orang yang menjadikan agama mereka sebagai permainan dan hiburan, dan mereka pula telah diperdayakan oleh kehidupan dunia dan peringatkanlah (mereka) dengan al-Quran itu supaya tiap-tiap diri (di akhirat kelak) tidak terjerumus (ke dalam azab neraka) dengan sebab apa yang telah diusahakan (dari perbuatan buruk dan keji). Tidak ada baginya pelindung dan tidak juga pemberi syafaat yang lain dari Allah. Dan jika ia hendak menebus (dirinya) dengan segala jenis tebusan, (nescaya tebusan itu) tidak akan diterima daripadanya. Mereka itulah orang-orang yang dijerumuskan (ke dalam azab neraka) dengan sebab apa yang telah mereka usahakan. Bagi mereka disediakan minuman dari air panas yang menggelegak dan azab seksa yang tidak terperi sakitnya, disebabkan kufur ingkar (semasa hidupnya)".

Maksud mempersendakan agama ialah : mempermainkan dan mempersendakan ajaran Islam yang meliputi semua tindakan samada lisan atau perbuatan yang boleh merendahkan martabat Islam termasuk juga melalui tulisan dan lakaran atau lukisaan. Antara contoh perbuatan mempersendakan agama ialah seperti :
  • memperkecilkan tuntutan agama
  • bangga melangar larangan Allah
  • menghina orang yang bertaqwa
  • menyanjung perbuatan maksiat
  • makan di khalayak ramai dalam bulan Ramadhan
  • mengabaikan solat dengan sengaja dsb
Golongan yang mempersendakan agama sejak zaman Rasulullah s.a.w. ialah seperti berikut :
  1. Musyrikin : kaum yang menyegutukan Allah dan penentang kuat ajaran tauhid.
  2. Munafiq : orang yang menyembunyikan kekufuran dan menzahirkan kekafiran. Pada zaman Rasulullah mereka adalah musuh dalam selimut.
  3. Murtad : orang yang keluar dari ajaran Islam seperti orang yang enggan membayar zakat di zaman Khalifah Abu Bakar as-Siddiq.
  4. 'Asi : orang Islam yang melanggar perintah Allah swt tetapi tidak mengingkarinya.
Sama-samalah kita berlindung dengan nama Allah agar tidak tergolong didalam golongan yang mempersendakan agama Nya.

Polis Harus Bertindak Terhadap Provokasi PERKASA

PAS melahirkan kekesalan kerana pihak Polis membiarkan Presiden PERKASA membuat pelbagai kenyataan yg nyata boleh mengancam keselamatan awam dan mencetuskan kemarahan rakyat. Tindakan pihak polis seolah-olah negara ini tiada undang-undang dan ada badan NGO yg mengatasi undang-undang sehingga pelbagai kenyataan yg terang terangan bersifat provokasi dikeluarkan dengan bebas.

Pihak Polis mahu menghalang perhimpunan yg akan diadakan, semara-mata bagi menghalang perhimpunan BERSIH 02. Himpunan BERSIH mempunyai matlamat yg baik bagi mendesak satu sistem piihanraya yg adi dan bersih. Himpunan yg jelas dengan objektif dan matlamat demi kebaikan negara. Kerana sebarang penyelewengan dalam PRU akan menimbulkan rasa tidak puas hati rakyat, dan isu ini kalau tidak iatasi segera akan membawa kepada pemberontakan dalaman rakyat.

PAS menilih jalan demokrasi bersama pakatan Rakyat lain, kerana yakin sistem ini mampu menjamin keadilan dan hak rakyat. Namun bilamana pelbagai salahguna mula dilakukan oleh pihak SPR dan Jabatan Pendaftaran Negara serta penyalahgunaan Media secara berleluasa, maka penyelewengan ini mesti diperbetulkan.


PAS akan mengadakan dialog dan perundingan dengan pihak SPR sebelum mengadakan Perhimpunan BERSIH. Pertemuan ini sangat penting bagi memastikan tuntutan BERSIH dapat dipenuhi, dan pihak Kerajaan perlu faham kenapa rakyat membantah SPR. Dialog dan Pertemuan demi pertemuan yang diadakan membuktikan PAS bukanlah sabuah parti yang suka mencetuskan suasana gawat dengan demonstrasi, tetapi ianya jalan keluar bagi memperlihatkan kepada pihak kerajaan betapa seriusnya kemarahan rakyat kepada ketidakadilan sistem yang sedang berjalan kini.

Tindakan Jabatan Pendaftaran Negara mengeluarkan Kad Pengenalan kepada warga asing di Selangor, Kedah dan Kelantan sebagaimana yg dilaporkan kepada pihak polis bukan isu kecil, yang boleh dipandang sebelah mata. Begitu juga isu pendaftaran pengundi baru yang sangat luar biasa di Selangor, Kedah dan Pahang talah menimbulkan pelbagai bantahan rakyat. Semua ini memperlihatkan seolah-olah SPR dan Jabatan Pendaftaran negara mempunyai konspirasi bersama UMNO/BN bagi memastikan kemenangan berpihak kepada mereka.

Sehubungan itu PAS ingin melihat sesuatu tindakan ke atas PERKASA dapat dilakukan bagi mengelak satu provokasi menjelang BERSIH 02 dapat dielakkan.



Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man

Ketua Penerangan PAS Pusat

Isnin, Jun 13, 2011

PAS Kulai Praktik Amalan Negara Berkebajikan.

PAS Kulai telah menyahut saranan Dato'Seri Presiden dalam melaksanakan amalan negara berkebajikan. Gerak kerja ini bahkan telah dilakukan sebelum Muktamar Agung PAS Pusat berlangsung. Melalui Lajnah Kebajikan Kawasan, ia menjadi tumpuan utama PAS Kulai dalam mendekati masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama selari dengan tuntutan Islam. Seperti yang dinyatakan didalam mesyuarat agung PAS Kulai yang lalu, walaupun tumpuan diberikan kepada masyarakat Melayu namun bangsa lain yang memerlukan pembelaan tidak akan dilupakan.

Selaras dengan misi ini, sebanyak 10 keluarga India di Bandar Putra yang memerlukan pembelaan telah diziarahi pada 11 Jun 2011 yang lalu. Kehadiran PAS membawa barangan keperluan harian untuk diagihkan telah mendapat sambutan yang baik daripada kalangan mereka. Mereka tidak menyangka PAS sebuah parti Islam sanggup turun padang sambil membantu masyarakat kaum India yang beragama Hindu. Menurut seorang penduduk, mereka selama ini tidak pernah menerima sebarang bantuan serupa daripada pihak parti MIC walaupun parti itu mendakwa membela nasib kaum India.

Beberapa kawasan di dalam DUN Bukit Permai telah diziarahi. Antaranya ialah :
  1. Felda Taib Andak
  2. Taman Anjaria
  3. Felda Bukit Permai
  4. Kampung Murni Jaya
  5. Sengkang
  6. Kampung Pertanian dan
  7. Bandar Putra
Sekitar 30 buah keluarga yang telah menerima bantuan daripada PAS Kulai setakat ini. Program ini akan diteruskan lagi diperkampungan lain yang termasuk didalam DUN Bukit Permai seperti Sedenak, Felda Inas dan kampung-kampung yang terdapat berhampiran dengan Kg. Murni Jaya.

Dalam melaksanakan tugasan yang diamanahkan, PAS Kulai telah berjaya merungkai pemasalahan yang di hadapi oleh seorang ibu yang cacat sebelah kaki akibat di potong kerana penyakit kencing manis. Pendedahan melalui akhbar Sinar Harian telah membuatkan UMNO Bahagian Kulai turun padang bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi menyelesaikan masalah ibu tersebut. Walaupun PAS sekadar menziarahi sambil membantu apa yang mampu, namun ianya telah membuat kejutan besar kepada UMNO sehingga seluruh jenteranya turun padang dan menghulurkan bantuan seperti yang kami laksanakan.

Begitulah sikap wakil rakyat dan pemimpin UMNO yang hanya akan menjenguk rakyat di bawah apabila merasakan kedudukannya tergugat. Bagi PAS gerak kerja ini akan kami teruskan walaupun kami tidak dikurniakan kemenangan kerana ianya merupakan tuntutan agama.

Firman Allah swt didalam surah Ali Imran ayat 92 bermaksud :
"Kamu tidak sekali-kali akan mencapai kebaikkan (yang sempurna) sehingga kamu dermakan sebahagian daripada apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan sesungguhnya Allah mengetahuinya."

JOM PAKAT TOLAK BN dalam
PRU ke 13.